fbpx

KHF Mantap Berlatih Pencerapan Agama

KHF Mantap Berlatih Pencerapan Agama

KHF Mantap Berlatih Pencerapan Agama

BANDAR BARU BANGI, 9 Jun 2014 – Kelab HALUAN Fitrah (KHF) telah menganjurkan kursus khas Friendly Comparative Religion (FCR) atau Kursus Mesra Perbandingan Agama Tahap 2 dengan kerjasama Islam Information and Services (IIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Seramai 60 peserta yang terdiri daripada ahli HALUAN seluruh negara telah mendaftar untuk kursus dua hari tersebut bertempat di Dewan Seminar Ibu Pejabat HALUAN di sini.

Kursus ini adalah satu latihan khusus untuk peserta menguasai teknik berdakwah kepada kelompok “Belum Muslim” (BM) agar kebenaran dan keindahan Islam, dapat dikongsikan secara penuh hikmah dengan kelompok BM sehingga mereka mendapat gambaran sebenar berkenaan agama ini dan penganutnya.

Pencerahan secara mesra dan konsultatif ini memerlukan ahlinya dilatih dengan kaedah yang berkesan agar persepsi sesetengah pihak BM terhadap Islam dapat ditangani dengan penuh mesra dan harmoni. Menurut pengerusi KHF, Dr Jamaluddin James Laeng Abdullah, semua peserta Kursus FCR2 tersebut sudahpun terlebih dahulu mengikuti FCR tahap 1 iaitu pendedahan awal kepada asas Agama-Agama Utama Dunia.

Kursus FCR2 di bawah seliaan IIS itu disampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami peserta. Antara tajuk yang dibentangkan adalah Muhammad Dalam Kitab-Kitab Agama, Strategi berdialog dengan Pastor Kristian, Hak-Hak wanita dalam Islam, Kosmologi dan Paradox, Islam As the Authentic Religion, Etika Berbeza Pendapat, Metodologi Dakwah, Christology dan beberapa tajuk menarik lain.

“Mereka yang sudah melalui tahap 1 dan 2 akan dijemput menyertai tahap 3 pada awal 2015 nanti. Kami mensasarkan agar semua aktivis KHF sudah melalui ketiga-tiga fasa latihan ini menjelang tahun 2015 nanti. Bagi ahli KHF yang belum menyertai tahap 1 atau 2, silalah berdaftar sendiri dengan IIS mengikut jadual kursus yang mereka susunkan pada tahun ini. Kami berharap Fasa 2 ini akan memantapkan lagi kefahaman dan jati diri ahli-ahli kami dalam mendepani usaha-usaha berkongsi keindahan dan kecantikan Islam dengan massa,” berkata Dr Jamaludin.

“Pendedahan khusus seni ilmu perbandingan agama ini amat perlu; sesuatu yang tidak semua umat Islam tahu dan mahu melakukannya kerana difikirkan susah dan merumitkan. Ia berupa suatu fardhu kifayah untuk kami meramaikan lagi pendakwah santai yang boleh berhujah dan berbincang dengan kelompok belum Islam dalam apa jua situasi – sama ada di dalam pesawat, semasa beratur di mesin ATM, semasa berbual dengan jiran serta rakan sepejabat. Tidak kira apa situasi, ahli-ahli HALUAN akan sentiasa berdaya boleh menyampaikan Islam kepada kelompok BM ini dengan yakin dan mesra,” kata beliau kepada mediaHALUAN.

Semasa merasmikan kursus berkenaan, Pengurus Bahagian Intisyar MAIS, Ustaz Mohd. Romzi Abdullah Sani menegaskan bahawa peranan NGO sangatlah penting dalam mendepani isu-isu yang berbangkit di kalangan kelompok BM kerana intimnya NGO dengan isu dan perbualan di peringkat akar umbi. Beliau mengucapkan syabas kepada HALUAN kerana sanggup mengkaderkan ahli-ahlinya demi mempertingkatkan usaha berdakwah secara harmoni kepada kelompok berkenaan, di mana ramai di kalangan mereka masih sangsi ataupun curiga dengan agama Islam itu sendiri berserta penganutnya.

Laporan oleh Syafiyah Adzahar
Unit Media KHF