fbpx

Relawan Amanah Korban Selamat Pulang

Relawan Amanah Korban Selamat Pulang

Relawan Amanah Korban Selamat Pulang

BANGI, SELANGOR, 31 Okt 2012 — Lima pasukan relawan HALUAN yang memikul amanah bagi mewakili peserta korban rakyat Malaysia di berbagai lokasi umat Islam di luar negara telah selamat pulang ke tanahair.

Pasukan terakhir yang tiba di KLIA pada hari ini terdiri daripada Ketua Biro Kebajikan, Encik Mohd Azhar Md Idris dan juga Ketua Biro Penerangan dan Hubungan Luar, Encik Ibrahim Abu Bakar yang telah menunaikan amanah korban di India. Mereka berada di Chennai, Theni dan Tamil Nadu selama tiga hari bagi menyempurnakan semua bahagian korban untuk masyarakat Islam miskin dan muallaf di daerah-daerah tersebut.

Terdahulu pada 27 Oktober, pasukan relawan ke Kemboja telah selamat kembali setelah menunaikan amanah korban sebanyak 94 ekor lembu di perkampungan Islam di negara tersebut dan juga Vietnam selama empat hari.

Semalam, tiga orang relawan HALUAN yang melaksanakan amanah korban di Bangladesh juga telah selamat tiba.

Hari ini telah tiba dua pasukan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh dan berisiko, iaitu pasukan ke Somalia dan Gaza.

Pasukan Korban dan Misi Kemanusiaan Somalia ini yang diketuai oleh Ketua Biro Kemanusiaan HALUAN Cawangan Terengganu, Encik Mohd Jamil Muda, telah menyempurnakan korban 20 ekor unta dan 559 ekor kambing. Ibadah korban dan sambutan Aidiladha telah diadakan bersama-sama ratusan ribu pelarian Somalia yang berteduh di Dadaab, iaitu sebuah kem pelarian terbesar di dunia. Mereka turut melaksanakan sembelihan dan pengagihan daging korban di sebuah penjara di pekan Garissa, di mana majoriti mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Somalia yang ditangkap kerana cuba mencari perlindungan dan bantuan di Kenya secara tidak sah.

Menurut En Mohd Jamil, rakyat Somalia sangat terharu menerima bantuan melalui ibadah korban rakyat Malaysia di kawasan sempadan Kenya-Somalia itu. “Harapan mereka kepada rakyat Malaysia supaya tidak lupa untuk membantu mereka, baik dari segi makanan dan keperluan asas, dan juga pendidikan. Kata mereka, sekurang-kurang ingatlah kepada kami setiap kali berdoa,” kata beliau ketika ditemubual selepas ketibaan di KLIA.

Turut tiba di hari yang sama adalah pasukan relawan ke Gaza. Ketua misi yang juga merupakan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, memanjatkan kesyukuran kerana telah selamat tiba ke Gaza untuk menyempurnakan amanah di wilayah yang disekat selama lebih enam tahun oleh rejim Zionis Yahudi itu. Menurut beliau, haiwan-haiwan berkenaan telah dikorbankan selepas selesai solat sunat Aidiladha di Masjid Umari, Bandar Gaza dan seterusnya diagihkan sendiri oleh pasukan beliau bersama relawan NGO tempatan kepada keluarga miskin di sekitar Bandar Gaza.

HALUAN Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pulau Pinang turut menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada Kementerian Wakaf Palestin bagi tujuan menyiapkan sebuah sekolah syariah di kem pelarian Deir al Balah, Gaza. Projek yang dilaksanakan secara kerjasama kementerian Wakaf, HALUAN Malaysia, Sahabat al-Aqsha Indonesia dan Yayasan Al Sarraa’ tersebut dijadualkan siap dalam tempoh empat bulan lagi. Apabila siap nanti, seramai 750 orang anak-anak Gaza akan dapat meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna dan terancang.

Didoakan semua sumbangan dan penyertaan ibadah korban rakyat Malaysia ini diterima Allah sebagai bekalan amal soleh. Semoga Allah memberi ganjaran rezeki yang lebih baik kepada semua dermawan.


Laporan oleh Mohd Mus’ab Saari, Biro HALUAN Palestin.