fbpx

Korban India : Darah Korban Tumpah di Bumi Hindi

Korban India : Darah Korban Tumpah di Bumi Hindi

Korban India : Darah Korban Tumpah di Bumi Hindi

VELLORE, CHENNAI, INDIA, 28 Okt 2012 — Walaupun lewat satu hari sambutannya daripada kebanyakan negara Islam, hari raya Aidiladha di India dirayakan dengan kegembiraan dan cukup bermakna. Sejak awal pagi lagi takbir raya memuji kebesaran Allah sudah bergema di Masjid Vesalum, di sini.

Kami berdua yang baru tiba dari Malaysia telah bersiap sedia bersama-sama jamaah di dalam masjid untuk menunaikan solah sunat Aidiladha dan merayakan hari kebesaran ini. Tiba-tiba jamaah dikejutkan dengan arahan dalam bahasa Tamil supaya bangun dan keluar dari masjid. Kebingungan, kami ikut sahaja arahan dan pergerakan para ahli jamaah. Saya cuba bertanya apa yang sedang berlaku dan ke mana semua ahli jamaah akan pergi, tetapi semua orang bergegas bagaikan mengejar sesuatu.

Rupa-rupanya arahan tersebut memanggil semua ahli jamaah untuk keluar berarak sambil bertakbir, diketuai oleh seorang imam masjid. Tetapi hati saya masih tertanya-tanya, ke mana mereka akan bergerak. Persoalan itu terjawab dengan sendirinya setelah kami berjalan kira-kira 20 minit, iaitu sekitar 500 meter dari masjid. Kami tiba di sebuah padang di mana begitu ramai sekali orang sedang menunggu sambil bertakbir. Rupanya di padang itulah masyarakat Islam perkampungan Seduvalai ini menunaikan solat sunat Aidiladha dan merayakan hari kebesaran itu.

Solat telah didirikan dengan suara bacaan al-Quran yang merdu oleh seorang imam tempatan, yang merupakan seorang hafiz al-Quran. Selesai solat, Mufti Ustaz Mohd Syafeeq dan pasukannya yang terdiri daripada Ustaz Riaz dan Ustaz Afzal, Mudir Madrasa E-Madeenatul Uloom, telah bersedia bersama para pelajar dan penduduk setempat untuk memulakan upacara penyembelihan korban.

Saya bersama ketua pasukan, En Mohd Azhar Md Idris, memikul amanah untuk menyempurnakan korban sebanyak 17 ekor lembu di Vesalum, Vellore. Pemeriksaan lembu yang telah dilakukan sehari sebelumnya memudahkan lagi proses penyempurnaan korban. Proses menyembelih, melapah dan memotong daging telah disempurnakan sebelum jam 2.00 petang. Semua bahagian daging korban terus diagihkan kepada keluarga janda, anak yatim, fakir miskin dan golongan muallaf di sekitar Seduvalai.

Keesokannya pada hari kedua Aidiladha, setelah merentas bumi India sejauh 700km, kami akhirnya tiba di Theni. Di perkampungan yang mempunyai 120 keluarga di mana 30 daripadanya adalah keluarga muallaf ini, kami mengorbankan sebanyak 10 ekor kerbau. Kenapa kerbau? Penduduk di sini masih lagi takut untuk menyembelih lembu kerana pernah dibantah oleh jiran mereka yang menganut kefahaman agama yang berbeza. Maka kami memutuskan untuk memilih kerbau sebagai haiwan sembelihan korban supaya tidak menimbulkan masalah. Daging-daging korban diagihkan kepada keluarga muallaf. Keriangan terpancar di wajah anak-anak dan saudara baru kita di sini, menyambut hari kebesaran bersama majlis korban sumbangan saudara seakidah mereka yang jauh dari Malaysia.

Pada hari ketiga pengembaraan memikul amanah ini, kami menempuh perjalanan selama empat jam untuk tiba di Daerah Ramnad, Tamil Nadu. Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada keluarga muallaf di daerah ini.Sambutan yang kami terima amat mengharukan, bila melihat penduduk kampung keluar beramai-ramai untuk menerima daging korban yang diagihkan di sebuah masjid usang kampung tersebut.

Mereka sangat bersyukur serta berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang buat kali pertama telah menumpahkan darah haiwan korban di situ. Harapan mereka agar usaha ini dapat diteruskan lagi di tahun hadapan.

Sumbangan masyarakat Malaysia ini memberi erti yang sangat besar bagi mereka yang hanya dapat menikmati juadah daging hanya sekali setahun. Semoga ibadah korban tuan-puan pada tahun ini lebih membawa makna, kerana telah dapat menyemarakkan lagi syiar Islam dan membantu saudara kita yang memerlukan di bumi India.


Laporan Ibrahim Abu Bakar, Ketua Biro Penerangan dan Hubungan Luar HALUAN, yang menyertai pasukan amanah korban HALUAN ke India.