fbpx

Rasulullah Contoh Ikutan

Rasulullah Contoh Ikutan

Rasulullah Contoh Ikutan

Setiap insan perlu mendidik diri secara konsisten dan berterusan. Kita hendaklah melalui sistem tarbiyah yang mampu menjadikan kita senang dan sebati dengan nilai-nilai kebaikan, di samping sekaligus meninggalkan setiap keburukan.

Pada realitinya, sebahagian besar daripada masyarakat hari ini melakukan pelbagai perkara tanpa mengambil berat persoalan nilai baik atau buruk, halal atau haram. Sedangkan, sebagai manusia yang beriman dan berpekerti mulia, setiap tindakan atau perbuatan kita seharusnya sentiasa tetap didasarkan kepada nilai yang telah diajarkan dalam Islam. Apa yang diajarkan sebagai buruk, semestinya diterima sebagai buruk dan dijauhkan sama-sekali, walaupun majoriti masyarakat mengatakan sebaliknya. Begitu juga, apa yang dianjurkan sebagai baik oleh Islam mesti disanjung sebagai mulia dan mesti dihayati dan diikuti sepenuhnya, tanpa pertikaian.

Beriman kepada kerasulan Muhammad s.a.w. menuntut kita untuk mentaati apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang dengan senang hati. Namun ramai dari kalangan kita tidak begitu peka dengan tuntutan ini, justeru lahirlah pelbagai masalah dan kepincangan dalam kehidupan kita. Penipuan, ketidak-adilan, kemunduran, kepincangan sosial dan pelbagai karakteristik negatif dikait-rapatkan dengan masyarakat Islam. Masyarakat menjadi hilang arah, terlalu menjaga kepentingan diri-sendiri yang sempit, meninggalkan sifat-sifat kebaikan, dan sebaliknya merasa senang malahan menyanjung apa yang dibawa oleh nilai dan budaya asing yang jelas membawa keruntuhan dan kemusnahan.

Untuk meredhai perintah Rasulullah saw dengan senang hati, kita perlukan kepada tarbiyyah yang berterusan. Tanpa proses pendidikan dan tarbiyah yang berterusan, hati kita mungkin tidak merasa senang untuk menerima dan melaksanakan amalan Islam. Kita mungkin melaksanakan sesuatu arahan atau tuntutan kerana terpaksa, bukan kerana ketaatan yang datang dari hati yang tulus. Ketaatan kepada Rasulullah saw sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia jua. Firman Allah swt:

Terjemahannya:
“Hendaklah kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.”
(Surah ali Imraan : 132)

Terjemahannya:
“Katakanlah: Jika kamu kasihkan Allah ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah ali Imran : 31 )

Justeru itu, apakah tanggungjawab kita terhadap Rasulullah saw? Tidak lain dari membenarkan apa yang disampaikan oleh baginda dan mentaati segala suruhannya dalam semua aspek. Kita hendaklah segerakan mengikuti apa yang Rasulullah saw redha dan jauhkan apa yang Rasulullah saw benci.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud
“Bertuahlah orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku.”

Dalam realiti sekarang apabila kita beriman dengan Rasulullah saw kita tetap berasa bahagia walaupun manusia lain tidak menyukai kita. Bagi manusia, hanya terdapat dua keadaan: samada mentauhidkan Allah swt atau mensyirikkan-Nya. Samada taat atau engkar.

Dalam konteks beriman kepada Rasulullah, terdapat bebarapa tuntutan, antaranya:

  1. Kita perlu mendidik hati kita hingga berasa redha dengan Rasulullah saw. Redha bukan sahaja dari segi perkataan tetapi juga dari tindakan seharian kita, di setiap tempat dan dalam setiap ketika mengikuti ajaran Rasulullah saw.
  2. Kita menghormati Rasulullah saw walaupun baginda telah wafat. Ertinya, kita perlu menghormati segala apa yang ditinggalkan oleh baginda saw, iaitu Islam yang merupakan ajaran wahyu Allah swt.
    Dalam satu sirah, Tabib bin Qais pernah bercakap dengan suara yang tinggi di hadapan Rasulullah saw. Turunlah ayat Allah swt:

Terjemahannya:
” Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi. Dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari. “
(Surah al Hujurat : 2 ) .

Mendengar ayat tersebut Tabib bin Qais menangis dan hanya duduk dalam rumah, tidak keluar. Rasulullah saw menyuruh sahabat-sahabat baginda menziarahinya untuk mengetahui mengapa beliau tidak keluar dari rumah. Apabila tiba di rumah Tabib, dia berkata kepada sahabat yang datang:
” Aku telah mengangkat suaraku lebih daripada suara Rasulullah saw dan Allah S.W.T. telah menurunkan ayat tersebut. Aku rasa Allah swt memarahiku dan tentulah aku akan dimasukkan ke dalam neraka. “

Para sahabat menceritakan hal Tabib kepada Rasulullah saw. Maka baginda bersabda yang bermaksud:
” Sesungguhnya dia (Tabib) ialah ahli syurga.” Kemudian, berita itu disampaikan kepada Tabib.

  1. Kita perlu mencontohi Rasulullah saw dalam membentuk masyarakat atau generasi. Generasi awal yang dididik oleh Rasulullah saw dikenali sebagai “Generasi al-Quran yang Unik”. Mereka menerima arahan sepertimana komando menerima arahan daripada ketua, malah lebih daripada itu.

Dalam realiti masyarakat yang tenat kini, kita memerlukan satu generasi yang berdaya dan mampu untuk mendokong Islam. Oleh itu kita amat perlu kepada pendidikan yang berterusan. Semoga dengan lahirlah, InsyaAllah satu generasi yang mempersembahkan segala bidang hidup untuk taat kepada Allah swt dan sanggup memikul tugas yang berat, taklif Rabbani

  1. Kita perlu sentiasa terikat dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw dan melaksanakan perintahnya tanpa bertangguh. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan dapat merasai nikmat Islam seperti yang dijanjikan oleh Allah swt. Sebagai contohnya, para sahabat r.a. meninggalkan harta masing-masing ketika berhijrah untuk mengikuti Rasulullah saw kerana mereka dapat merasai kenikmatan Islam.
  2. Kita perlu beribadah kepada Allah swt seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. Dalam satu sirah, Rasulullah saw ditanya: “Apakah erti Ihsan?” Jawab baginda: “Kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Maka dengan itu, kita boleh menyimpulkan bahawa pengakuan syahadah kita sebagai seorang Islam tidak akan menjadi sempurna melainkan kita benar-benar beriman dengan Rasullullah saw sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Ini adalah tanpanya, kita tidak mungkin mendapat keredhaan Allah yang hakiki, sedangkan ia adalah fokus tumpuan dan matlamat kehidupan kita.