fbpx

Doa Dalam Kehidupan Muslim

Doa Dalam Kehidupan Muslim

Doa Dalam Kehidupan Muslim

Memang tidak dinafikan bahawa orang beriman juga berhadapan dengan kepahitan hidup. Tetapi mereka menghadapinya dengan penuh kerelaan hati dan penyerahan yang sebenar kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

Jika kesukaran dan kesedihan yang dihadapi amat berat terasa di bahu kita untuk memikulnya, maka pada ketika itulah kita meminta bantuan daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Bantuan yang diminta itu, sama ada untuk melenyapkan kesukaran itu, menguranginya atau untuk tabah menghadapinya.

Apabila datang kesusahan dan bala, baginda Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam selalu menganjurkan kepada para sahabatnya supaya memohon bantuan daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kerana hanya Dialah yang berkuasa melepaskan kita daripada sebarang kesusahan.

Pada suatu hari, baginda SallaLlahu ‘alaihi Wasallam masuk ke masjid, kata Abu Sa’id al-Khudri, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan. Kemudian baginda Rasul bertanya; “Apa yang engkau buat di sini pada waku begini, wahai Abu Umamah?”
Abu Umamah menjelaskan; “Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah.”
“Sukakah engkau aku ajarkan satu bacaan yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?”Abu Umamah berkata; “Tentulah aku suka, ya Rasulullah!”
“Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini,” kata baginda Rasul.
Bacaan yang dimaksudkan baginda tersebut ialah;

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; aku berlindung kepada-Mu daripada [sifat] pengecut dan bakhil; dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia.” [Riwayat Abu Daud]

Kemudian Abu Umamah berkata; “Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah Subha Nahu Wa Ta’ala menyelesaikan hutang-hutangku, begitu juga kesusahanku.”

Dilihat daripada segi logiknya, memang mengulangi kalimat-kalimat tertentu boleh mengubah suasana kejiwaan seseorang.

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam tadi berisi kalimat-kalimat yang dapat mengubah jiwa orang yang membacanya. Apabila jiwa berubah, maka dengan sendirinya berubah pula cara bertindak orang tersebut, insya-Allah. Abu Umamah yang sedang dirundung kedukaan kerana hutang yang tidak mampu dibayarnya ditolong oleh Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dengan mengajarkan beberapa kalimat doa, yang dengannya jiwa Abu Umamah berubah dengan membacanya setiap hari.

Apabila jiwa yang kusut dan hati yang rungsing sudah dapat diatasi, tentulah Abu Umamah dapat berfikir dengan baik, seterusnya berusaha untuk mencari wang pembayar hutang-hutang yang melilit pinggangnya. Ternyata, dengan fikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, Abu Umamah berhasil melangsaikan hutangnya.

Memang doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ada persamaan dengan syair-syair pembangkit semangat dan pendorong jiwa untuk berubah, supaya orang yang mendengar dan membacanya terus bertindak.

Sesungguhnya doa-doa ini bukanlah hanya sekadar doa yang memohon sesuatu daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala oleh orang yang malas bekerja. Tetapi, yang demikian adalah suatu pertolongan yang timbul daripada kebenaran serta keyakinan yang kuat. Maka dengan membacanya, orang bekenaan mampu manghadapi apa jua bentuk persoalan yang datang dalam hidupnya.

Selain daripada itu, doa-doa ini juga adalah suatu sempadan nilai yang sewajarnya menjadi pegangan orang Mukmin, yakni setiap usaha dan pekerjaan yang dilakukan adalah atas dasar iman dan takwa kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

Maka, diharapkan bertambah baik jiwa seseorang, bertambah mantap tekadnya, setelah membaca doa-doa yang mengadungi motivasi ini. Lalu, kerana berkat doa-doa ini, maka semakin baik pulalah amalan agama seseorang dan bertambah baik pula kehidupan dunianya.

Salah Faham Terhadap Amalan Doa
Sesetengah manusia membuat andaian doa sebagai keluh-kesah yang rendah nilainya, lantaran seseorang itu tidak lagi mampu berhadapan dengan cabaran di dalam kehidupannya. Inilah tanggapan mereka yang mengatakan doa tidak lebih daripada permintaan tanpa disertai usaha.

Sebenarnya bukan begitu yang dimaksudkan dengan doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Jika ada orang yang beranggapan sedemikian, maka doa adalah tidak lebih daripada sekadar angan-angan dan khayalan kosong yang diharapkan akan menjadi kenyataan pada satu masa akan datang, sedangkan masa hadapan adalah masih ghaib di tabir waktu.

Ada pula orang yang beranggapan, mereka yang beriman dan bertakwa adalah mereka yang telah menempah kesusahan dan kemelaratan hidup di dunia.

Alangkah sesatnya anggapan tersebut. Ini adalah suatu penghinaan yang keterlaluan terhadap kemuliaan Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala ke muka bumi bagi kepentingan manusia keseluruhannya.

Anggapan yang keliru ini sepatutnya tidak terjadi sekiranya mereka benar-benar memahami ajaran Islam. Bukankah baginda Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam sendiri yang sering berdoa dengan doa berikut;

“Oh Tuhanku! Perbaikilah urusan agamaku, kerana ia adalah pemelihara setiap urusanku, dan perbaikilah urusan duniaku, kerana di dalamnyalah aku hidup; dan perbaikilah urusan akhiratku, kerana akan ke sana juga aku akhirnya, dan jadikanlah kematian itu sebagai tempat rehat bagiku daripada setiap keburukan.” [Riwayat Tirmizi]

Rujukan: Rahsia Kebahagiaan Menurut Islam, Sheikh Muhammad Al-Ghazali