fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Pengalaman Pahit Getir Sebagai Tahanan

Ramadhan Bersama Huffaz : Pengalaman Pahit Getir Sebagai Tahanan

Ramadhan Bersama Huffaz : Pengalaman Pahit Getir Sebagai Tahanan

SIMPANG RENGGAM, 27 JULAI 2012 — Sekolah Islam As Syddiq di sini menjadi tuan rumah kepada dua orang huffaz daripada program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia. Warga kerja sekolah, para pelajar, ibubapa dan masyarakat setempat sangat bertuah kerana menerima Sheikh Thaher Rubhi Muhammad Qabaha dari Gaza dan Sheikh Muhammad Abdi Syeikh Hasan dari Somalia sebagai tetamu mereka.

Bersempena dengan majlis berbuka puasa bersama ahli-ahli HALUAN Cawangan Johor, ibubapa dan pelajar, sekolah angkat HALUAN ini juga telah melancarkan kempen untuk mengumpul dana pembangunan surau sekolah.

Kedua-dua huffaz tersebut telah mengimami solat Maghrib, Isyak dan terawih secara bergilir-gilir. Ketika menyampaikan tazkirah beliau, Syeikh Muhammad Abdi telah menyentuh tentang kepentingan menghayati erti Ramadhan yang sebenar dan juga persaudaraan Islam di atas dasar iman dan ikhlas. “Kita sangat berharap para hadirin dapat bersama-sama membantu meringankan beban saudara seakidah yang sedang ditindas di Palestin, Somalia, Syria, dan Burma, bahkan di mana sahaja,” nasihat beliau. Menurut beliau lagi, apa jua penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam, tidak kira di mana sekalipun, wajib dibantu oleh umat Islam lain yang lebih bernasib baik.

Kesempatan untuk bersama dengan para huffaz ini turut mengajar para pelajar di sini betapa peritnya kehidupan umat Islam di Palestin, khususnya berkenaan pengalaman getir yang telah dilalui oleh Sheikh Thaher ketika hidup sebagai tahanan di dalam penjara Zionis Yahudi. Pengalaman merengkok di penjara selama 18 tahun meninggalkan kesan terhadap mental dan fizikal beliau, di mana trauma yang beliau alami masih lagi terasa hinggi ke hari ini. Dalam satu kejadian di Sekolah Islam As Syddiq, beliau bergegas melarikan diri bersembunyi apabila mendengar deringan telefon. Apabila ditanya, beliau bimbang peluru berpandu Zionis akan menerjah kerana tentera pengganas tersebut menggunakan gelombang telefon untuk membunuh sahabat-sahabat beliau di Palestin.

Dalam kes yang lain, pada suatu malam beliau berlari seperti seekor lipas kudung dan bersembunyi di sebalik dinding di belakang asrama apabila lampu di dataran asrama terpadam. Sekali lagi, beliau berkata kejadian tersebut berlaku kerana trauma beliau kepada pangalaman ditangkap 18 tahun yang lalu, di mana situasi sebegitu telah berlaku.

Mungkin apa yang beliau alami ini merupakan hanya sebahagian daripada kesan trauma yang ditanggung oleh rakyat Palestin akibat tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis. Bayangkan bagaimana pula trauma anak-anak kecil Palestin yang melihat rakan-rakan dan keluarga mereka dibunuh, rumah-rumah mereka diceroboh dan dirobohkan, ayah-ayah mereka ditangkap bahkan mereka sendiri diacukan dengan senjata.

Sama-samalah kita berdoa agar rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya diberi kemenangan dalam masa tersekat. Bantulah mereka dengan apa jua sumbangan doa, sokongan moral dan kewangan yang kita mampu.

Anda boleh menghulur sumbangan ikhlas untuk projek bantuan di Palestin melalui akaun-akaun berikut:
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun – BIMB: 14-023-01-003429-2
No Akaun – Maybank: 5644 9020 8528

Manakala bantuan untuk misi kemanusiaan di Syria dan Somalia boleh disalurkan melalui
Nama Akaun: Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun – Maybank: 5622 6350 2611


Laporan oleh Mohd Khairy Jaafar, MediaHALUAN Cawangan Johor.