fbpx

Iftar dan Pesanan KKH Bersama Anak Yatim & Miskin

Iftar dan Pesanan KKH Bersama Anak Yatim & Miskin

Iftar dan Pesanan KKH Bersama Anak Yatim & Miskin

SHAH ALAM, 3 Ogos, 2012 — Kedatangan Ramadhan kerapkali tidak dapat dihargai oleh sebahagian muslimin-muslimat sedangkan di dalamnya terdapat jutaan rahmat, peluang dan barakah yang bakal digali untuk bekalan penerusan hidup di bulan-bulan yang mendatang.

Semudah menyediakan sedikit juadah untuk orang yang berpuasa membuka puasa mereka, Allah menjanjikan peluang keluasan rezeki sipemberi itu dalam marhalahnya tersendiri tanpa disangka-sangka. Fenomena asli daripada pesanan Rasulullah SAW itu seolah-olah tidak mengesani jiwa-jiwa manusia menjelang Ramadhan kecuali mereka yang benar-benar yakin dengan jalan dakwah ini serta berusaha memperbaiki diri pada setiap Ramadhan yang mengunjungi sepanjang hayatnya.

Menurut Ketua Biro Profesional HALUAN, Prof Dr Mohd Zamrin Dimon, kerahmatan bulan Ramadhan ini jelas terbukti di mana tabung-tabung HALUAN yang disediakan untuk menampung kos-kos pembiayaan untuk berbakti kepada masyarakat, termasuk anak-anak yatim dan miskin, lebih mudah terisi berbanding di bulan-bulan yang lain. Ini menandakan masyarakat Islam Malaysia semakin prihatin dan percaya kepada janji-janji Allah; cuma bagaimanakah sikap pemurah ini boleh disinambungkan ke 11 bulan-bulan berikutnya agar ianya menjadi sebati dalam hidup manusia Muslim hari ini. Ini bermakna masyarakat harus terus-menerus diproses hati dan jiwa mereka untuk mampu merasakan nikmat dan lazat di dalam meyantuni masyarakat yang memerlukan melalui infaq masing-masing.

Biro berkenaan yang menaungi antara lainnya, Kelab Kesihatan HALUAN (KKH), telah melaksanakan iftar jamaa’ie bersama anak-anak yatim dan miskin di Kompleks HALUAN Penyayang, Bukit Naga dekat sini. Lebih 18 penghuni kompleks bersama 60 peserta terdiri daripada ahli-ahli dan penggerak KKH, petugas kompleks dan ahli keluarga mereka telah menyerikan majlis iftar tersebut yang diikuti dengan solat isyak dan terawih secara berjamaah. Turut bersama majlis adalah Encik Wan Mohd Rafi Wan Hussin selaku Pengerusi KHP, serta barisan kepimpinan KKH terdiri daripada Pengerusinya Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa, Bendahari Dr Nur Azian Hasnan, Setiausaha Kehormat Dr Ahmad Zabidin Zakaria dan beberapa orang Exco KKH lain.

Di dalam tazkirah beliau, Dr Zamrin juga berkongsi sebuah hadith qudsi riwayat Abu Hurairah RA yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah bersabda, ‘Aku menuruti prasangka hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingat-Ku. Kalau ia mengingat-Ku dalam hati, Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Kalau ia mengingat-Ku di tengah kerumunan orang, Aku pun akan mengingatnya di tengah kerumunan yang lebih baik daripada mereka. Kalau ia mendekat diri kepada-Ku sejengkal, Aku pun mendekatkan Diri kepadanya sehasta. Kalau ia mendekatkan diri pada-Ku sehasta. Aku pun akan mendekatkan Diri padanya sedepa. Jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan, Aku akan mendatanginya dengan berlari kecil”.

“Amanah kita adalah berat, kerana kita hendak mengajak seluruh manusia agar kembali berlari kepada Allah SWT dalam keadaan sedar dan redha. Adalah menjadi sesuatu yang hebat jika Allah memilih untuk mendekati kita kerana kita yang terlebih dahulu mendekati Allah SWT dalam segenap segi kehidupan kita. Bermakna kita mahu ajak manusia supaya belajar bermunajat ikhlas kepada Allah dan bergantung sepenuhnya dan yakin kepada jalan Allah SWT kerana kita dan seluruh alam ini adalah milik-Nya semata-mata. Dakwah kita seharusnya mampu mengubah persepsi masyarakat tentang ubudiyah hakiki ini,” pesan beliau.

Oleh itu, beliau berpesan kepada penghuni KHP serta ibubapa yang hadir agar berusaha mencapai marhalah tertinggi ini dengan mengambil kesempatan untuk mengubah sikap mulai Ramadhan ini agar hidup menjadi lebih bermakna. Gunalah kepakaran yang ada pada diri masing-masing dengan meningkatkan kemahiran dan keistimewaan diri yang ada untuk memberi kesan kepada aktiviti-aktiviti dakwah dan ibadah yang mampu mendidik, mengakhlakkan dan berbakti kepada masyarakat, sesuai dengan motto HALUAN Malaysia.