fbpx

Rakyat Gaza turut menghulur bantuan ke Haiti

Rakyat Gaza turut menghulur bantuan ke Haiti

Mereka disekat dan dipisahkan dari dunia luar, samada sekatan ekonomi, sosial mahupun kemanusiaan sejak bulan Jun 2007 yang lalu. Mereka juga ditindas secara berterusan oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya, serangan demi serangan, rampasan dan tangkapan. Namun rakyat Gaza masih lagi dapat menzahirkan kasih sayang mereka sesama manusia lain yang ditimpa bencana. Isnin lalu, mereka berkumpul di ibu pejabat Red Cross di Gaza untuk menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa gempabumi di Haiti.

Mereka menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, selimut, makanan dan susu untuk kanak-kanak. Malahan ada juga dari kalangan mereka yang menghulurkan bantuan ini mempunyai saudara-mara sendiri tersiksa di dalam penjara Israel. Menurut kenyataan Ketua Jawatankuasa Popular Menentang Sekatan, Jamal El Khodary, rakyat Gaza masih ingin menyertai kempen kemanusiaan ini kerana mereka adalah satu bangsa yang cintakan kedamaian dan kehidupan, walaupun mereka sendiri dilanda kemiskinan dan kemusnahan. “Kami mengalami satu bentuk gempabumi yang berbeza ketika diserang Israel, ” kata El Khodary, “kami bersimpati dengan mangsa-mangsa gempa di Haiti, dan kami datang ke sini untuk membantu mereka.” Bagaimanapun, menurut El Khodary, Red Cross tidak dapat menerima barangan bantuan kerana sekatan yang dikenakan oleh Israel, namun mereka menerima sumbangan dalam bentuk kewangan.