fbpx

Seminar Pendidikan HALUAN Kedah ke Arah Melahirkan Umat Yang Berkualiti

Seminar Pendidikan HALUAN Kedah ke Arah Melahirkan Umat Yang Berkualiti

Seminar Pendidikan HALUAN Kedah ke Arah Melahirkan Umat Yang Berkualiti

ALOR STAR, 17 Januari 2010 — HALUAN Kedah dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN) telah berjaya mengadakan Seminar Pendidikan HALUAN pada 17 Januari 2010 di Dewan Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Alhamdulillah seramai 135 orang peserta hadir dalam seminar tersebut yang telah dirasmikan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman.


Sebelum itu, ucapan aluan telah disampaikan oleh YDP HALUAN Kedah, Saudara Suhami Ahmad Yusof merangkap Pengarah Seminar. Dalam ucapannya, beliau amat bersyukur kehadrat Allah swt. kerana HALUAN Kedah berjaya memulakan tahun 2010 dengan mengadakan program seminar pendidikan bagi memantapkan lagi halatuju pendidikan anak-anak, remaja dan masyarakat masakini.

Seminar separuh hari ini padat diisi dengan 2 pembentangan kertas kerja dan forum pendidikan. Kertas kerja pertama disampaikan oleh Presiden HALUAN, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin yang membincangkan peripenting kita membina sebuah institusi pendidikan yang menjadikan iman dan takwa sebagai teras pelaksanaannya. Beliau turut mengupas permasalahan dan kelemahan umat Islam dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, kekeluargaan, sosial dan kemasyarakatan. Kelemahan utama adalah berpunca dari pendidikan yang berjalan tidak mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia.

Kertas Kerja kedua membicarakan tajuk Rahsia Kecemerlangan Pendidikan Generasi Awal. Melalui kertas kerja ini, peserta telah dapat menghayati sejarah kecemerlangan dan kehebatan para sahabat dalam membina ketamadunan Umat hasil melalui pendidikan iman dari madrasah Rasulullah saw. Natijah pendidikan tersebut masih boleh kita rasai dan mengambil manfaatnya sehingga hari ini, namun malangnya, umat Islam sendiri yang meninggalkan rahsia dan kunci penyelesaian tersebut dalam melahirkan umat yang bermaruah dan berkualiti.

Seminar telah diakhiri dengan sesi Forum yang membicarakan tajuk Pendidikan Cemerlang : Kualiti atau Kuantiti. Forum dipengerusikan oleh Tn Haji Abd Wahab bin Ahmad. Ahli panel terdiri daripada Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN Malaysia dan Prof. Madya Dr. Asmawati Desa, pakar Psikologi dari UKM yang juga merupakan Naib Pengerusi HALUANITA Malaysia.

Majlis berakhir dengan solat Zuhor dan makan tengahari. Semoga seminar ini dapat memberi manfaat kepada para peserta yang hadir.