fbpx

Raih Kualiti Takwa Sempena Singgahnya Ramadan

Raih Kualiti Takwa Sempena Singgahnya Ramadan

Raih Kualiti Takwa Sempena Singgahnya Ramadan

KUANTAN, 3 Mei 2020 – Takwa hendaklah diraih dan diusahakan. Ia tidak datang secara bergolek dengan begitu mudah sahaja. Setiap mukmin yang sedar berkewajipan berusaha untuk mencapai darjat takwa dengan melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan yang sunah dan selaras dengan tuntutan syarak, menurut Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman.

Semasa kuliah maya Live di Facebook HALUAN pada 2 Mei lepas, beliau berkata sempena bulan Ramadan yang penuh berkat ini, ambillah peluang terbaik agar setiap mukmin terutama mereka yang bergelar daie atau pendakwah ummah untuk berusaha seoptima mungkin meraih makam takwa.

Ramadan adalah madrasah tarbiah dan tamrin yang intensif lagi ekstensif yang dikhususkan khas untuk para mukminin bagi mengutip sebanyak mungkin pahala bertujuan mencapai darjat takwa. Dengan mencari sebanyak-banyaknya pahala dan meminimumkan keburukan, itulah dikira mencari ketakwaan.

“Intensif bermaksud Ramadan adalah bulan yang sepanjang hari dan waktunya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti taqarrub (mendekatkan diri) daripada fajar hinggalah malam. Sepanjang masanya penuh keberkatan dan dilipat gandakan pahala. Bermula fajar dengan qiamullail dan bersahur yang dijanjikan keberkatan hinggalah maghrib dengan kelebihan berbuka awal waktu dan diikuti dengan solat sunat tarawih yang dijanjikan keampunan.”

“Ekstensif bererti Ramadan tidak memperuntukkan satu-satu bentuk ibadah khusus sahaja tetapi konteks ibadahnya adalah meluas. Ia termasuk puasa itu sendiri serta pelbagai solat sunat yang bersifat individu dan juga yang bersangkut soal prihatin kepada masyarakat seperti infaq, sedekah dan zakat,” seru Dr. Abdullah dalam Program Ijtimak Umum Mingguan (PIUM) anjuran HALUAN Pahang.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah berkenaan yang disiarkan secara langsung dari rumah beliau di Kota Bharu menerusi aplikasi siber yang diikuti oleh hampir 100 penonton menerusi Facebook dan YouTube. PIUM adalah program mingguan HALUAN Pahang yang sebelum ini diadakan secara pertemuan bersemuka di Sekolah Islam Ibnu Abbas (SeRIA) setiap Ahad jam 10.00 pagi.

Dr. Abdullah seterusnya mengingatkan bahawa Ramadan para dai tidak seharusnya sama dengan Ramadan masyarakat biasa. Masyarakat biasa kebanyakannya hanya berpuasa pada tahap satu iaitu menahan lapar dan dahaga sahaja. Memetik tulisan Dr. Yusuf al-Qaradawi, beliau berkata, gaya sebahagian umat Islam kini menjalani Ramadan adalah merugikan. Siangnya dipenuhi dengan tidur dan malamnya dipenuhi dengan makan. Sesetengahnya menjadikannya seperti pesta makanan.

“Misalnya di Kelantan ini yang popular pada malam Ramadan adalah kegiatan makan colek. Ia boleh menyebabkan banyak masa terbuang di tempat makan dan melibatkan kos. Dai tidak sepatutnya begitu,” katanya.

Dai seharusnya menjadikan Ramadan sebagai medan untuk menyiapkan bekalan dakwah kerana dakwah tidak akan berjaya tanpa persiapan; sedangkan tujuan utama Ramadan adalah untuk mencapai takwa dan takwa adalah sebaik-baik bekalan di jalan dakwah. Dengan itu mereka hendaklah berusaha melakukan pelbagai kebaikan dan ibadah sunah untuk tujuan tersebut.

Untuk itu, beliau telah menggariskan beberapa aktiviti seorang dai bagi menjalani ibadah puasa ini di tahap yang berbeza daripada puasa orang awam. Di antaranya adalah mula bertaubat dan beristighfar, berinfak, dan melatih diri menjaga pancaindera termasuk lidah dan minda. Perkongsian ikhlas beliau amat bermakna bagi sesiapa sahaja yang menonton.

“Siapa yang terhalang daripada kebaikan Ramadan, maka terhalanglah ia daripada kebaikan – dai jangan jadi golongan yang terhalang daripada kebaikan Ramadan. Orang yang rugi ialah orang yang selepas Ramadan pun masih tidak terampun dosa-dosanya,” katanya memetik maksud hadis.

Untuk menjiwai mesej perubahan itu, anda boleh terus menonton rakaman siarannya dengan menekan pautan di bawah ini:

Bersempena dengan bulan mulia ini juga, HALUAN telah melancarkan kempen Sejuta Barakah Ramadan bertujuan membuka peluang kepada orang ramai untuk berinfak demi menyantuni masyarakat dunia serta tanahair yang memerlukan pembelaan disebabkan tekanan hidup, bencana alam dan kebuluran, mahupun peperangan. Jom kongsi saham akhirat melalui pautan ini:


Laporan media HALUAN