fbpx

Presiden HALUAN Sempurnakan Amanah Korban di Gaza

Presiden HALUAN Sempurnakan Amanah Korban di Gaza

Presiden HALUAN Sempurnakan Amanah Korban di Gaza

BANDAR GAZA, 26 Okt 2012 — Pasukan relawan HALUAN yang membawa amanah korban rakyat Malaysia untuk saudara mereka di Gaza telah berjaya menunaikan amanah tersebut selepas selesai mengerjakan solat sunat Aidiladha di Masjid Umari di sini. Kesemua 33 bahagian amanah korban telah diagihkan sendiri oleh relawan HALUAN.

Pasukan yang diketuai oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, turut disertai oleh Timbalan Presiden, Prof Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Md Yassin; Setiausaha Agung, Hj Mohd Ghani Salleh; Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan; dan beberapa orang relawan yang lain.

Bagi melicinkan urusan penyembelihan haiwan korban dan pengagihan daging, mereka telah dibantu oleh dua orang huffaz yang telah bersama HALUAN menjayakan program “Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia” pada bulan Ramadhan baru lalu, iaitu Sheikh ‘Ahid Basheer dan Sheikh Muzaffar Salman Ahmad Al-Nawaty. Sheikh ‘Ahid merupakan imam besar Masjid Umari, masjid tertua dan terbesar di Gaza, manakala Sheikh Muzaffar merupakan seorang imam di Masjid Al-Abbas dan ahli juri program Al-Quran di Kementerian Wakaf dan Dewan Al-Quran dan As-Sunnah.

Daging korban telah diagihkan sendiri oleh para relawan HALUAN dengan bantuan relawan tempatan ke rumah-rumah fakir miskin di sekitar Bandar Gaza.

Dr Abdullah Sudin dan rombongan beliau turut membuat lawatan ke tapak-tapak projek bantuan rakyat Malaysia yang telah disalurkan melalui HALUAN sebelum ini. Antaranya, mereka telah melawat tapak telaga tiub di Universiti College of Applied Sciences (UCAS) di Khan Younis. Telaga yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia itu dapat membekalkan air bersih kepada seluruh keperluan warga pelajar dan staf di kampus berkenaan. Sebuah lagi kampus UCAS di Bandar Gaza turut mendapat manfaat yang sama melalui satu lagi projek pembinaan telaga tiub di situ.

Semoga Allah membalas segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kesengsaraan saudara mereka di Gaza ini. Lawatan rasmi kepimpinan tertinggi HALUAN ke Gaza ini membuktikan kesungguhan kami dalam menyalurkan dana dan silaturahim rakyat Malaysia yang selama ini tetap prihatin dengan kesengsaraan kehidupan masyarakat Palestin yang membentengkan diri dan nyawa mereka kerana Islam.

Marilah kita meneruskan amal jariah kita dengan menderma kepada Tabung Palestin HALUAN di Maybank Berhad no akaun 5644–9020–8528 atau Bank Islam Malaysia Berhad 14–023–01–003429–2.