fbpx

Rusuhan Terbaru di Rakhine Ranapkan Penempatan Masyarakat Islam

Rusuhan Terbaru di Rakhine Ranapkan Penempatan Masyarakat Islam

Rusuhan Terbaru di Rakhine Ranapkan Penempatan Masyarakat Islam

RAKHINE, MYANMAR, 27 Oktober 2012 — Human Rights Watch, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpusat di New York menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan beribu-ribu umat Islam di Myanmar.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan pendedahan imej satelit yang menunjukkan kemusnahan di Kyaukpyu, iaitu salah satu daerah yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Islam. Kyaukpyu merupakan sebuah zon perindustrian penting yang pesat membangun, tetapi kini hampir kesemuanya musnah menjadi abu akibat keganasan terbaru sepanjang minggu lalu.

Menurut kenyataan pertubuhan itu lagi, lebih 811 buah bangunan dan rumah air telah dibakar di Kyaukpyu pada 24 Oktober lalu, memaksa masyarakat Rohingya di situ melarikan diri melalui laut menuju ke arah Sittwe, ibu negeri Rakhine, di utara.

“Kerajaan Myanmar perlu menjaga keselamatan masyarakat Rohingya di negeri Rakhine (Arakan) yang sedang berhadapan dengan serangan ganas,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Human Rights Watch bagi Asia. Beliau berpendapat bahawa keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya pihak berkuasa tidak dapat menyelesaikan permasalahan sebenar keganasan yang berlaku.

Dalam analisa mereka, Human Rights Watch membandingkan imej-imej satelit yang diambil pada 9 dan 25 Oktober. Pada 9 Oktober, ratusan buah rumah dapat dilihat di satu muara sungai di Kyaukpyu, dan banyak rumah-rumah air terletak di sepanjang pantai di utara daerah tersebut. Namun imej yang diambil pada 25 Oktober menunjukkan hanya beberapa buah bot sahaja yang masih ada di situ, manakala hampir keseluruhan daerah seluas 35 ekar itu musnah sama sekali.

Terdapat laporan yang mendakwa masyarakat Rohingya terpaksa menaiki bot-bot yang padat untuk cuba menyeberangi sempadan laut ke negara Bangladesh. Puluhan bot yang mereka naiki untuk meninggalkan Kyaukpyu dilaporkan tidak membawa sebarang makanan mahupun minuman. Sebahagian daripada bot-bot ini dihalang oleh pasukan keselamatan daripada menuju ke pantai Bangladesh.

Sehingga semalam, Jumaat 26 Oktober, seramai 112 orang telah dilaporkan terbunuh dan sekitar 3000 rumah kediaman musnah dalam keganasan terbaru ini.

Menurut ramai pemerhati, keganasan yang sedang berlaku di Myanmar ini bukan lagi menjadi isu “anti Rohingya” sebaliknya adalah isu “anti Islam.” Perkara ini mungkin ada benarnya kerana ramai orang-orang yang diusir dari Kyaukpyu sebenarnya bukan dari kalangan Rohingya, tetapi umat Islam daripada minoriti Kaman yang sebenarnya diiktiraf secara rasmi sebagai warganegara. Chris lewa, pengarah sebuah pertubuhan advokasi Rohingya yang dipanggil Projek Arakan berkata, “ia bukan lagi keganasan anti-Rohingya, tetapi anti-Islam.”

Dalam kemeriahan masyarakat Islam menyambut hari kebesaran Aidiladha, saudara mereka di Myanmar terpaksa berhadapan dengan penderitaan, kelaparan dan maut secara berterusan. Umat Islam seharusnya terus berusaha membantu dan mencari apa juga kaedah bagi menyelesaikan kemelut ini agar mereka dapat terus hidup sebagai orang Islam yang aman, maju dan berbakti kepada penganut agama-agama lain dalam masyarakat mereka.


Sumber berita BBC dan World Bulletin.