fbpx

Peserta Puashati: “3M ini Unik”

Peserta Puashati: “3M ini Unik”

Peserta Puashati: “3M ini Unik”

BANDAR BARU BANGI, 11 Mac 2012 – Motivasi Minda Medik (3M) ternyata membawa perbezaan dengan menganjak paradigma pelajar Muslim bidang sains kesihatan.

Begitulah pendapat ramai peserta 3M kedua bagi tahun 2012 semasa ditemubual di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Saudara Mohd Faizal Ishak, 3M mendatangkan banyak manfaat kepada peserta terutamanya kepada mereka yang mengambil jurusan sains dan mereka yang berminat dalam menyalurkan kudrat mereka untuk menjadi sukarelawan.

“Program ini mengetuk minda dan hati kita ke arah konsep kehidupan yang sebenar. Ianya membuat kita berfikir dan merenung kembali apa sebenarnya hala tuju kita dan peranan kita kepada orang di sekeliling kita,” katanya.

Beliau yang pernah mengikuti Program 3M yang pertama dahulu berkata ianya suatu program yang luar biasa daripada program lain. “Perasaannya membangkitkan jiwa kelam yang kembali bersinar dan membangkitkan semangat diam yang kini bersuara lantang,” tegas beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan FORCE UiTM, kampus Puncak Alam.

Beliau melahirkan hasrat iaitu selagi mana amanah dipegang dan dipikul, beliau serta rakan seperjuangan dalam persatuan akan berusaha untuk bangkit bersatu dan memimpin rakan seperjuangan sukarelawan untuk menjadi terbaik antara yang terbaik dan menuju matlamat untuk meraih keredhaan-Nya.

Bagi Mohamad Adam Khairudin, pelajar perubatan tahun 5 dari Universiti Sains Islam Malaysia, ini adalah kali pertama penyertaan beliau di 3M. Katanya program ini amat sesuai diadakan, terutamanya untuk mahasiswa seperti beliau kerana di dalam lingkungan umur muda inilah remaja-remaja mula mencari personaliti diri masing-masing. Program sebegini dapat membimbing mahasiswa untuk membentuk personaliti yang mapan berlandaskan Islam.

“Saya dapati pengisian program ini sangat membina dan amat memberangsangkan dengan ucapan-ucapan dan perkongsian pengalaman dari ikon-ikon yang hebat dan berjaya. Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang mengikuti program ini kerana banyak ilmu yang saya perolehi, untuk melengkapkan hidup saya di dunia dan akhirat. Insyaallah jika diberi peluang, saya akan mengikutinya lagi di masa depan,” ujar beliau.

Wafa’ Raqeema Rosman, pelajar tamhidi (asasi) perubatan dari USIM berpendapat bahawa program sebegini memberi peluang kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi untuk mempelajari ilmu baru di samping bertukar-tukar pengalaman dengan rakan-rakan peserta yang lain. “Saya gembira dapat hadir ke program sebegini kerana banyak ilmu baru yang saya peroleh di samping dapat berkenalan dengan rakan-rakan dan senior dalam bidang yang sama,” katanya lagi.

Menurut rakannya, Shakirah Ramli yang juga pertama kali hadir di 3M bersama-sama sembilan lagi rakannya, “Program ini banyak membuka mata saya untuk melihat sesuatu dari aspek yang berbeza. Tugas kita bukan hanya sekadar belajar untuk lulus dalam peperiksaan tetapi lebih dari itu.”

Seorang lagi peserta, Siti Nur Fathiah, pelajar tahun dua kejururawatan di Kolej Universiti Islam Selangor menyatakan minat beliau untuk menghadiri program sebegini lagi kerana banyak input yang menarik serta boleh dikongsikan dengan rakan-rakan lain.

“InsyaAllah, saya pasti akan mengajak rakan-rakan saya yang lain untuk menyertai 3M di lain kali kerana mereka patut dengar dan dapat apa yang saya perolehi. Setidak-tidaknya jika saya tidak dapat menyampaikan dengan baik apa yang saya dapat, mereka boleh menerima terus maklumat tersebut secara langsung,” katanya.

Beliau juga menyatakan rasa teruja dengan persembahan Dr. Azizan Ahmad yang padat, ringkas dan mudah diterima semasa sesi forum di 3M tersebut.

Program 3M ini berjaya menarik lebih daripada 80 orang mahasiswa daripada pelbagai IPT termasuk seramai 30 orang peserta dari UiTM Puncak Alam dan UIAM Kuantan.