fbpx

3M Mantapkan Mahasiswa Perubatan dan Kesihatan

3M Mantapkan Mahasiswa Perubatan dan Kesihatan

3M Mantapkan Mahasiswa Perubatan dan Kesihatan

BANDAR BARU BANGI, 11 Mac 2012 – Seramai 82 orang mahasiswa daripada bidang perubatan, pergigian, sains kesihatan dan sains bersekutu telah menyemarakkan Program Motivasi Minda Medik (3M) kali kedua tahun ini yang telah berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Matlamat utama program ini adalah mendedahkan kepada peserta isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidang sains kesihatan sambil mencedok ilmu pengetahuan serta pengalaman doktor-doktor yang telah lama berkecimpung di arena ini.

“Di antara objektif pertemuan penuh mesra sesama mahasiswa ini adalah mengeratkan silaturrahim di antara kami dari pelbagai bidang dan universiti supaya kami dapat membina jaringan kerjasama dalam membangunkan profesionalisme ummah Islam pada masa akan datang,” menurut Saudara Wan Mohd Akmal Wan Mohd Zaim selaku pengarah program 3M kali ini. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kelab HALUANSiswa Health Sciences (HS2) dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN Malaysia (KKH).

Dalam ucapan aluannya, beliau menegaskan bahawa mahasiswa mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap Islam bukan sekadar sebagai pelajar semata-mata malahan bertanggungjawab membangunkan ummah Islam pada masa akan datang sepertimana sabda Rasullullah S.A.W. “sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain”.

Beliau juga menyedarkan para peserta tentang hakikat bahawa mereka dipilih oleh Allah SWT untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang dai’e (penyeru) dan sesungguhnya “Islam tidak memerlukan kita untuk berada di atas kerana Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”, malah kitalah yang memerlukan Islam untuk membawa kita kepada kejayaan dunia dan akhirat.

Beliau menyeru ahli HS2 agar sama-sama menjadikan Islam sebagai satu sistem hidup (nizamulhayah) dan sentiasa menjadikan Al-Qur’an dan sunnah sebagai pegangan hidup. Penghayatan ini sangat perlu bagi semua perawat Islam sebelum mereka keluar berkhidmat kepada masyarakat di dalam profesion masing-masing selepas lulus kelak.

Pembentangan pertama dibuat oleh Dr Ir Solehuddin Shuib dengan tajuk “Keseimbangan Mahasiswa Muslim Cemerlang”. Ceramah beliau membuka minda para peserta tentang realiti mahasiswa masa kini dan peranan mereka sebagai mahasiswa Muslim yang akan memimpin generasi pada masa akan datang.

Beliau menghuraikan visi pelajar Muslim dan konsep alim mujahid. Katanya, mahasiswa Muslim perlu menjadi pelajar contoh kepada pelajar-pelajar yang lain dan perlu pandai membahagikan masa di antara belajar, tarbiyah (halaqah), riadhah dan berpersatuan agar seimbang dari segi rohani dan jasmani.

Majlis diteruskan dengan forum bertajuk “Teknik Belajar Berkesan; Ke Arah Mahasiswa Health Science Cemerlang Duniawi dan Ukhrawi”. Ahli-ahli panel adalah Dr Suraiya Ibrahim, Consultant Radiologist, Hospital Selayang; Saudara Muhammad Afiq Jamarudin, Physiotherapist, WQPark, Kelana Jaya; dan Prof Madya Dr Azizan Ahmad, Timbalan Presiden HALUAN dan Timbalan Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran UKM serta di pengerusikan oleh Saudara Imran Abdul Rahman dari Cyberjaya University Medical Sciences yang juga merupakan Presiden HS2.

Pada sebelah petang pula, peserta berpeluang berjumpa dan mendengar Dr Roniyuzam Abdul Malek, Pengarah Hospital Tanjung Karang, Selangor berkenaan “Persiapan Diri Menjadi Relawan Misi Kemanusiaan”. Beliau berpengalaman luas dalam berbakti di kancah bencana dan merupakan Ketua Unit Misi Kemanusiaan KKH yang telah menyertai berbagai misi kesihatan dan kemanusiaan di dalam dan luar negara, termasuklah di Pakistan, sempadan Gaza, Indonesia dan juga bersama jamaah haji Malaysia selama beberapa tahun.


Laporan oleh Unit Media HS2.