Peserta Program PEKB 2024 Teruja Dengan Latihan Diterima
SEBERANG PERAI, 2 Mac 2024 – Program secara intensif Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) Tahun 2024 di Pulau Pinang yang baru tamat memikat hati dan berjaya mengubah paradigma 30 peserta yang menyertainya selama tujuh hari di sebuah hotel di sini.
PEKB adalah program tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT ) bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PBKB) yang dipelopori sejak 2013. Wakil KPKT, Encik Shahrunaim Radzali memberi amanat dan peringatan kepada para peserta supaya mengikuti program ini dengan sebaik mungkin agar boleh membawa diri dan keluarga mereka keluar daripada garis kemiskinan bandar.
Peserta terpilih dari seluruh negeri Pulau Pinang itu telah mengikuti kursus intensif tersebut dalam bidang Peruncitan dan Pemasaran (Online) di bawah kendalian Biro Profesional HALUAN Malaysia diterajui Dr. Razali Maarof. Di akhir kursus, para peserta berikrar akan mengikuti siri Program PEKB itu hingga tamat.
Setelah tamat kursus, semua peserta yang telah dibimbing akan dipantau selama enam bulan untuk memastikan daya pacu mereka masing-masing.
“Kita berharap agar setiap peserta berkenaan mengambil sikap yang positif terhadap cabaran hidup keluarga mereka dan berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka dalam mengharungi cabaran kehidupan di bandar. Memang sukar tetapi ada kaedah-kaedah moden yang mereka perlu pelajari dan amalkan untuk menemui lonjakan ekonomi yang mereka dambakan itu. Disiplin diri amatlah penting,” tegas Dr. Razali.
—
Laporan Hayazi Ishak
Setiusaha Kerja HALUAN cawangan Pulau Pinang