
Peserta Latihan Tekad Bantu Perjuangan Palestin
SHAH ALAM, 30 Sept 2012 – Seramai 30 orang peserta Latihan Aktivis Dan Masyarakat Prihatin Palestin yang diadakan di Kem Bumi Jati di sini telah menetapkan resolusi untuk bersatu menyedarkan masyarakat tentang permasalahan Palestin serta bertekad untuk aktif berusaha mengumpul dana bagi membantu masyarakat Palestin.
Program latihan selama dua hari anjuran Biro HALUAN Palestin itu bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas dan fakta yang sebenar kepada para peserta tentang permasalahan Palestin, di samping membuka peluang kepada mereka untuk membantu secara langsung melalui gerakerja dan projek bantuan secara tersusun dan strategik di lokaliti masing-masing. Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi Ali.
Antara lain, pembentangan meliputi penerangan lanjut tentang sejarah bumi Palestin, rentetan dan kesan kebangkitan rakyat menentang kekejaman Zionis dan juga keadaan terkini di Palestin. Para peserta juga mengikuti latihan kemahiran menyampaikan isu Palestin kepada masyarakat dan strategi bertindak dalam aktiviti-aktiviti memberi kesedaran dan mengutip dana bantuan.
Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan turut menyampaikan kuliah yang mengajak peserta untuk memahami matlamat latihan tersebut diadakan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seluruh masyarakat terhadap Palestin. Dalam sesi yang berlainan, beliau telah menyampaikan kuliah berkenaan Permasalahan Palestin dan Tanggungjawab Kita.
Para peserta jelas teruja dan aktif berinteraksi dengan ahli-ahli panel dalam sesi soal-jawab yang turut menampilkan Ustaz Zikrullah Pramudya, seorang aktivis Sahabat Al-Aqsha iaitu sebuah NGO Indonesia. Sahabat Al-Aqsha berkerjasama erat dengan HALUAN Malaysia dalam beberapa projek bantuan berprioriti tinggi untuk pelarian dan juga penduduk Palestin. Ustaz Zikrullah yang baru pulang dari Timur Tengah itu turut memberi penjelasan tentang apa yang berlaku di Syria dan kaitannya dengan permasalahan Palestin.
Menyahut kefahaman dan kesedaran yang mereka perolehi sepanjang latihan ini, para peserta telah menggariskan resolusi untuk bersatu mengislahkan diri dan seterusnya menyebarkan kesedaran tentang permasalah Palestin ini sehingga ia menjadi topik bualan di kalangan masyarakat. Mereka juga bertekad untuk menggiatkan usaha mengutip dana bantuan Palestin, terutamanya untuk projek pembiayaan sebuah madrasah syariah di Deir Balah, Gaza, yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anak Palestin.
Naib Presiden HALUAN Malaysia bagi Pengurusan dan Latihan, Sr. Hj. Mohd Sabbri Md Yudin telah menyampaikan ucapan penutup latihan kali ini. Beliau menyatakan harapan agar latihan ini telah dapat menyuntik semangat dan kekuatan kepada para peserta untuk aktif menerangkan isu Palestin kepada masyarakat. “Jangan biarkan permasalahan Palestin menjadi suatu isu yang bermusim sahaja,” nasihat beliau.
Laporan Mus’ab Saari, Biro HALUAN Palestin.
Dr Syed Muhammad Haleem menyampaikan kuliah bagi persediaan minda yang jelas kepada semua peserta.
Aktivis HALUAN Palestin, Ustaz Umar Aiman Osman, menerangkan rentetan perjuangan Intifadhah dan kesannya kepada Palestin. Seorang lagi aktivis HALUAN Palestin, Ustaz Ahmad Mohammed Jamalullail Tajuddin, memberi perincian tentang sejarah bumi Palestin dari zaman Nabi Ibrahim AS sehingga ke zaman Sultan Solahuddin Al-Ayyubi. Beliau turut membawa fakta yang membuktikan Zionis Yahudi tidak mempunyai sebarang hak ke atas bumi Palestin. Aktivis Sahabat Al-Aqsha Indonesia, Ustaz Dzikrullah, (kiri) menyampaikan cenderahati berbentuk video dokumentari kehidupan rakyat Gaza kepada Dr Syed Muhammad Haleem (kanan.) Pasukan Sahabat Al-Aqsha berada di Gaza selama lebih sebulan bagi menyiapkan penggambaran video tersebut. Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Terengganu, En Jamil Muda, berkongsi maklumat dan pengalaman dalam menyusun aktiviti dan gerakerja membantu Palestin. Antara lain, beliau menekankan pentingnya bekerja secara berkumpulan dan perancangan rapi. Peserta memberi tumpuan dalam bengkel perbincangan untuk menyusun strategi bertindak apabila pulang ke lokaliti nanti. Peserta turut disajikan dengan pengisian ruhi melalui kuliah Mahgrib dan Subuh. Di sini, Ustaz Wan Mohd Nahar Osman menyampaikan kuliah Maghrib yang bertajuk Kefahaman Islam Yang Benar. Peserta turut melalui sesi riadhah Senaman Ruhul Jadid yang membangkitkan semangat dan perasaan. Sr Hj Sabbri (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta, Sdr Anuwar. Prof. Madya ‘Ubaidah binti Mohammad, ahli jawatankuasa Biro HALUAN Palestin, (kiri) menyampaikan sijil kepada Sdri Asmah. Peserta dan urusetia lelaki bergambar kenangan. Semoga latihan seumpama ini akan diteruskan lagi. Peserta dan urusetia wanita turut bergambar kenangan. Mereka tekad untuk menyebar-luas permasalahan Palestin di lokaliti, samada di kampus, di tempat tinggal mahupun di tempat kerja.