fbpx

02) Konsep Laa Ilaha IlaLlah (لا اله الا الله) Sebagai Suatu Cara Hidup Yang Menolak Jahiliyah

02) Konsep Laa Ilaha IlaLlah (لا اله الا الله) Sebagai Suatu Cara Hidup Yang Menolak Jahiliyah

02) Konsep Laa Ilaha IlaLlah (لا اله الا الله) Sebagai Suatu Cara Hidup Yang Menolak Jahiliyah

laailahailalallahIslam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh). Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar hinggalah kepada cabang-cabang dan ranting-rantingnya yang kecil. Rukun, cabang dan ranting tertegak di atas asasnya dan saling perlu memerlu antara satu sama lain.

Islam umpama pokok, bermula daripada biji benih, kemudian mengeluarkan akar dan pucuk. Seterusnya ia membesar dan membentuk batang, dahan, cabang, ranting dan dedaun hingga menjadi sebatang pokok yang rendang, tegak dan kukuh. Namun, setiap helai daun dihubungkan terus dengan akarnya.

Islam bererti penyerahan diri Islam juga bererti penyerahan diri sepenuhnya tanpa sebarang bantahan atau pengecualian kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Implikasi daripada hakikat ini dengan tegasnya menyekat manusia daripada segala bentuk perhambaan kepada sesama hamba (manusia dan makhluk-makhluk lain). Yang dikehendaki ialah perhambaan manusia hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala Yang Maha Esa. Orang Mu’min hanya akan tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan Allah di dalam segenap urusan hidupnya.

Tugas utama para rasul

Tujuan utama Islam diturunkan ialah untuk memperbetulkan perhambaan manusia. Inilah juga tugas utama setiap Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam didatangkan untuk mengembalikan seluruh manusia supaya patuh dan memperhambakan diri hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan seterusnya mengukuhkan kedudukan syari’at Allah Subhanahu Wa Ta’ala di muka bumi supaya benar-benar berfungsi dalam mengatur kehidupan manusia.

Islam datang untuk membawa manusia supaya patuh kepada kekuasaan dan pemerintahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti alam ini yang berjalan di atas landasan dan peraturan-Nya. Oleh kerana manusia adalah sebahagian daripada alam ini, manusia juga mestilah patuh kepada peraturan-Nya. Dengan itu barulah kehidupan manusia menjadi harmoni, bahagia dan sejahtera.

Kehidupan yang terpancar daripada tauhid

Konsep Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ) membawa pengertian perhambaan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam kehidupan manusia. Kesan kalimah tauhid meliputi ini perasaan, tingkah laku, pegangan, konsep hidup dan segala amalan hidup manusia tanpa terpisah antara satu sama lain. Aqidah tauhid yang betul akan meresapi dalam setiap aspek hidup sama sepertimana darah dan urat saraf yang mengalir ke seluruh bahagian tubuh manusia.

Kebebasan manusia

Aqidah tauhid merupakan pentafsiran yang menyeluruh tentang kewujudan dan kehidupan manusia. Inilah rupa bentuk aqidah yang mesti disebatikan ke dalam jiwa manusia. Apabila hakikat ini jelas dan pentafsirannya ditegakkan dalam pemikiran manusia, hati manusia akan bersih daripada seluruh kepalsuan dan kekotoran. Lepas bebaslah manusia daripada segala ikatan lain kecuali ikatan Allah Yang Maha Kuasa, Zat Yang Mutlak dan berkuasa penuh di alam ini. Hati manusia akan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada-Nya.

tauhid merupakan pentafsiran yang menyeluruh tentang kewujudan dan kehidupan manusia. Inilah rupa bentuk aqidah yang mesti disebatikan ke dalam jiwa manusia. Apabila hakikat ini jelas dan pentafsirannya ditegakkan dalam pemikiran manusia, hati manusia akan bersih daripada seluruh kepalsuan dan kekotoran. Lepas bebaslah manusia daripada segala ikatan lain kecuali ikatan Allah Yang Maha Kuasa, Zat Yang Mutlak dan berkuasa penuh di alam ini. Hati manusia akan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada-Nya.

Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada yang lain kecuali kepada Allah Yang Maha Esa serta berpegang teguh dengannya, manusia akan bebas daripada sebarang konkongan ideologi lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala Lenyaplah sebarang kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia. Dia bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas daripada takut kepada kuasa-kuasa di dunia yang cuba menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata.

Masyarakat bertunjangkan pengabdian kepada Allah
Masyarakat Islam ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh dalam kehidupan mereka.

Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit daripada pancaran cahaya aqidah. Setiap permasalahan hidupnya di bina di atas perhambaan atau pengabdian kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata.

Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ) merupakan aqidah yang betul yang mampu mengangkat masyarakat Islam kepada suatu darjat yang paling tinggi dan mulia. Aqidah ini meletakkan masyarakat Islam dan anggota-anggotanya di tempat yang betul. Aqidah ini sentiasa membetul dan memperbaiki setiap langkah dan tindakan mereka dalam setiap keadaan, masa dan tempat. Aqidah ini merupakan tenaga penggerak yang sentiasa mengarahkan mereka kepada matlamat hidup yang suci dan jelas. Aqidah ini memimpin mereka untuk melalui jalan hidup yang terang dan selamat.

Aqidah tauhid menolak jahiliyyah

Konsep Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ) atau hakikat pengesaan Allah sebenarnya menolak segala bentuk jahiliyyah sama ada berupa nilai, pemikiran atau pegangan hidup.

Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ) membina satu asas kepada cara hidup masyarakat Islam dalam setiap bidang dan urusan. Oleh itu, masyarakat yang praktik hidupnya tidak menterjemahkan tuntutan tauhid ini digolongkan sebagai masyarakat jahiliyyah. Jahiliyyah adalah satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum dan peraturan-peraturan Allah Subhanahu Wa Ta’ala Jahiliyyah melawan dan memusuhi Islam sebagai ad-din. Jahiliyyah merupakan musuh paling ketat kepada ‘Aqidah Islam.

Sistem hidup jahiliyyah, pada hakikatnya, tidak menjadikan Allah sebagai Rabb dan Ilah walau pun mengakui ketuhanan Allah Subhanahu Wa Ta’ala Sistem hidup jahiliyyah hanya mengikut kehendak dan keputusan hawa nafsu manusia serta berhakimkan thaghut.

Masyarakat jahiliyyah juga adalah masyarakat yang mengamalkan ciri-ciri hidup yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, yang tidak mengarahkan diri dan perhambaannya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata sama ada dalam i’itiqad, ‘ibadat atau syari’at yang merangkumi setiap aspek peraturan hidup.

Masyarakat jahiliyyah ialah masyarakat yang mengakui Islam tetapi praktik ubudiyyah (pengabdian) dalam peraturan-peraturan dan perundangan hidupnya tidak kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Masyarakat ini, walaupun merasakan beri’tiqad kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tetapi secara tidak disedari amalan dan penguatkuasaan undang-undang, peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidupnya bersumberkan selain daripada sumber Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Bentuk masyarakat yang dijelaskan di atas tidak diakui Islam sebagai masyarakat Islam. Islam tidak memandang kepada cogan kata, sepanduk dan laungan sahaja sedangkan hakikat kehidupan masyarakat itu diisi dengan sifat-sifat jahiliyyah.

Perlunya mengetahui hakikat jahiliyyah

Sesiapa yang ingin menghayati Islam dalam kehidupannya dan memperhambakan diri kepada Allah perlu sekali mengetahui hakikat jahiliyyah seperti diterangkan di atas. Jahiliyyah yang meliputi pemikiran, aliran, perancangan dan segala cacat cela serta bahayanya agar terselamat dan terpelihara daripada tipu dayanya. Dengan itu dapatlah seseorang itu membuat persediaan dan kelengkapan yang perlu untuk menentang dan menghadapinya.

Menanggalkan jahiliyyah

Manusia yang inginkan Islam mestilah menanggalkan diri dan memisahkan jiwa daripada cara hidup Jahiliyyah. Dia hendaklah memulakan perjalanan hidup baru bersama Islam. Perjalanan hidup yang bebas daripada tekanan nilai jahiliyyah sama ada dalam bentuk, konsep, adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.

Satu perkara yang penting, terutama di peringkat awal da’wah dan pendidikan untuk menghayati Islam, ialah manusia perlu membersih dan memutuskan jiwa daripada sebarang campur aduk dan pencemaran antara Islam dengan jahiliyyah. Da’wah Islam sekali-kali tidak menerima sebarang tolak ansur dengan jahiliyyah atau mematuhi jahiliyyah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliyyah. Yang dikehendaki ialah menanggalkan sepenuhnya suasana, adat, tradisi, pemikiran dan konsep jahiliyyah. Juga yang dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman Islam dan praktik hidup Islam di bawah pimpinan Islam, dimana seluruh ketaatan serta penglibatan tertumpu kepada Islam.

Kewujudan jahiliyyah melata

Jahiliyyah sekarang dan pada setiap zaman tetap menolak hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Inilah antara pengenalan jahiliyyah di setiap tempat, keadaan dan jenis masyarakat. Jahiliyyah berada dalam segenap kemajuan dunia sama ada dalam pemikiran, politik, sosial mahupun ekonomi. Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka di situ terdapat jahiliyyah. Dewasa ini manusia telah dikongkong oleh jahiliyyah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun diasaskan atas jahiliyyah.

Jahiliyyah menolak hukum Allah

Dalam al-Quran, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjelaskan bahawa orang Arab Jahiliyyah memang mengetahui dan mengakui Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai Pencipta dan Pentadbir segala sesuatu, tetapi mereka menolak peraturan dan hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam urusan hidup.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah : “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

“Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa menciptakan pendengaran dan penglihatan, atau siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab: Allah. Maka katakanlah: Kenapakah kamu tidak bertaqwa (kepada Allah)?”

Golongan jahiliyyah mengakui hakikat ketuhanan tetapi mereka tidak mengikuti apa yang mereka akui. Mereka memperhambakan diri kepada ilah-ilah (termasuk isme-isme) selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Mereka mengetahui Allah Subhanahu Wa Ta’ala tetapi tidak melaksanakan syari’at-Nya dalam realiti kehidupan.

Syari’at dan aqidah tidak boleh dipisahkan

Persoalan syari’at tidak boleh dipisahkan dengan persoalan asas Aqidah. Kata pemutus atau garis pemisah ialah sama ada berhukum dengan syari’at Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau disifatkan sebagai jahiliyyah. Jika manusia ikhlas beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan bertekad menerima Uluhiyyah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sudah tentu dia menerima hakimiyyah (pemerintahan) Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allah Subhanahu Wa Ta’ala Pencipta dan Pemilik kepada alam semesta. Allah Subhanahu Wa Ta’ala Penentu hukum dan undang-undang. Dialah yang patut ditaati dan syariat-Nya sahaja yang wajib dipatuhi. Jika tidak, akan lahirlah jahiliyyah dan tertegaklah hukum-hukum yang mengikut hawa nafsu.

Islam diturunkan untuk memastikan bahawa hanya satu sahaja tali penghubung yang menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Apabila terputus tali ini maka tidak terdapat tali lain lagi yang dapat menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan hubungan yang suci, tinggi dan mulia.

Jalan untuk menegakkan masyarakat Islam

Masyarakat Islam bukan satu khayalan. Masyarakat Islam contoh telah pun wujud dan terbentuk secara praktik pada zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tenaga pembentukannya tidak lain melainkan ‘Aqidah at-Tauhid di bawah panji LailahaIllallah ( لا اله الا الله ). Aqidah inilah yang dibawakan baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengikut arahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Jalan yang bertitik-tolak dengan kalimah Lailaha Illallah ( لا اله الا الله ) adalah jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat Radhiallahu’anhu Walaupun jalan ini menempuh pelbagai kesusahan, rintangan dan kesakitan, Allah Subhanahu Wa Ta’ala Yang Maha Bijaksana tidaklah bermaksud untuk menyiksa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan orang-orang mu’min. Allah Sallallahu’alaihiwasallam Maha Mengetahui bahawa itulah satu-satunya jalan untuk menegakkan masyarakat Islam yang mematuhi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jalan inilah yang dapat membersihkan bumi Allah Subhanahu Wa Ta’ala daripada taghut. Bumi ini tidak akan bersih untuk Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata melainkan apabila konsep LailahaIllallah menjadi penghayatan hidup manusia seluruhnya.

Manusia adalah hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Manusia tidak akan menjadi hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang sebenarnya melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan memegang panji Lailaha Illallah. Bagi hamba Allah yang hakiki, tiada kekuasaan selain kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tiada syariat selain syariat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tiada kepatuhan selain kepatuhan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Hamba seperti inilah yang membentuk masyarakat Islam dan bangsa Islam yang menghapuskan perbezaan warna kulit, di mana semua manusia hidup di bawah panji-panji Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Menentang arus jahiliyyah

Jahiliyyah telah sekian lama berakar umbi dan bertapak kukuh dalam kehidupan masyarakat. Jahiliyyah tidak sekadar menjelma dalam bentuk teori. Jahiliyyah menjelma dalam bentuk gerakan kemasyarakatan. Oleh itu usaha-usaha untuk menentang dan menghapuskannya tidak boleh sekadar teori, bahkan memerlukan kesungguhan dan persediaan yang meliputi segenap bidang. Ia juga memerlukan peraturan yang mantap, penyusunan yang rapi dan usaha-usaha yang berterusan. Dengan cara ini, InsyaAllah jahiliyyah yang luas dan berkembang itu dapat dilumpuh dan dihapuskan.

Penutup

Masyarakat Islam hanya akan terbentuk apabila konsep Lailaha Illallah disebatikan dalam jiwa individu dan jamaah muslimah. Masyarakat Islam tidak akan lahir selagi satu golongan manusia tidak terbentuk terlebih dahulu melalui proses keimanan yang mengikrarkan Lailaha Illallah. Proses imaniyyah ini sajalah yang dapat melahirkan ‘ubudiyyah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. ‘Ubudiyyyah ini merangkumi i’tiqad, ‘ibadat, syari’at dan peraturan hidup yang benar-benar berfungsi lagi praktikal dalam semua suasana dan amalan. Proses imaniyyah ini mampu membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Proses imaniyyah ini akan mengawasi manusia daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Proses imaniyyah ini akan melahirkan manusia yang menghayati Islam sebagai ad-din dan menolak segala bentuk jahiliyyah.

Jika pada permulaan Islam iman menjadi tenaga pembangunnya, sudah tentulah iman jugalah yang akan membangunkan masyarakat Islam hari ini