fbpx

Perutusan Maal Hijrah 1433H Presiden

Perutusan Maal Hijrah 1433H Presiden

Perutusan Maal Hijrah 1433H Presiden

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji dan puja hanya bagi Allah SWT yang memberikan kita pelbagai nikmat dan anugerah kurniaan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Junjungan Mulia yang telah menggerakkan suatu perubahan yang besar dalam sejarah peradaban manusia dengan risalah agung daripada Ilahi.

Saban tahun, kedatangan Awal Muharam menjadi salah satu peristiwa yang penting bagi setiap Muslim dan Muslimah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar. Ia juga dijadikan asas ukuran dalam merancang dan juga menilai segala pencapaian dalam kehidupan bagi tempoh satu tahun. Apabila menyebut hijrah, ia bukan semata-mata merujuk kepada peristiwa perpindahan Rasulullah SAW daripada Kota Mekah ke Madinah secara tersurat, namun terdapat nilai tersirat dan ibrah (pengajaran) yang boleh dijadikan panduan di dalam menempuh kehidupan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.” (Surah an-Nahl 16: 41-42)

Hijrah yang ingin saya ketengahkan di sini ialah suatu proses perpindahan kita daripada suatu tahap ke suatu tahap yang lebih baik. Proses ini juga disebut sebagai perubahan. Sesungguhnya, tabiat atau sunnah alam ini adalah ia sentiasa mengalami perubahan seperti mana berlakunya peredaran alam dan perjalanan waktu. Begitu juga dengan setiap manusia, mereka sebenarnya sangat-sangat berhajatkan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan mereka. Justeru, nilai perubahan yang baik harus dinilai daripada kaca mata Islam itu sendiri.

Perubahan terhadap diri seseorang, organisasi mahupun umat – tidak akan berlaku secara mukjizat, magis atau dalam sekelip mata. Sesungguhnya, hijrah itu memerlukan persediaan yang utuh dan pengorbanan yang menyeluruh. Di dalam sirah Rasulullah SAW, kita dapat lihat bagaimana baginda melakukan persediaan terhadap jiwa para sahabat dengan menyemai akidah sehingga benar-benar kukuh di dalam jiwa mereka selama 13 tahun. Proses ini merupakan proses pembentukan dan pembinaan generasi pertama yang menjadi tonggak asas perjuangan yang sangat panjang. Kemudian, antara perkara yang menjadi tunjang kepada perjuangan Rasulullah SAW ialah pengorbanan di kalangan para sahabat. Mereka meninggalkan kampung halaman, harta benda dan segala pemilikan mereka sehingga mengorbankan nyawa, dengan suatu tujuan yang jelas iaitu untuk menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi!

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan perniagaan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah 9 : 111)

Marilah sama-sama kita memahami tuntutan hijrah yang sebenarnya melalui ibrah daripada sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabat RA. Justeru, untuk melaksanakan tugas-tugas pembaikan dan menyebar kebenaran ini, kita dituntut untuk melakukan persediaan dan pengorbanan dengan bersungguh-sungguh sepenuh jiwa tanpa merasa kecewa, letih dan berputus asa.

Persediaan individu-individu Muslim yang meliputi rohani, fizikal, intelektual dan emosi. Dan pengorbanan yang meliputi segala aspek seperti yang dijelaskan oleh Hassan al-Banna iaitu menggunakan (mewakafkan) diri, harta, waktu dan kehidupan untuk mencapai matlamat. Dan tiada matlamat yang lebih mulia dan agung daripada menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini.

Mudah-mudahan, hijrah bagi tahun 1433 ini akan memperkukuhkan lagi keimanan, ketaqwaan dan keyakinan kita kepada Allah SWT.

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN
27 November 2011
1 Muharram 1433 H