fbpx

Perutusan Aidiladha 1432H Presiden HALUAN

Perutusan Aidiladha 1432H Presiden HALUAN

Perutusan Aidiladha 1432H Presiden HALUAN

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Pertamanya, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberikan suatu nikmat kepada kita untuk menyambut satu lagi perayaan di dalam Islam iaitu Aidiladha.

Marilah sama-sama kita meraikannya dengan penuh kesyukuran, kehambaan dan keimanan kepada Allah SWT. Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik RA berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya perayaan ini mereka (bergembira) pada waktu zaman jahiliah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.)

Perayaan ini merupakan kesinambungan perayaan-perayaan yang disambut sebelum zaman Nabi Muhammad SAW. Namun, kehadiran Islam telah membentuk satu sambutan perayaan yang berteraskan keimanan dan perhambaan kepada Allah SWT semata-mata.

Ibadah korban dilakukan bersempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS kerana taat kepada perintah Allah. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Di sebalik sirah ini, dapatlah kita memperolehi suatu gambaran berkaitan suatu hakikat pengorbanan yang tulen, ikhlas dan bersungguh-sungguh hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT. Inilah hasilan daripada keimanan yang hidup dan mampu melaksanakan suatu perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu.

Pengorbanan sebegini harus kita jelmakan di dalam kehidupan seharian di dalam usaha menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai medan berubudiyah kepada Allah SWT. Justeru, pengorbanan apakah yang dituntut? Al Imam Hassan al-Banna menjelaskan dengan katanya di dalam Risalah Ta’alimnya:

“Mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat.”

Pengorbanan seseorang mukmin yang dilakukan sama ada dari aspek wang ringgit, harta, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya perlu dilakukan tanpa rasa terbeban dan terpaksa. Keikhlasan di dalam melakukan pengorbanan akan dihiasi dengan perasaan senang hati, jiwa yang bahagia serta hati yang tenteram. Baginya, pengorbanan itu adalah suatu kenikmatan dan kemanisan dalam proses penghambaan kepada Allah SWT.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah (9) :111)

Menelusuri sirah para sahabat Rasulullah SAW, dapatlah kita saksikan bentuk-bentuk pengorbanan mereka di dalam menyebarkan, mempertahankan dan meninggikan kalimah Allah SWT. Saidina Abu Bakr RA telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya untuk Islam, lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya : “Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?”

Lalu beliau menjawab : “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah SWT dan Rasul-Nya.”

Musab bin Umair, seorang pemuda yang mendapat jolokan permata Makkah yang dilimpahi dengan kekayaan dan kemewahan pemberian ibu bapanya, akhirnya melakukan pengorbanan meninggalkan semuanya sebagai bukti keimanannya kepada Allah SWT dan Rasulnya.

Begitu juga dengan para muslimah pada zaman Rasulullah SAW seperti Khadijah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Summayyah dan lain-lain, kehidupan mereka sudah termaklum dan dimakmurkan dengan pengorbanan yang bernilai. Jelas kepada kita, sejarah para sahabat dipenuhi dengan kisah-kisah pengorbanan demi memenangkan deen Allah SWT.

Pengorbanan yang dilaksanakan oleh para sahabat bukanlah berlaku secara kebetulan atau magis. Ia merupakan suatu hasilan daripada didikan keimanan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA. Proses inilah yang membentuk dan membina keyakinan dan kepercayaan yang luar biasa kepada mereka dalam melakukan pengorbanan untuk deen Allah SWT.

Sesungguhnya, di dalam menggapai kemenangan, proses perlaksanaan pengorbanan sangat-sangat dituntut. Pengorbanan merupakan prasyarat kepada kemenangan. Pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah SWT akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT.

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.” (Al-Baqarah (2) : 207)

Akhirnya, kemenangan itu akan disambut dengan laungan takbir membesarkan Allah SWT dan ucapan tasbih memuji keagungan-Nya. Marilah kita pertingkatkan pengorbanan kita dalam melaksanakan tuntutan ubudiyah ini dengan harapan hanyasanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga dengan pengorbanan itu kejayaan dan kemenangan sama ada di dunia atau akhirat atau kedua-duanya sekali akan menjadi milik kita secara waqie. InsyaAllah. Selamat berkorban demi meraih keredaan Allah SWT.

Salam Aidiladha buat seluruh ummat Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia.

Semoga ruh pengorbanan yang sejati akan menjelma pada setiap tindakan seharian kita. InsyaAllah

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

10 Zulhijjah 1432H
6 November 2011