fbpx

Peristiwa Hitam Al Aqsa Julai 2017

Peristiwa Hitam Al Aqsa Julai 2017

Peristiwa Hitam Al Aqsa Julai 2017

murabitatMasjid al Aqsa dan al Quds dua lambang maruah umat Islam. Apabila umat ini sedang di kemuncak kegemilangan maka kedua mercu tanda ini akan dipenuhi kemakmuran. Sekiranya umat ini lemah maka kacau-bilau dan huru-hara akan mengiringi keduanya.

Tidak ada kedukaan yang lebih berat bagi sebuah masjid melainkan terhalang dari mengumandangkan azan dan didirikan solat di dalamnya lima waktu sehari semalam. Memang itupun fungsi sesebuah masjid.

Maka musibah halangan inilah yang sedang dialami oleh al Aqsa. Masjid ini bukanlah masjid yang dibina oleh ayah atau datuk kita. Tetapi inilah masjid yang di bina dan diulang-bina oleh sekalian para-para nabi dan sahabat bahkan sekalian ramai kekasih-kekasih Allah telah menumpahkan darah mereka untuk menebus masjid yang mulia ini daripada rejim penceroboh.

Kedudukan Masjid al Aqsa

Ia pertama, kedua dan ketiga di hati umat Islam. Sebagai kiblat pertama dalam kefardhuan solat sebelum diubah ke Masjidil Haram. Masjid kedua yang dibina di atas muka bumi setelah Masjidil Haram. Ia tanah suci ketiga umat ini yang mana kelebihan solat di dalamnya menyamai lima ratus kali ganda dari solat di tempat lain.

Selain itu banyak kelebihan dan keistimewaannya, seperti tempat israk dan mikraj Nabi kita Muhammad SAW. Pusat kepada keberkatan yang disebut Allah dalam surah al Israk. Menjadi tanah yang paling banyak menyimpan jasad para anbiyak. Maka tiada ruang untuk mempertikaikan atau keraguan untuk ditimbulkan atas peripentingnya al Aqsa di hati umat Islam. Kini ia diperlakukan sewenang-wenangnya oleh rejim Zionis Israel.

Masjid al Aqsa dizalimi

Ini bukanlah kali pertama masjid al Aqsa dilukai. Sejak 1967 tidak ada lagi jaminan untuk al Aqsa melainkan terpaksa sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Dikesan sekurang kurangnya ada 63 galian di bawahnya. Mimbar tertua dunia Islam yang dibina oleh Nuruddin al Zanki dan dibawa oleh Salehuddin al Ayyubi semasa pembukaannya pernah dibakar oleh pelampau Yahudi. Cubaan menghalang azan dari al Aqsa telah dilakukan berkali-kali yang terakhir sebelum kebakaran dahsyat yang berlaku di seluruh Palestin yang dijajah.

Pencerobohan yang direstui zionis berulang kali tanpa sekatan dan halangan dengan catatan dalam tempoh Jun 2017 sahaja telah mencecah 1,391 orang pendatang haram Yahudi telah menceroboh al Aqsa. Ia berlaku di dalam bulan suci Islam, Ramadhan. Kini penutupan masjid al Aqsa pada 14 Julai 2017.

Peristiwa 14 Julai 2017

  • Pagi tersebut telah menyaksikan tiga pemuda Palestin dengan bersenjatakan pistol dan pisau telah membunuh dua orang polis unit tindakan khas Yahudi dan mencederakan yang lain. Ketiga tiga mereka syahid di tempat kejadian. Mereka menggunakan dua pistol dan sebilah pisau.
  • Ketiga tiga mereka dari tanah 1948 iaitu bandar Ummul Fahm.
  • Lantaran itu masjid al Aqsa diumumkan telah ditutup dan kuncinya dirampas.
  • Solat Jumaat pada hari tersebut juga tidak dibenarkan di masjid al Aqsa.

15 Julai hingga 16 Julai 2017

  • Masjid al Aqsa digeledah dan semua ruang di dalamnya dipecah masuk termasuk perpustakaan dan juga muzium yang banyak menyimpan manuskrip Islam silam digeledah.
  • Ahad 16 Julai Masjid al Aqsa di buka tetapi dengan kawalan yang sangat ketat, bahkan penjajah meletakkan pengesan logam dan kamera pintar di pintu-pintu masuk masjid al Aqsa.
  • Rakyat Palestin yang diketuai oleh Murabitin dan juga Imam al Aqsa merangkap mufti al Quds Syeikh Ikrimah Sabri menolak untuk masuk ke Masjid al Aqsa melalui prosedur mereka itu.
  • Mereka mendirikan solat di pintu Asfat dan meneruskan ribat (berkawal) di medan al Ghazali.

1 Julai hingga 21 Julai 2017

  • Siri demonstrasi dilancarkan oleh seluruh Umat Islam di dalam dan luar Palestin.
  • Ribuan murabithun dari dalam dan luar al Quds mengerumuni persekitaran al Aqsa khususnya pintu Asfat.
  • Berlaku Operasi berani mati seorang pemuda Ramallah membunuh tiga polis yahudi sebelum beliau dibunuh di tempat kejadian di Ramallah.
  • Siri penangkapan dilakukan di luar dan dalam al Quds yang menyasarkan kepimpinan HAMAS.
  • Hari Kemarahan di lancarkan pada 21 Julai 2017 di seluruh dunia.

24 Julai 2017

  • Yahudi bersetuju menanggalkan pengesan logam dan kamera pintar di luar pagar al Aqsa.
  • Namun murabitun masih berkeras agar semua polisi keselamatan dicabut dan al Aqsa dibiar seperti sebelum 14 Julai 2017; barulah mereka akan masuk semula ke dalam al Aqsa. Jika tidak mereka akan terus bersolat di luar pagarnya.

Penerangan Mengenai Tujuan Tidak Memasuki Al Aqsa Dalam Keadaan Sekarang

Operasi yang dilancarkan oleh 3 anak muda itu perlu difahami sebagai tindak balas tabii seorang yang ditindas dan diperlecehkan maruahnya. Ia bukan keganasan tetapi sebuah kemarahan yang tidak dibendung apabila terlalu banyak pencabulan yang berlaku dalam Masjid al Aqsa.

Bagaimanapun, kejadian ini telah dieksploitasi oleh Zionis untuk mengambil alih masjid al Aqsa dan melancarkan rancangan mereka untuk mengagihkan masjid al Aqsa kepada zon masa dan zon tempat antara orang Islam Palestin dan puak Yahudi Zionis.

Oleh kerana apa yang disebut sebagai kawalan keselamatan ini akan menyekat beberapa hak Rakyat Palestin sebagai pemilik asal al Quds dan al Aqsa seperti:

  • Kebebasan beribadah.
  • Mendedahkan mereka pada penghinaan dan perlecehan semasa menjalani pemeriksaan.
  • Pemaksaan yang akan berlaku bagi wanita mendedahkan aurat mereka sekiranya didapati atau terkesan logam pada mereka.

Bahkan ia juga adalah pintu masuk Zionis untuk mengambil alih al Aqsa seperti yang berlaku di Masjid Ibrahimiy. Ia juga menanggalkan keselesaan dan ketenangan bagi para penziarah masjid al Aqsa.

Seluruh umat Islam mendesak agar al Aqsa dikembalikan kepada pengurusan asalnya seperti sebelum 14 Julai dan polis zionis meninggalkan pintu-pintu al Aqsa.

Seluruh umat Islam mendesak agar al Aqsa dikembalikan kepada pengurusan asalnya seperti sebelum 14 Julai dan polis zionis meninggalkan pintu-pintu al Aqsa.

Peranan Kita

Sebagai umat Islam yang berada di luar al Quds kita dicadangkan melibatkan diri dalam dua jenis peranan yang besar:

  1. Mendukung Murabithun.
  • Kita mesti mendukung mereka dengan doa, dana dan suara kita.
  • Kita mesti memikirkan apa sahaja usaha ke arah memperteguhkan kewujudan mereka.
  • Kita memberi kerjasama penuh kepada pihak yang berusaha mendukung mereka.

2.Mendukung Isu Palestin

  • Menjadi duta kepada permasalahan ini.
  • Menyokong perjuangan membebaskan Palestin dengan harta, media dan politik setempat dan antarabangsa.
  • Berdoa untuk mereka.

Tawaran

HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin telah melancarkan kempen dari Murabitin untuk Murabitin yang menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 bagi membantu murabitin dalam 4 aspek utama:

  • Untuk menaja keperluan makanan murabitin.
  • Untuk menaja kos rawatan murabitin yang cedera.
  • Untuk menaja kos pengangkutan murabithin luar al Quds ke Masjid al Aqsa.
  • Untuk menaja pembiayaan guaman.

Untuk setakat ini lebih 500 murabitin cedera dalam pergelutan dengan polis pelerai rusuhan zionis. Manakala hampir 200 orang telah ditangkap dan didakwa.

Semoga bantuan Allah bersama dengan mereka yang sentiasa membantu saudaranya.

Hulurkan sumbangan derma anda ke akaun berikut:-

TABUNG PALESTIN HALUAN
BIMB : 14-023-01-0034292
Maybank : 5644 9020 8528

Email sumbangan anda ke unit.kewangan@haluan.org.my dengan tajuk [Hamper Kasih Murabitat]


Disediakan oleh Muhammad Mus’ab bin Sa’ari, Setiausaha Kerja Biro HALUAN Palestin