fbpx

Pengiktirafan Untuk HALUAN di Sabah

Pengiktirafan Untuk HALUAN di Sabah

Pengiktirafan Untuk HALUAN di Sabah

KOTA KINABALU, 3 Okt 2022 –  Bengkel Libat Urus Proses Pemantauan Hak Asasi Manusia Bagi NGO di Sabah, anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 3 Oktober turut diwakili oleh YDP dan Timbalan YDP HALUAN Cawangan Sabah.

Bertempat di Hotel RAIA Kota Kinabalu Sabah, bengkel tersebut dirasmikan oleh YBhg. SS. Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, Mufti Negeri Sabah. Empat kertas kerja berkaitan hak asasi manusia dan perlembagaan Malaysia telah dibentangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Malaysian Alliance of Civil Society Organisation in the UPR Process (MACSA),The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan Coalition of Sabah Islamic NGOs (CONCERN). 

Pengerusi CONCERN Encik Sainuri Yahmin ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Isu-isu Hak Asasi di Sabah sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh HALUAN, yang dianggap antara NGO yang aktif di Sabah dengan menyediakan pendidikan alternatif kepada anak-anak tercicir dan terpinggir melalui  Pusat-pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Sabah.

PPMI yang menyediakan pendidikan asas seperti kemahiran 3M, pengurusan diri dan kemahiran hidup, Al Quran dan fardu ain telah beroperasi sejak tahun 2011. Sehingga kini lebih 1,000 anak-anak telah berjaya mendapat pendidikan di lebih daripada tujuh buah PPMI seluruh Sabah. Dengan pendidikan yang diperolehi,  kanak-kanak berkenaan dapat diselamatkan  daripada menjadi gelandangan, mangsa pemerdagangan manusia, tali barut, punca penyakit sosial, penagih dan sebagainya. Encik Sainuri juga turut menghargai NGO lain yang terlibat dalam isi pendidikan khususnya kepada anak-anak Orang Tanpa Kewarganegaraan (OKT) yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan aliran perdana.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, YBhg. SS. Datuk Mufti, sangat menghargai usaha libat urus berterusan yang menggabungkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan sebagai satu pasukan dalam menangani isu-isu kemanusiaan yang amat mencabar. 

Bengkel yang berlangsung selama sehari dan turut disertai oleh wakil agensi-agensi agama, NGO, persatuan, dan orang perseorangan bertujuan memberikan pendedahan tentang proses pemantauan hak asasi manusia di samping mengumpul input-input berkaitannya.


Laporan mediaHALUAN Sabah