fbpx

BASIS Mencetus Kesedaran Pentingnya Ilmu Dan Pembudayaan Baitul Maqdis

BASIS Mencetus Kesedaran Pentingnya Ilmu Dan Pembudayaan Baitul Maqdis

BASIS Mencetus Kesedaran Pentingnya Ilmu Dan Pembudayaan Baitul Maqdis

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2022 — Usaha ke arah pembebasan tanah suci Baitul Maqdis harus berteraskan pemikiran dan perancangan strategik, dilandasi dengan ilmu dan kefahaman yang bermanfaat.

Baitul Maqdis Studies International Seminar & Exhibition (BASIS) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hari ini telah membuka peluang kepada semua peserta untuk berinteraksi dan bertukar idea dengan ilmuan dalam bidang Baitul Maqdis. Sekitar 300 orang peserta dari seluruh negara telah menyertai program yang berlangsung sepanjang hari itu.

BASIS menjadi wadah bagi menyampaikan pengetahuan tentang Baitul Maqdis serta membina kesedaran tentang kepentingan ilmu yang strategik dan menjurus kepada pemikiran dan perancangan strategik bagi pembebasan Baitul Maqdis. Ini adalah penting kerana selama ini pembahasan tentang Baitul Maqdis, atau Palestin, lebih banyak berfokus pada sisi emosional dibandingkan pendekatan kajian ilmiah.

Dalam ucapan aluan ketika merasmikan BASIS, Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman memuji usaha gigih Profesor Dr. Abd al-Fattah El-Awaisi yang telah mengadakan latihan jurulatih, menyampaikan syarahan umum, mengadakan perjumpaan strategik dengan pemimpin, tokoh masyarakat serta ahli akademik, untuk menjelaskan kepentingan Baitul Maqdis. BASIS merupakan kemuncak usaha beliau sepanjang dua bulan berada di Malaysia.

Profesor Dr. Abd al-Fattah El-Awaisi merupakan seorang Profesor Perhubungan Antarabangsa, Felo Royal Historical Society – UK, dan Pengasas Pengajian Islamicjerusalem. Beliau pernah menjadi Profesor Tamu di Universiti Utara Malaysia dan menerima Anugerah Sains Dunia Islam (Islamic World Istanbul Science Award) pada tahun 2018. Salah satu pencapaian terbesarnya ialah dalam teori dan model ilmiah dalam bidang Hubungan Antarabangsa, seperti Teori Lingkaran Barakah Lingkaran Baitul Maqdis dan Teori Aman (Koeksistensi Damai dan Saling Menghormati).

Dalam ucaptama beliau yang bertajuk “The Urgent Need for Beneficial Knowledge for the Next Liberation of Bayt al-Maqdis and its Aqsa Mosque”, Prof. Dr. Abd Al-Fattah menjelaskan bahawa permasalahan Baitul Maqdis adalah menyentuh urusan akidah umat Islam, justeru setiap individu harus berperanan dalam pembebasan kota suci itu, yang masih terjajah sejak 105 tahun lalu. “Perjuangan ini mesti bermula dengan persiapan ilmu, sehinggalah Baitul Maqdis menjadi tumpuan serta perhatian setiap lapisan masyarakat,” tegas beliau.

BASIS turut dipenuhi dengan pembentangan syarahan dan forum perbincangan melibatkan Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Islam Universiti Malaya, Dr Burhan Che Daud dari Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham dari Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang, Prof. Madya Dr. Ashinida Aladdin dari Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Najah Nadiah Amran dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan yang merupakan Ketua Biro HALUAN Palestin.

Secara rumusan, para peserta berharap agar program kesedaran Baitul Maqdis atau Palestin tidak lagi menjadi suatu yang bermusim atau sekadar reaksi terhadap kejadian tertentu, sebaliknya harus digerakkan secara berterusan di setiap peringkat melalui jaringan kerjasama yang terancang. Di akhir program, mereka berikrar untuk terus mendalami ilmu tentang Baitul Maqdis, serta menyebarkannya agar terbina budaya Baitul Maqdis dalam masyarakat.

BASIS dianjurkan oleh HALUAN Malaysia bersama Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur (KTDKL), dengan kerjasama strategik daripada Islamic Jerusalem Research Academy, The Academy for Islamicjerusalem Studies (ISRA), Dakwah Corner Bookstore, MyCare, Yayasan Al-Quds Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan.