fbpx

Pemuda Orang Asli Belajar Selenggara Mesin Rumput

Pemuda Orang Asli Belajar Selenggara Mesin Rumput

Pemuda Orang Asli Belajar Selenggara Mesin Rumput

AIR BANUN, GERIK, 10 Sept 2023 – Seramai lapan orang pemuda dari Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba di sini telah melalui Kursus Penyelenggaraan Mesin Rumput yang dianjurkan oleh HALUAN cawangan Pulau Pinang semalam.

Kursus separuh hari teori dan praktikal itu bertujuan mendidik orang asli cara yang betul untuk menjaga mesin mereka masing-masing agar tahan lebih lama, tidak mudah rosak dan tidak merbahaya bila diguna.

“Kami sengaja memperkenalkan kursus ini kerana majoriti orang asli adalah bijak dalam mengguna mesin tetapi tidak pandai dalam menjaga dan menyelenggara. Bila keadaan ini dibiarkan berlaku, mesin mereka mudah rosak sedangkan ia boleh dielak dengan langkah-langkah penjagaan yang sangat mudah. Ini yang HALUAN ajarkan agar mereka lebih prihatin dengan mesin masing-masing,” menurut Bendaharinya, Encik Zulkifli Ismail.

Beliau menambah, setiap kali mesin rosak, ia perlu dihantar ke kedai pembaikan di pekan Gerik yang perjalanannya satu jam sehala. Dan kerap juga HALUAN terpaksa mengeluarkan kos pembaikan bagi pihak orang asli.

“Semua ini adalah kos wang dan kerugian masa sedangkan ladang dan halaman mereka semakin naik semak samun. Kos pembaikan dan kos pengangkutan ulang-alik itu boleh dinyahkan jika mereka belajar untuk selenggara mesin mereka dengan kaedah yang betul,” jelasnya lagi.

Lapan orang peserta itu turut diserikan dengan kehadiran Tok Batin Kampung Air Banun, Encik Ceknekleg dan beberapa orang penduduk lelaki kampung berkenaan. Kursus tiga jam itu dikendalikan oleh sukarelawan HALUAN aktivis orang asli, BroY. HALUAN juga menyumbang 120 bungkusan nasi lemak untuk seluruh penduduk kampung dan peserta kursus.

Salah seorang peserta dari Kampung Air Banun, Encik Sani Dalong berkata: “Kami cukup puas hati dapat hadiri kursus menjaga mesin rumput ini. Selama ini sejak dahulu tidak pernah ada pihak mahu buat kursus menjaga mesin seperti ini. Kami sangat memerlukan dan menghargainya. Kami di Air Banun puas hatilah. Terima kasih kepada HALUAN”.

Peserta dari Kampung Sungai Raba pula, Encik Mohamad Naim Itam berkata kursus jagaan mesin rumput itu sangat bermanfaat untuk mereka semua. “Sebab sekarang baru tahu macam mana nak jaga mesin rumput agar boleh tahan lama daripada cepat rosak. Sebelum ini kami main pakai sahaja. Apabila sudah belajar baru tahu cara penjagaan sepatutnya”.

Laporan Biro Kebajikan
HALUAN cawangan Pulau Pinang

Selepas ini tiada lagi mesin yang tercemar akibat lelehan petrol dan 2T
Peserta orang asli gigih mendengar penerangan. Dua dari kiri Tok Batin Ceknekleg berbaju merah
Encik Sokoria (kiri) diajar cara buka dan ‘greasing flexible throttle shaft’ supaya mesin tahan lama
Lapan orang peserta orang asli hadiri kursus
Encik Tijak (kanan) belajar cara betul campuran petrol dan minyak 2T