fbpx

Majlis Cuppa Tea Peringati Al Aqsa

Majlis Cuppa Tea Peringati Al Aqsa

Majlis Cuppa Tea Peringati Al Aqsa

BANDAR BARU BANGI, 10 Sept 2023 – Majlis ‘Cuppa Tea and Book Launch’ telah berlangsung semalam di Bangi Golf Resort sebagai kesinambungan program ‘Road 2 Baitul Maqdis 2.0’ yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim cawangan Kuala Lumpur (KTDKL). Majlis tersebut telah dihadiri seramai 270 orang.

Majlis bertemakan ‘Sepetang Mengenali Al Aqsa’ merupakan salah satu usaha untuk mengumpul dana bagi tabung penyebaran ilmu Baitul Maqdis. Majlis ini turut juga disertai oleh rakan strategik iaitu The Academy for Islamic Jerusalem Studies UK (Isra UK); Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya; Institut Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis (IEIJS), Universiti Utara Malaysia; Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); dan Cinta Gaza Malaysia. Selain daripada itu rakan-rakan NGO lain yang turut serta adalah Yayasan Al Quds Malaysia, My Aqsa Defender, Serantau Muslim, Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Mahabbah, dan Malaysian Women Coalition for Al Quds and Palestine.

Selain dari meraih dana, majlis ini telah menjemput seorang penceramah daripada Isra UK iaitu Puan Sara Al Ewaisi yang memberi ceramah berkenaan 10 cara untuk menyuntik rasa cinta terhadap Baitul Maqdis di kalangan kanak-kanak dan remaja kerana mereka inilah generasi penyambung kepada perjuangan pembebasan Al Aqsa.

Acara kemuncak pada majlis ini adalah pelancaran buku “Para Nabi dan Baitul Maqdis’ yang dikarang oleh Aisha Mohammed Al Ahlas dan Dania Zaki Arrawi dalam Bahasa Arab dan telah diterjemahkan oleh Prof Madya Dr Ashinida Aladdin. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Naib Presiden 6, HALUAN Malaysia, Dr Zurina Muda.

Sebelum majlis melabuhkan tirainya, satu acara yang amat dinanti-nantikan iaitu acara lelongan atau bidaan tiga barangan yang sangat berharga telah berlangsung. Hasil daripada jualan lelongan ini juga akan digunakan untuk membiayai projek-projek pengembangan ilmu Baitul Maqdis dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bantuan kepada rakyat Palestin. Tiga barangan yang dilelong adalah dua bingkai gambar peta Baitul Maqdis yang sebenar. Peta Baitul Maqdis ini adalah sempadan sebenar berdasarkan Al Quran, Sunnah dan kajian-kajian ilmuwan ulama Islam dan ianya bukanlah sempadan yang direka oleh pihak rejim zionis Israel atau British yang telah menjajah dan memporak-perandakan Baitul Maqdis. Barangan ketiga adalah batu marmar dari Baitul Maqdis yang tertulis di atasnya perjanjian antara Khalifah Umar Al Khattab dengan rakyat Baitul Maqdis ketika Khalifah Umar membuka kota Baitul Maqdis dengan aman. Perjanjian ini adalah perjanjian keamanan kepada seluruh rakyat Baitul Maqdis tidak mengira bangsa dan agama selagi mana rakyat membayar jizyah atau cukai hasil.

Pihak penganjur terutamanya Pengarah Majlis ‘Cuppa Tea dan book launch’ telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang bertugas dan semua jemputan daripada rakan-rakan NGO yang turut menyokong majlis ini.

Laporan Urusetia Road2BaitulMaqdis 2.0