fbpx

Pelajar-pelajar Bandar Tasik Puteri Ikuti Khemah Ibadah Remaja

Pelajar-pelajar Bandar Tasik Puteri Ikuti Khemah Ibadah Remaja

Pelajar-pelajar Bandar Tasik Puteri Ikuti Khemah Ibadah Remaja

RAWANG, 13 Disember 2009 — Seramai 62 orang pelajar telah berjaya mengikuti program Khemah Ibadah Remaja (KIBAR) yang diadakan di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang. Bertemakan “Mari Kita Cemerlang Untuk Islam Kerana Allah SWT,” program ini telah dapat memberi kesedaran dan bimbingan kepada peserta  tentang matlamat hidup sebenar di dunia ini, dan ke mana harus difokuskan setiap usaha mereka.


Program yang berlansung dari 12 hingga 13 Disember itu dijayakan hasil kerjasama HALUAN Selangor, Jawatankuasa Surau As Siddiqin dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Bandar Tasik Puteri. Perlaksanaan program ini turut dibantu oleh para fasilitator dari kalangan ahli HALUAN di Rawang dan juga ahli Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Pengerusi Surau As Siddiqin, Tn Hj Harun, telah merasmikan program tersebut dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Puan Pengetua Sekolah Menengah Bandar Tasik Puteri, Puan Hjh Maimunah.

Peserta KIBAR juga sangat bertuah kerana telah dapat bersama Naib Presiden HALUAN (Hubungan Kaum & Kemasyarakatan,) Dr Azizan Ahmad. Beliau yang juga merupakan seorang motivator, telah membawa para peserta menghayati dimensi dakwah dan sakhsiah Islam. Dr Azizan menyimpulkan bahawa ukuran kecemerlangan yang sebenar adalah daripada ukuran Allah, dan bukan manusia.Pengisian KIBAR dikendalikan oleh seorang pakar Pemetaan Minda dan Psikologi Minda Pelajar, Tuan Hj Rosdi Bin Baharom yang juga Pengurus Hal Ehwal Pelajar Kolej Teknologi Darul Naim (KTD,) Kelantan. Beliau telah membimbing para peserta dalam membina penetapan matlamat kehidupan serta berbagai kaedah pembelajaran yang berkesan. Antara lain, Tn Hj Rosdi telah mendedahkan teknik asas pemetaan minda bagi tujuan membantu mereka menyediakan nota yang berkesan.

Susulan daripada program ini, pihak sekolah serta komuniti setempat amat berharap agar HALUAN Selangor dapat bekerjasama menjalankan program seumpamanya di masa akan datang. Menurut Pengarah Program KIBAR, En Ahmad Fisal Md Salleh, pihak sekolah dan masyarakat setempat berharap agar program KIBAR pada tahun 2010 dirancang untuk penyertaan oleh keseluruhan pelajar di situ.