fbpx

Mualaf B40 di Kedah Amat Terhimpit Oleh Pandemik COVID-19

Mualaf B40 di Kedah Amat Terhimpit Oleh Pandemik COVID-19

Mualaf B40 di Kedah Amat Terhimpit Oleh Pandemik COVID-19

SUNGAI PETANI, 14 Dis 2020 – Program Santuni Mualaf B40 yang dirancang oleh Biro HALUAN Fitrah (BHF) Pusat telah dilaksanakan di peringkat negeri Kedah oleh BHF Kedah di sekitar Sungai Petani, Kedah pada 11-13 Disember lalu.

Program ini bertujuan membantu meringankan beban kehidupan mualaf B40 dalam suasana wabak COVID-19. Ia juga bertujuan merealisasikan erti persaudaraan Islam, membajai keimanan dan memupuk hubungan yang lebih erat antara BHF Kedah dan golongan mualaf B40 terbabit.

Seramai 11 orang sukarelawan yang terdiri daripada enam orang lelaki dan lima relawan wanita telah terlibat dalam program tersebut. Program ini diadakan dengan kerjasama Team Amal Mabrur (TeAM) yang diterajui oleh Encik Wafdi Yusof. Turut hadir dalam program ialah Ketua BHF Kedah, Dr. Mohamad Nasir Othman. Sebanyak 10 buah rumah mualaf B40 telah diziarahi. Barang keperluan harian seperti beras, gula, garam, telur, tepung dan sedikit wang saguhati telah diserahkan kepada para mereka yang memerlukan itu.

Mereka telah menyambut kedatangan rombongan BHF dengan ramah dan mesra sekali. Puan Aishah Lee telah mengucapkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada rombongan BHF yang datang menyantuni beliau. Begitu juga Encik Osman Tan Abdullah yang menghargai rombongan BHF Kedah itu kerana sudi menziarahi beliau yang tinggal berseorangan di sebuah rumah yang amat sederhana di Kampung Baharu Pulau Tiga di sini. Beliau akan terpaksa keluar daripada rumah tersebut kerana tuan tanah telah memberikan notis evakuasi.

Para relawan juga mendapati COVID19 telah memberikan impak yang besar kepada kehidupan mualaf B40. Terdapat mualaf yang terpaksa menjual kenderaan pikap yang selama ini digunakan untuk berniaga. Encik Hafiz Abdullah terpaksa keluar daripada madrasah tempat perlindungan kerana madrasah telah mengarahkan semua pelajar untuk pulang ke kediaman masing-masing. Beliau sebatang kara dan terpaksa menumpang di asrama pekerja nasi kandar.

Seorang muallaf wanita, Puan Fatimah Abdullah telah kehilangan pekerjaan kerana menghidap penyakit darah tinggi dan angin ahmar. Semasa diziarahi, beliau telah mulai sembuh dan memerlukan modal untuk memulakan perniagaan warung menjual makanan bagi menyara kehidupannya. Encik Fadhli Lai Abdullah telah lumpuh daripada bahagian pinggang hingga ke kaki. Beliau bekerja daripada rumah dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Isterinya juga terpaksa menjaga beliau di rumah di samping bekerja menjual kuih-muih daripada rumah. Mereka mempunyai tiga orang anak, dua orang bersekolah dan seorang lagi belum bersekolah.

Program santuni Mualaf B40 peringkat Kedah itu telah memberikan satu keinsafan baharu kepada para sukarelawan tentang betapa golongan mualaf B40 menghadapi pelbagai cabaran dan amat terkesan dalam suasana pandemik COVID-19 ini. Kehadiran para relawan BHF Kedah sedikit sebanyak telah meringankan beban yang mereka tanggung selama ini. Ianya juga dapat membuktikan konsep persaudaraan Islam dan membajai keimanan mereka kepada Allah SWT.


Laporan Dr. Mohamad Nasir, Ketua Biro HALUAN Fitrah Kedah

Bantuan Kebajikan Pandemik COVID-19

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.