fbpx

Mindanao Bersyukur Terima Bantuan Iftar

Mindanao Bersyukur Terima Bantuan Iftar

Mindanao Bersyukur Terima Bantuan Iftar

MINDANAO, FILIPINA, 12 Mei 2021 – Golongan masyarakat miskin di Mindanao turut mendapat habuan bahan makanan iftar hasil kemurahan hati para penderma dari Malaysia.

Ia bersempena kempen “Sejuta Barakah Ramadan” yang dilancarkan oleh HALUAN sepanjang bulan Ramadan lepas untuk menyantuni berbagai sektor masyarakat dalam dan luar negara menyambut bulan puasa.

“HALUAN telah menghantar bantuan iftar untuk umat Islam di beberapa wilayah di sana kerana tinjauan kami mendapati begitu ramai penduduknya yang miskin dan memerlukan,” berkata Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Prof. Dr. Mokhtar Ibrahim.

“Hasil kepercayaan masyarakat awam Malaysia yang telah ikhlas menderma melalui kami dalam kempen ini, kami telah dapat menyalurkan bantuan makanan untuk beriftar kepada Pusat Dakwah Revert Islamic Dawah Center di Mati City, Davao Oriental; penduduk Islam di Magdagongdong Poblacion, Lupon, Davao Oriental; penduduk di Barangay Darapanan, Sultan Kudarat, Maguindanao; tiga buah asrama anak-anak yatim di sekitar Cotabato; serta
penduduk Islam di Masiu Lanao Del Sur Marawi,”
jelas beliau.

Mindanao adalah wilayah autonomi yang terdiri dari pelbagai pulau. Penganut Islam adalah penduduk kedua terbesar dan kebanyakan mereka tinggal di wilayah Basilan, Lanao del Sur, Maguindanao, Sulu dan Tawi-Tawi.

Pusat pentadbiran Mindanao ialah Davao City, sebuah wilayah yang terletak di selatan Mindanao. Kehidupan sebelum ini yang sentiasa bergolak dengan perang kerana perebutan kuasa pemerintahan dengan kerajaan persekutuan Filipina menjadikan keadaan umat Islam di sana agak ketinggalan. Walau bagaimanapun, umat Islam di sana mempunyai kuasa autonomi sendiri yang dikenali sebagai ”Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM)”.

Wilayah-wilayah yang disenaraikan di bawah kuasa BARMM ialah Basilan (kecuali Isabela City), Lanao del Sur, Maguindanao, Sulu, Tawi-Tawi, Marawi, Lamitan, Cotabato dan beberapa buah bandar lain di utara Cotabato.

Penduduk Islam Mindanao yang menerima sumbangan iftar Ramadan tersebut telah melahirkan rasa syukur dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para penderma dari Malaysia.


Laporan Mohd Jamil Muda, Biro Misi Kemanusiaan HALUAN