fbpx

Meriah Sambutan Aidilfitri 1444H HALUAN

Meriah Sambutan Aidilfitri 1444H HALUAN

Meriah Sambutan Aidilfitri 1444H HALUAN

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2023 – Lebih 1,500 orang ahli, relawan dan tetamu jemputan serta keluarga mereka hadir memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri HALUAN yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Melati Impian, Kuala Lumpur, semalam. Kehadiran wakil-wakil agensi kerajaan dan rakan NGO menyerikan lagi majlis kali ini.

Buat pertama kali sejak tahun 2020 apabila Malaysia dilanda pandemik COVID-19, masyarakat dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri secara meluas serta penuh kemeriahan. Bagai melepaskan rindu, ramai hadirin terutama daripada kalangan ahli dan relawan HALUAN beramah mesra serta bertanya khabar setelah sekian lama tidak dapat bersua dalam suasana meriah sebegini.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman; Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin; dan juga Yang Dipertua (YDP) HALUAN Kuala Lumpur, Encik Mohd Azhar Idris; YDP HALUAN Selangor, Encik Hamdan Mokhtar; dan YDP HALUAN Putrajaya; Encik Nordin Endut. Manakala para tetamu jemputan yang hadir termasuklah wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Yayasan Amal, Islamic Relief Malaysia (IRM), Yayasan Al-Quds Malaysia, serta Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO).

Di samping dapat mengeratkan lagi persaudaraan serta menikmati pelbagai juadah yang disediakan, majlis telah diserikan lagi dengan persembahan oleh murid-murid Sekolah Rendah Ibn Kathir (SRIK) dan Tadika Raudhah Ibn Kathir (TRIK) Gombak. Kelab Siswa HALUAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut mempersembahkan nyanyian nasyid.

Majlis kali ini turut meraikan anak-anak yatim daripada Asrama HALUAN Penyayang dan pelarian Rohingya yang merupakan pelajar di Rohingya Community Educare Center (RCEC) bawah kelolaan HALUAN. Golongan mualaf daripada kalangan bangsa India dan Cina yang aktif bersama Biro HALUAN Fitrah (BHF) turut menjadi tetamu istimewa.

Pada kesempatan itu, Dr. Abdullah Sudin telah menyampaikan hadiah duit raya kepada kanak-kanak yang hadir dan juga merasmikan pelancaran ibadah korban bagi tahun 1444H.

Majlis sambutan Aidilfitri kali ini merupakan gandingan usaha HALUAN Pusat, HALUAN Kuala Lumpur, HALUAN Selangor, dan HALUAN Putrajaya.


Laporan Biro Media HALUAN