fbpx

Menteri Pendidikan Puji Usaha HALUAN Sabah

Menteri Pendidikan Puji Usaha HALUAN Sabah

Menteri Pendidikan Puji Usaha HALUAN Sabah

KUNAK, SABAH, 24 Ogos 2023 : Suatu penghargaan tinggi buat HALUAN cawangan Sabah apabila Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) ciptaannya telah dilawati oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek di Kampung Kabog dalam rangka Lawatan Tindakan Susulan Parlimen.

Kehadiran YB Menteri bersama rombongan VIP disambut dengan paluan kompang, persembahan bicara berirama dan persembahan pentomen oleh pelajar-pelajar PPMI. Puan Fadhlina teruja dengan kemampuan NGO seperti HALUAN melaksanakan program pendidikan bersepadu bertujuan mendidik masyarakat terpinggir tanpa dokumen pengenalan diri untuk menyuntik ilmu asas kepada mereka.

Katanya, “Usaha murni pihak HALUAN dalam menyokong ekosistem pendidikan kepada semua anak-anak sangat kami hargai dan wajar dicontohi dalam usaha kita untuk sama-sama memastikan agar tiada kanak-kanak dipinggirkan dalam pendidikan”.

Setelah itu, YB Menteri sempat mewakili Yayasan Didik Negara dan Yayasan Tun Hussin Onn dengan menyampaikan sumbangan kepada pelajar PPMI yang diwakili oleh Guru Besar PPMI Kabog, Ustaz Lajunaidi Lajahidi; Penyelaras PPMI Daerah Kunak, Ustaz Lajamudi Lajahidi; dan YDP HALUAN Sabah, Encik Surail Abdul Kahar. 

Surail berkata projek PPMI yang dicetuskan HALUAN Sabah sejak hampir 20 tahun yang lalu adalah hasil gandingan mantap sukarelawan pertubuhan itu yang berkorban apa sahaja untuk memastikan pendidikan dapat dikecapi oleh semua orang. Ia bertujuan memertabatkan ilmu akademik dan agama di kalangan anak-anak kecil sesuai dengan motto HALUAN iaitu “Berakhlak, Mendidik & Berbakti”.

Acara diteruskan lagi dengan lawatan YB Menteri bersama barisan dif-dif kehormat ke beberapa buah kelas Kafa dan tadika kelas bimbingan insan yang sedang berlangsung.

Acara akhir Puan Fadhlina adalah melawat gerai pameran yang disediakan oleh PPMI dari seluruh Sabah diikuti sesi penyerahan cenderahati kepada beliau, KPM, JPNS dan PPD Kunak.

Terlebih dahulu, YB Menteri sempat diwawancara oleh Adik Zikri yang merupakan wartawan cilik PPMI. Menteri juga sempat menandatangani plak lawatan sebagai tanda kenang-kenangan kunjungan rasmi tersebut.

Turut hadir dalam program itu adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk James Ratib yang mewakili Ketua Menteri Sabah; ADUN N.63 Kunak, YB Norazlinah Ariff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Ahmad Rafee Che Kassim; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Encik Raisin Saidin; Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman; serta Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kunak, En Ab Malek Abd Rahman dan pegawai-pegawai iringan lain. 

—–

Laporan oleh Jumat Salleh

NYDP 4 HALUAN Malaysia Sabah