fbpx

Mendidik dan Berbakti di Ceruk Cranfield

Mendidik dan Berbakti di Ceruk Cranfield

Mendidik dan Berbakti di Ceruk Cranfield

Kedinginan bumi UK hampir aku lupa. Jika sepuluh tahun dulu aku berazam tidak lagi menjejakkan kaki di bumi ini kerana cuaca sejuknya yang aku tak tahan. Tapi penyusunan Allah SWT mengatasi segala-galanya bila mana aku kembali semula ke UK.

Kalau dulunya aku bujang, kini aku sudah beristeri. Kalau dulunya aku tak punya cahayamata, kini aku sudah dikurniakan Allah lima. Kalau dulunya aku sekadar menjadi penerima kini aku dituntut untuk memberi. Pengalaman silam berusrah di tanahair banyak mengajar dan mendidik jiwa dan hati dalam mengharungi liku-liku jalan dakwah dan tarbiyah. Akhirnya aku mengharapkan agar pengalaman dan kematangan di atas jalan ini mampu membuatkan diri aku terus istiqomah menyumbang kepada Islam.

Bumi Cranfield hanyalah sebuah perkampungan kecil di bawah jajahan Bedfordshire. Semua warga penuntutnya melanjutkan pengajian postgraduate samada di peringkat Master atau PhD. Tiada pelajar undergraduate di sini. Dengan komuniti Melayu yang agak kecil dalam sekitar 10 ke 12 keluarga menyebabkan hubungan kami di sini agak akrab. Bak kata seorang senior di sini, kalau jarum sebatang jatuh di Cranfield pun semua orang Melayu boleh tahu. Lucunya.

Masyarakat Melayu di sini tiada program keagamaan yang tersusun. Agak cemburu juga bila terdengar beberapa tempat di lokalilti lain seperti di Birmingham ada majlis ilmu. Keberadaan para ustaz yang melanjutkan pengajian di sana dimanfaatkan sepenuhnya. Memang cemburu. Aku selalu berdoa, seandainya diri ini ditakdirkan berada jauh daripada suasana ingat mengingati, agar Allah SWT menguatkan aku dengan individu yang dapat membantu.

Alhamdulillah, seorang junior ditakdirkan Allah SWT datang ke sini bagi melanjutkan pengajian. Dia bukan sahaja lepasan sekolah aliran agama di tanahair tetapi juga agak mahir berbahasa Arab. Selang beberapa waktu, Aku mula mencetus perbincangan dengan beliau peri pentingnya dihidupkan suasana ingat mengingati dalam rangka untuk membina suasana soleh. Salah satu elemen yang memberi kesan besar terhadap keberkesanan pendidikan dan pembentukan peribadi insan yang baik ialah wujudnya suasana yang membantu. Tanpa wujud suasana ingat mengingati, bagaimanakah ingin mengharapkan wujud individu-individu yang soleh, yang tidak lupa tugas dan tanggungjawab sebagai insan, yang tidak alpa dengan hari pembalasan? Sedangkan kami dilingkungi persekitaran yang tidak mengingatkan diri kepada Tuhan. Minat ditunjukkan, tetapi bagaimanakah hendak memulakannya?

Tiba bulan Ramadhan yang mulia satu tahun lepas, aku diizinkan Allah SWT mendapat satu idea, kenapa tidak dibuat tadarus Al-quran sebagai pemula. Rumahku menjadi target kaum ibu bertadarus sementara kaum bapa bertadarus di masjid universiti. Walaupun sambutan agak dingin pada permulaan Ramadhan, tetapi lama kelamaan sambutan terhadap pengajian mula berkembang.

Dipendekkan cerita, berakhirnya Ramadhan, aku mencadangkan agar diteruskan program walau telah berakhirnya Ramadhan. Hati yang terkesan dengan Al-Quran tidak akan menolak perkara yang baik. Mungkin juga berkat Ramadhan dan ruh Al-Quran. Ramai menyetujui dan memberikan beberapa alternatif untuk memperbaiki program ini. Untuk menjadikan program ini lebih dikenali aku menamakannya sebagai KURUS yakni KUmpulan tadaRUS. Alhamdulillah giliran rumah ke rumah berjalan dengan baik walaupun kadangkala ramai yang tidak datang. Aku rasa yang penting bukan bilangan tetapi kesedaran untuk membina suasana soleh yang perlu diutamakan.

Semua ahli KURUS bersetuju dengan matlamat program yang telah digariskan iaitu untuk memahami dan menghayati Al-Quran dan semampu mungkin berusaha mengamalkannya dalam gerak kerja harian. Ada kalanya dua atau tiga ayat dibaca setiap orang dan diselangi dengan terjemahan serta perbincangan. Pembacaan diteruskan ahli berikutnya apabila tiada lagi perbincangan dan kemudian berhenti lagi untuk terjemahan dan perbincangan. Begitulah rutin dua minggu sekali dengan giliran rumah ke rumah.

Fikiran aku sentiasa berfikir bagaimana untuk menambah baik perjalanan KURUS ini. Aku tidak pernah mempersoalkan keikhlasan ahli-ahli KURUS. Hadirin sentiasa dijamu dengan makanan yang enak usai program, sesetengah ahlinya hadir awal sedangkan aku sendiri kadangkala terlewat, masing-masing saling tawar-menawar untuk menjadikan rumah mereka sebagai lokasi KURUS yang seterusnya.

Cuma satu persoalan yang sering berlegar difikiran, apakah halatuju KURUS ini? Bila diselak kembali penyampaian-penyampaian yang lalu dari teman-teman, ternyata pendidik itu kerjanya menyampaikan. Sampaikan apa? Sampaikan ilmu yang mencetus kesedaran Islam, kesedaran beragama. Bahan-bahan yang diterima adalah untuk membina peribadi muslim, membina kekuatan hati, persoalan iman, perihal ukhuwah, tanda-tanda hati yang hidup dan ikhlas.

Usaha mendidik dan berbakti di ceruk Cranfield akan berterusan, insyaAllah. Itulah tugas dan tanggungjawab insan yang bergelar Mukmin. Doakan kami di sini.

Paeyam, Cranfieid, UK