fbpx

Mendidik anak dalam masyarakat sekular di Glasgow

Mendidik anak dalam masyarakat sekular di Glasgow

Mendidik anak dalam masyarakat sekular di Glasgow

Berbeza dari Malaysia, sesi persekolahan di Scotland bermula pada Ogos setiap tahun. Secara ringkasnya, sistem pendidikan formal di sini bermula ketika kanak-kanak berumur 5 tahun untuk tahun 1 dan tamat sehingga tahun 7 iaitu ketika berumur 12 tahun.

Walau bagaimana pun persekolahan sebenarnya telah bermula dari umur 3 tahun lagi iaitu di tadika. Memandangkan cukai pendapatan amat mahal, maka semua kos di tanggung oleh kerajaan tempatan daripada tadika sehingga ke sekolah menengah. Ini bermakna sekolah dan tadika berada di dalam bidang kuasa majlis perbandaran. Kerajaan pusat bertanggungjawab menyediakan peruntukkan tahunan, mengawal silibus dan menyediakan peperiksaan-peperiksaan utama. Bagi yang belajar sepenuh masa, cukai pendapatan dikecualikan.

Pada tahun ini anak saya yang ketiga, Irham, pula akan memasuki tahun 1. Tidak seperti ketika kakak dan abangnya, Syakirah dan Irfan, hendak memulakan persekolahan, perasaan saya dan isteri agak selamba sedikit kali ini. Bukan tidak ambil berat, cuma tidak perlu banyak membuat persediaan. Berbanding ketika mula-mula menjejaki kaki di bumi permaisuri, semuanya rasa terasing. Bila Syakirah dan Irfan memasuki sekolah, persediaan mental dan fizikal untuk mereka perlu difikirkan semasa itu. Pertama, mereka tidak dapat memahami bahasa Inggeris sepenuhnya, dan kedua suasana musim sejuk ketika itu memerlukan masa untuk mereka dan kami sendiri membuat penyesuaian.

Apa yang di jangka memang berlaku. Selepas 2 minggu memasuki tadika, Irfan seperti tidak ceria. Sehinggalah pada satu hari dia tidak lagi mahu bertutur dalam bahasa Melayu. Bila di tanya mengenai sesuatu pasti dia akan menjawab dalam bahasa Inggeris, walau pun sebenarnya banyak yang salah atau “broken”. Selepas di tanya beberapa kali kenapa tidak mahu bercakap bahasa Melayu baru kami tahu sebabnya.

“Semua budak-budak tak nak kawan dengan abang”, jawab Irfan. “Budak-budak suka ejek abang… abang tak nak cakap Melayu lagi,” sambung Irfan. Begitulah hari-hari yang seterusnya. Pada umur 8 tahun, baru nampak Irfan mula hendak bercakap kembali bahasa Melayu, walau pun “broken”!

Keadaan berbeza dengan Syakirah. Ketika itu dia memasuki darjah 4 dan menghadapi kesukaran untuk memahami pelajaran yang diajar. Ini kerana pembelajaran dari tahun tiga dan ke atas banyak melibatkan perbincangan dan kerja kumpulan. Akhirnya pihak sekolah telah menguruskan Syakirah untuk di hantar ke Glasgow Bilingual School, sebuah sekolah khas yang mengumpulkan semua kanak-kanak yang tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Inggeris untuk di beri kursus intensif. Soalan pertama yang di tanya oleh guru penolong kanan sekolah khas kepada saya pada hari pendaftaran ialah dari mana saya datang. Bila saya jawab Malaysia, beliau terus tersenyum dan terus berkata “Don’t worry she will pick up the language very fast… within 3 months, Malaysian kids are very smart.” Rasa bangga pula bila dengar mat saleh puji anak-anak kita. Memang betul, selepas tiga bulan Syakirah sudah boleh bertutur dan memahami bahasa Inggeris dan dihantar kembali ke sekolah biasa-Annette Street Primary School yang terletak 5 minit dari rumah.

Tahun lepas Syakirah memasuki tingkatan satu. Ini bermakna dia perlu berpindah ke sekolah menengah. Memandangkan Annette Street Primary School adalah sekolah aliran sekular, maka Syakirah perlu menyambung persekolahan menengah di sekolah aliran sekular juga. Sekolah yang paling hampir ialah Shawlands Academy, kira-kira 30 minit berjalan kaki melalui Queens Park yang agak sunyi dan merbahaya. Apabila berlaku kes pembunuhan seorang wanita di situ dua tiga bulan sebelum Syakirah memulakan sesi persekolahan, kami terus membuat keputusan memohon Syakirah di masukkan ke Sekolah RC Holyrood yang hanya terletak kira-kira 10 minit dari rumah. Permohonan perlu di lakukan kepada Majlis Perbandaran dan RC Holyrood kerana sekolah tersebut adalah sekolah aliran agama dan hanya menerima pelajar-pelajar dari sekolah rendah agama. Untuk makluman RC adalah ringkasan kepada Roman Catholic. Atas alasan rumah begitu hampir dengan sekolah dan keadaan yang merbahaya yang dinyatakan sebelum ini maka permohonan telah diluluskan beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula.

Tempoh sebulan pertama Syakirah belajar di RC Holyrood adalah tempoh pengukuhan dan pemahaman agama di mana tiada lain yang dipelajari kecuali mengenai Kristian Katolik dari Jesus anak tuhan sehinggalah kepada konsep trinity atau 3 dalam satu. Saya dan isteri pada mulanya tidak berapa mengetahui apa yang berlaku sehinggalah pada minggu ke dua apabila Syakirah meminta bantuan untuk menjelaskan rasa keliru dengan konsep ketuhanan yang di pelajarinya dan untuk menyiapkan tugasan yang di beri. Menurut Syakirah konsep tersebut amat mengelirukan bukan sahaja kepada pelajar-pelajar Islam tetapi juga di kalangan pelajar-pelajar kristian sendiri. Tidak nampak keselarasan dengan pemikiran lojik mereka. Alhamdulillah asas awal di sekolah Ibnu Abbas semasa di Kuantan serta program anak-anak anjuran Haluan yang pernah diikuti sewaktu di Malaysia banyak membantu Syakirah memperkukuhkan kefahaman Islam dan membuat penilaian mengenai konsep agama Kritian yang dipelajarinya. Terima kasih.

Untuk menerangkan sistem pendidikan di sini secara terperinci mungkin memerlukan penyelidikan yang mendalam. Apa yang dicoretkan hanyalah sedikit pengalaman peribadi. Walau bagaimana pun sepanjang berinteraksi dengan guru-guru sekolah semasa sesi penilaian prestasi anak-anak, didapati apa yang ditekan oleh pendidikan di sini ialah pembinaan asas mencintai ilmu, membina daya kreativiti, keyakinan diri, kemahiran berinteraksi atau bermasyrakat dan menjana individu yang bertanggungjawab kepada negara. Tidak nampak penumpuan kepada aspek pembinaan rohani. Bagi sekolah aliran agama, pendidikan agama Kristien dimasukan untuk membina keyakinan kepada konsep ketuhanan mereka. Namun disebabkan sistem kehidupan masyarakat yang suka kepada kebebasan dan hiburan-hiburan yang melampau, maka unsur-unsur keyakinan kepada ketuhanan telah gagal sehinggakan kadang-kadang apa yang dipelajari di sekolah menjadi satu bentuk ilmu sahaja. Justeru itu tidak hairanlah ramai dari mereka sudah tidak lagi mempercayai kepada agama dan kehidupan selepas mati. Penunjuk paling jelas ialah berkurangnya orang ke gereja pada hari Ahad dibandingkan dengan pengunjung ke stadium bolasepak atau pub-pub yang melata. Kalau ada pun pengunjung, kebanyakannya terdiri dari orang-orang pencen. Untuk melihat pengunjung ke gereja yang agak ramai mungkin semasa upacara kematian dan perkahwinan. Itu pun bergantung kepada kedudukan si mati atau yang berkahwin. Setengah-setengah gereja terpaksa ditutup dan dijual, seperti yang terjadi pada gereja berhampiran rumah saya yang sudah di beli oleh masyarakat Islam dan diberi nama Masjid Al-Farooq. Kalau umur panjang, mungkin saya akan menulis mengenai Masjid Al-Farooq dan masyarakat Islam di sini. Jumpa lagi InsyAllah.

Pakteh, Glasgow untuk HALUAN.