fbpx

MASkargo Angkut Barangan Bantuan Banjir

MASkargo Angkut Barangan Bantuan Banjir

MASkargo Angkut Barangan Bantuan Banjir

SUBANG, SELANGOR, 28 Dis 2014 — Keperihatinan dan sifat dermawan rakyat Malaysia dalam menghulur pertolongan kepada mangsa banjir mengakibatkan barangan bantuan untuk mereka tidak mampu dihantar menggunakan pesawat kecil.

HALUAN Cawangan Selangor telah menyiapkan sebanyak dua tan barangan bantuan kemanusiaan hasil derma dan sumbangan orang ramai di Selangor untuk dihantar ke kawasan bencana di Kelantan melalui penerbangan ehsan Firefly pada awal pagi tadi.

Ini merupakan penghantaran kedua selepas penghantaran satu tan barangan bantuan sumbangan orang ramai melalui pusat pengumpulan di Ibu Pejabat HALUAN kelmarin.

Sambutan luar jangkaan daripada orang ramai yang menyumbang melalui HALUAN Cawangan Selangor dan juga NGO-NGO lain seperti MERCY, IMARET dan OSCAR telah menyebabkan jumlah barangan bantuan yang terkumpul di Terminal SkyPark Subang melebihi kapasiti yang mampu dibawa melalui pesawat propeler ATR 72-500 Firefly.

Setelah perbincangan dibuat, persetujuan dicapai antara pihak NGO-NGO terlibat dan Firefly untuk menggunakan khidmat MASKargo bagi membawa kesemua barang bantuan ke Kota Bharu. Penghantaran dijangka akan dibuat pada esok hari.

Seramai 30 orang relawan HALUAN lelaki dan wanita termasuk mahasiswa telah turun membantu usaha memindah dan mengangkat barangan bantuan ke dalam lori bonded MASkargo yang tiba sekitar jam 3.00 petang untuk dibawa ke KLIA. Para relawan HALUAN bersama-sama dengan sukarelawan daripada NGO terlibat telah berjaya memenuhkan lori kontena MASKargo dengan barangan bantuan secara manual dalam tempoh satu jam.

“Kerahan tenaga kami ini telah banyak membantu pihak Firefly dan juga pihak lain yang terlibat dari segi persiapan logistik. Mereka mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua relawan HALUAN yang turun membantu,” menurut Dr Baharuddin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.

Pusat Operasi Banjir (POB) HALUAN sedang merancang untuk menghantar satu kontena besar berisi barangan bantuan kemanusiaan ke kawasan bencana dalam masa terdekat.

‘Berakhlak, Mendidik, Berbakti’

Masyarakat prihatin boleh terus menyalurkan bantuan berupa kewangan ke akaun bank di bawah:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN 

No Akaun: 562263502611 

Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)

No Akaun: 14023010025718

Bank: Bank Islam

  • Sila email slip/resit sumbangan ke unit.kewangan@haluan.org.my

Ahli HALUAN dan Relawan berdaftar sila hubungi wakil negeri masing-masing untuk penyusunan penghantaran relawan ke lokasi banjir. Sila bersedia dengan kelengkapan asas untuk berkhidmat di suasana basah.

Barangan asas seperti makanan kering, susu bayi, lampin bayi, berus dan ubat gigi, sabun, tuala wanita, selimut dan telekung boleh disalurkan ke Pusat Operasi HALUAN di Bandar Baru Bangi atau di Cawangan HALUAN terdekat di negeri anda. Sila rujuk laman web kami.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2014 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian +6013-313 7324 atau +603-8926 8892.