fbpx

Makmal Komputer Pemangkin Buat Anak-Anak Miskin Mangsa Banjir Pakistan

Makmal Komputer Pemangkin Buat Anak-Anak Miskin Mangsa Banjir Pakistan

Makmal Komputer Pemangkin Buat Anak-Anak Miskin Mangsa Banjir Pakistan

HYDERABAD, SINDH, 31 Okt 2023  — Guru serta pelajar di Madrasah Riyazul Umum yang terletak kira-kira 80 kilometer ke timur bandar Hyderabad, Pakistan tidak henti mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada HALUAN kerana telah membantu memulihkan makmal komputer mereka yang musnah dalam bencana banjir besar tahun lalu.

Kini genap setahun selepas banjir besar melanda, makmal tersebut berjaya dipulihkan hasil sumbangan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dermawan awam Malaysia.

Ketibaan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Prof. Dr. Mohtar Ibrahim, bersama Pengurus Projek Bantuan Pasca-Banjir Pakistan, Encik Shahkirin Mohd Shah, dengan diiringi oleh kepimpinan Jaza Ul Ihsan disambut dengan penuh penghargaan dam kegirangan oleh pihak sekolah dan komuniti setempat.

Madrasah Riyazul Ulum yang terletak di Jalan Mīrpur Khās, wilayah Sindh, adalah kendalian Jazaul Ihsan Welfare Foundation iaitu NGO kerjasama HALUAN di Pakistan. Kawasan Mīrpur Khās yang terkenal sebagai “City of Mangoes” terkesan teruk dalam bencana tersebut, di mana hujan turun 700% lebih berbanding kebiasaan sehinggakan terusan pecah dan memusnahkan kediaman, infrastruktur dan tanaman.

Sebanyak 20 buah komputer dibekalkan, lengkap dengan perabut dan rangkaian. Projek ini juga melibatkan pembinaan sistem solar menjana kuasa elektrik.

Menurut mudirnya, Maulana Abd Qudus Ahmadani, seramai 150 orang murid dan 15 guru mendapat manfaat berterusan dalam mengukuhkan tugasan dan pembelajaran mereka.

“Madrasah ini membuka peluang kepada anak-anak miskin membina masa depan, untuk mereka mendapat kelayakan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata beliau. “Di madrasah ini juga kita ada sebuah klinik yang memberi rawatan perubatan secara percuma kepada komuniti setempat.”

“HALUAN Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama Yayasan Taqwa dalam projek ini. InsyaAllah kita akan terus membantu anak-anak Pakistan di sini dalam sektor pendidikan. Mereka rata-ratanya adalah anak-anak petani yang kehilangan sumber pendapatan, dan amat sukar sekali untuk mereka membina semula kehidupan selepas bencana banjir,” jelas Prof. Dr. Mohtar.

—— 

Laporan Shahkirin Mohd Shah di Hyderabad, Pakistan.