fbpx

40 Telaga Tiub Dibina Untuk Mangsa Banjir Pakistan

40 Telaga Tiub Dibina Untuk Mangsa Banjir Pakistan

40 Telaga Tiub Dibina Untuk Mangsa Banjir Pakistan

HYDERABAD, PAKISTAN, 1 Nov 2023 — Kerjasama strategik antara HALUAN Malaysia, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Jazaul Ihsan Welfare Foundation berusaha untuk membantu penduduk termiskin di pedalaman wilayah Sindh di sini bangkit daripada kemusnahan akibat bencana banjir besar pada tahun lalu.

Pembinaan lima buah telaga tiub dalam fasa kedua dilaksanakan selepas kejayaan membina tiga buah telaga dalam fasa pertama pada awal tahun ini. Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Prof. Dr. Mohtar Ibrahim, bersama Pengurus Projek Bantuan Pasca-Banjir Pakistan, Encik Shahkirin Mohd Shah, hari ini sempat berkunjung ke tapak projek terbabit di sekitar daerah Tandoor Muhammad Khan.

Telaga tiub merupakan prasarana terpenting bagi keluarga mangsa banjir di sini di mana ramai ibu-ibu terpaksa berjalan kaki sehingga lima kilometer semata-mata untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan harian. Menurut Pengerusi Jazaul Ihsan, Encik Muhammad Nadeem Madni, penduduk sebelum ini terpaksa menggunakan air tercemar dari takungan sungai, yang juga digunakan sebagai sumber air minuman ternakan. “Dari sumber air bantuan rakyat Malaysia ini, sehingga 60 keluarga atau sekitar 600 orang penduduk miskin mendapat manfaat daripada setiap telaga,” jelas beliau.

“Alhamdulillah projek ini bukan sahaja memberi air untuk kegunaan harian, tetapi juga mencegah penduduk daripada dijangkiti penyakit bawaan air tercemar. Air dari telaga ini juga menjadi sumber minuman untuk ternakan dan pengairan tanaman mereka.”

Prof. Dr. Mohtar memaklumkan sebanyak 40 buah telaga tiub akan dibina secara berperingkat. “Hari ini kami melihat dan berjumpa sendiri dengan penduduk yang menerima manfaat hasil sumbangan dermawan Malaysia,” kata beliau. “Salah sebuah telaga dibina berdekatan Sekolah Pintar Tando Muhammad Khan, dan sebuah lagi di hadapan Masjid Oorbuy Ismail. Jadi selain membawa manfaat kepada masyarakat setempat, ia juga dapat digunakan oleh warga sekolah dan jemaah masjid.”

——

Laporan Shahkirin Mohd Shah di Hyderabad, Pakistan.