Majlis Iftar RCEC Ceria Bersama Staf HALUAN dan NAMA Foundation
SERI KEMBANGAN, SELANGOR, 4 Apr 2024 – Kehadiran pihak pengurusan tertinggi dan staf HALUAN serta NAMA Foundation dalam majlis iftar di Rohingya Community Educare Center (RCEC) di sini semalam sangat bermakna kepada para pelajar dan keluarga mereka.
NAMA Foundation adalah sebuah yayasan yang diasaskan untuk memperkasakan sektor pendidikan dan organisasi masyarakat awam di seluruh dunia. Pemerkasaan sektor tersebut adalah melalui geran institusi dan pembinaan perkongsian, disokong oleh pengurusan projek yang cemerlang dan pengukuran hasil yang canggih. Yayasan ini sudah lama yakin bergandingan dengan HALUAN.
RCEC pula ditubuhkan sejak tahun 2017 hasil kerjasama HALUAN dan NAMA Foundation. Ia adalah sebuah usaha HALUAN menubuhkan institusi pendidikan bagi menyediakan pendidikan dan kemahiran asas bukan sahaja kepada anak-anak, bahkan juga ibubapa golongan remaja. Melalui usaha ini, komuniti Rohingya dididik menghayati kepentingan ilmu akademik dan agama, serta memahami undang-undang dan adat budaya setempat agar tidak melanggar tata cara kehidupan masyarakat sekeliling.
Majlis iftar yang bermula seawal jam 3.00 petang itu dihadiri lebih 100 orang tetamu termasuk tenaga pengajar, staf HALUAN dan NAMA Foundation, serta pelajar dan keluarga mereka. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif NAMA Foundation, Dr. Saleh Mubarak Bazead, dan Pengurus Bahagian Pembangunan Program HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda.
Majlis dimeriahkan dengan sesi berkenalan, bengkel keyakinan diri dan juga tazkirah ringkas, diselitkan dengan aktiviti menghiburkan. Jelas terpancar kegembiraan dalam kalangan pelajar dan anak-anak kecil apabila menerima hadiah pertandingan dan duit raya.
Keterlibatan staf HALUAN dan NAMA Foundation dalam memberikan sentuhan yang istimewa dan mesra dalam majlis tersebut menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan sosial dan pendidikan komuniti ini. Semoga semangat Ramadan ini terus membara dan memimpin semua pihak untuk terus berbuat kebaikan, berkongsi rezeki, dan menguatkan ikatan persaudaraan.
Laporan Fatin Athirah Abdul Sani
Setiausaha Kerja Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN