fbpx

MAIS, HALUAN Berganding Bahu

MAIS, HALUAN Berganding Bahu

MAIS, HALUAN Berganding Bahu

mais-01GOMBAK, SELANGOR, 30 Mac 2014 – Menabur bakti kepada masyarakat terpinggir sememangnya antara teras dokongan HALUAN, maka dengan sebab itulah Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah berganding bahu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menyantuni penduduk orangasli kaum Temuan di Ulu Batu dekat sini.

Kampung kecil sekitar 260 penduduk itu merupakan antara kampung orangasli kategori “pinggir bandar” di Selangor yang kini menjadi tumpuan MAIS dalam mendidik penduduknya dengan tatasusila kehidupan seorang Muslim, membawa kecaknaan aqidah ke kelompok yang semakin dihimpit arus pemodenan yang pelbagai. Demi memantapkan pancang pegangan kepada ajaran Islam, MAIS telah melaksanakan aktiviti khidmat masyarakatnya di situ selama tiga hari mulai 28 Mac yang mana 53% penduduknya adalah Muslim.

Menurut koordinator projek, Ustaz Mohd Yasser Abdul Ghani, program berkampung tiga hari itu melibatkan keseluruhan penduduk kampung tidak kira apa jua agama mereka. Setiap penduduk mendapat faedah saksama serta dilibatkan dalam aktiviti kemasyarakatan yang dirancang yang selain pemurniaan aqidah, berpusat kepada memenuhi hasrat mereka di segi prasana praktikal seperti pembinaan tangga untuk anak-anak ke sekolah, perkhidmatan Jabatan Pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pasukan MAIS telah masuk kampung bersama beberapa orang sukarelawan lain untuk menjayakan projek berkenaan yang juga menyantuni golongan muda, wanita dan kanak-kanak seperti acara sukaneka, pertandingan kebudayaan orangasli dan sebagainya. Untuk penghuni bandar pegawai MAIS yang hadir, aktiviti juga diatur untuk membawa mereka jelajah ke hutan cara orangasli, suatu pengalaman baru yang sukar dilupakan.

“Dan di sinilah kenapa kami menjemput HALUAN untuk seiring membantu kami. Yang jelasnya ini bukan kali pertama HALUAN bekerjasama dengan MAIS malah dalam beberapa siri yang lepas, mereka telah beberapa kali turun membantu kami untuk menyantuni warga non-muslims seperti di estet-estet sawit dan sebagainya. Kehadiran mereka telah berjaya memberi nilai tambah kepada usaha dakwah menyeluruh yang sedang diusahakan oleh pihak MAIS,” ujar beliau yang berjawatan Penolong Pengurus Unit Interaktif Global MAIS.

Bagi pihak MAIS, beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan penglibatan HALUAN dalam aktiviti dakwah bil-hal mereka. Tambahnya lagi, penglibatan HALUAN khususnya KKH telah memberikan impak yang sangat positif untuk mendekatkan masyarakat orangasli di situ kepada Islam memandangkan sukar bagi mereka untuk keluar dari hutan untuk mendapat perkhidmatan perubatan.

Pasukan KKH seramai 20 orang telah diketuai oleh pakar konsultan psikologi Dr Ahmad Zabidin Zakaria. Beliau dibantu oleh pasukan doktor-doktor pakar, doktor pensyarah klinikal, doktor perubatan, doktor pergigian, fizioterapis, jurutera bio-perubatan, jururawat dan juga pelajar-pelajar tahun akhir bidang perubatan dan pergigian universiti tempatan.

“Memang menjadi lumrah untuk HALUAN memberikan bantuan sedaya mampu untuk menjayakan aktiviti MAIS kerana visi kami hampir serupa. Motto kami di HALUAN adalah Berakhlak, Mendidik, Berbakti. Dan saya merasakan ketiga-tiga unsur ini terjelma hari ini bila kami bergandingan dengan sebuah organisasi yang sistematik dan mantap seperti MAIS. Matlamat kami di HALUAN adalah untuk mengajak manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT, dan di antara pintu-pintu yang ada adalah melalui projek amal bakti seperti pemeriksaan kesihatan yang kami buat,” jelas beliau yang juga Setiausaha Kehormat KKH.

Walaupun KKH sibuk menyusun ahli-ahlinya ke pelbagai kerja amal di seluruh negara pada masa ini termasuklah ke Sabah, Sarawak dan Thailand, hasrat MAIS untuk mengadakan sesi khas pemeriksaan kesihatan untuk orangasli Gombak itu tetap diberikan keutamaan walaupun permintaannya tiba di saat-saat akhir. Di antara pemeriksaan yang dibuat adalah pemeriksaan haemoglobin, kadar gula dalam darah, tekanan darah, BMI dan konsultansi pakar dan pegawai perubatan. Pasukan pergigian pula sibuk mendidik orang dewasa dan kanak-kanak tentang penjagaan kesihatan gigi.

“Kami turut terhutang budi kepada Tok Batin Deli Anak Muh kerana sudi mengizinkan kami membuka kaunter pemeriksaan untuk anak-anak buahnya. Sambutan mereka sungguh menggalakkan dan tidak banyak penyakit-penyakit kronik dijumpai. Bermakna keadaan umum masyarakat orangasli di sini terbela dengan baik. Saya yakin, kecaknaan pihak MAIS yang sering memantau kebajikan mereka akan memastikan keadaan kesihatan mereka sentiasa terjaga,” jelas beliau.

HALUAN Malaysia mengucapkan syabas kepada MAIS di atas usaha bantuan kemasyarakatan yang dilaksanakan itu.


Laporan Unit MediaHALUAN.