fbpx

HALUAN Berbakti di Sarawak Pula

HALUAN Berbakti di Sarawak Pula

HALUAN Berbakti di Sarawak Pula

sarawak-01KUCHING, 30 Mac 2014 – Selepas beberapa tahun mencatatkan siri kejayaan menyantuni rakyat terpinggir di pendalaman Sabah, kini HALUAN Malaysia diberikan kepercayaan untuk melaksanakan program-program kemasyarakatan di Sarawak pula.

Projek di bawah geran Pembangunan Modal Insan yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membawa NGO ini ke beberapa kampung sekitar daerah Serian dan Samarahan di Sarawak. Rombongan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) yang diketuai oleh Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa dengan kerjasama ahli-ahli dan relawan HALUAN di sekitar daerah Kuching telah mengadakan program pemeriksaan kesihatan yang julungkali diadakan di sini. Ianya berlangsung dari 14 hingga 16 Mac lalu dan melibatkan 15 orang ahli KKH yang terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai teknologi makmal perubatan dan penolong pembantu kesihatan. Seramai 23 orang relawan lokaliti dari Kuching turut serta menjadi penyelaras dan pembantu dalam menjayakan program tersebut.

“Pasukan yang agak besar ini membolehkan kami bergerak di lebih banyak lokasi. Selama tiga hari, sebanyak lima buah kampung telah kami lawati iaitu Kampung Melayu Tebakang, Kampung sekitar Masjid Daerah Serian, Kampung Melayu Balai Ringin, Kampung Pengkalan Kuap dan Kampung Baru Samarahan,” jelas Dr Wan Muhaizan, seorang doktor pakar konsultan patologi.

Di antara aktiviti yang dijalankan KKH termasuklah soal selidik kesihatan, pemeriksaan dan rawatan kesihatan, ujian darah untuk glukosa, kolesterol dan haemoglobin, ceramah kesihatan yang menyentuh bahaya merokok serta cabutan nombor bertuah.

Lebih 500 orang penduduk kampung telah menjalani pemeriksaan kesihatan percuma tersebut. Kebanyakan penyakit yang dihidapi oleh mereka adalah darah tinggi, kencing manis, tinggi kolesterol, anaemia (kekurangan darah merah) dan penyakit lain seperti sakit otot dan sendi.

Selain pemeriksaan kesihatan, aktiviti ceramah kesihatan dan cabutan nombor bertuah turut diadakan bagi memeriahkan kehadiran penduduk kampung. Lawatan ke rumah penduduk kampung turut dibuat bagi menyantuni penduduk warga emas yang sudah tidak berkemampuan untuk berjalan ke tempat pemeriksaan kesihatan. Seramai 28 orang dirujuk ke Hospital Umum Kuching dan klinik kesihatan terdekat kerana mengalami darah tinggi dan kencing manis yang tidak terkawal juga kadar kolesterol yang tinggi.

“Peluang kali pertama berbakti yang diadakan di Sarawak ini membolehkan HALUAN memberikan bantuan rawatan dan kaunseling kesihatan secara percuma kepada penduduk setempat di sini. Kami berusaha dalam menasihati mereka agar mencapai tahap kesihatan yang optima dan mengurangkan peratusan kegemukan dan obesiti. InsyaAllah, KKH akan meneruskan usaha bakti kami ini demi membimbing rakyat Sarawak ke arah kehidupan yang lebih bermakna,” tegas Dr Wan Muhaizan lagi.

Selain itu, relawan KKH juga memberikan peserta tips pemakanan dan riadah yang terancang terutama kepada mereka yang obese. Nasihat umum juga diberikan seperti cara pengambilan ubat yang teratur supaya penyakit mereka terutamanya kencing manis, darah tinggi dan kolesterol dapat dikawal sebaiknya.