fbpx

Lebih 5 Tan Barangan Bantuan Untuk Gaza Berjaya Dikumpul

Lebih 5 Tan Barangan Bantuan Untuk Gaza Berjaya Dikumpul

Lebih 5 Tan Barangan Bantuan Untuk Gaza Berjaya Dikumpul

BANDAR BARU BANGI, 22 Okt 2023 — Lebih lima tan barangan untuk misi bantuan ke Gaza berjaya dikumpul dalam tempoh 24 jam lalu. Kempen pengumpulan tersebut adalah sebahagian daripada misi Ops Ihsan inisiatif Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama 40 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.

Kempen yang bermula Jumaat lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan golongan korporat. Sebilangan penderma sanggup menghantar barangan dari jauh seperti Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

Antara barangan yang terkumpul adalah ubat-ubatan, peralatan perubatan, kit kebersihan diri, susu dan makanan bayi, makanan sedia untuk dimakan dan pelbagai keperluan asas lain.

Ketika mengunjungi operasi pengumpulan, dokumentasi dan pembungkusan di Gerbang Informasi HALUAN di sini, Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Abd Rahman merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan dan sukarelawan yang sanggup mengorbankan harta dan masa di hujung minggu demi membantu penduduk Gaza.

Hari ini, semua barangan dihantar ke gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Bandar Serenia, di mana proses saringan dan pembungkusan akhir akan dilakukan sebelum dihantar ke Mesir.

Dijangkakan bantuan akan dihantar secara berperingkat, di mana barangan keperluan akan dinilai dari masa ke semasa mengikut perkembangan dan keperluan mangsa perang di lapangan. Yang pasti, penduduk Gaza bakal berhadapan dengan musim sejuk tidak lama lagi, justeru keperluan bahan api dan pakaian sejuk seperti selimut dan khemah bakal menjadi keutamaan.

Semalam, sebanyak 20 buah lori dibenarkan membawa masuk barangan bantuan ke Gaza melalui pintu lintasan Rafah di Mesir. Bagaimanapun penduduk Gaza memerlukan jauh lebih banyak bantuan asas khususnya bekalan minyak, bagi mengoperasi pusat-pusat perubatan.

Masyarakat Malaysia yang ingin turut menyumbang kepada mangsa serangan tentera zionis di Gaza boleh melakukannya secara dalam talian di:https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/.

atau terus ke akaun:

Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN
No. akaun: 5644 9020 8528 (Maybank Islamic Berhad), atau
140 230 100 342 92 (Bank Islam Malaysia Berhad)


Laporan Shairazi Sharizan
Setiausaha Kerja Kemanusiaan dan Palestin
HALUAN Malaysia