fbpx

Gabungan Sukarelawan HALUAN Dua Negeri Pacu Sosio-Ekonomi Pertanian Orang Asli

Gabungan Sukarelawan HALUAN Dua Negeri Pacu Sosio-Ekonomi Pertanian Orang Asli

Gabungan Sukarelawan HALUAN Dua Negeri Pacu Sosio-Ekonomi Pertanian Orang Asli

AIR BANUN, GERIK, 16 Okt 2023 – Sukarelawan HALUAN Pulau Pinang dan Selangor berganding membanting tulang membantu projek sosio-ekonomi pertanian tanaman limau nipis, serai dan tanaman pokok roselle di sini. 

Seramai empat orang sukarelawan HALUAN Pulau Pinang dan tiga sukarelawan HALUAN Selangor diketuai oleh Ustaz Adni Abdul Razak telah turun membantu orang asli di dua kampung di sini untuk kesekian kalinya. Terakhir adalah pada 14 dan 15 Oktober lepas.

Di tapak penanaman limau nipis dan serai di Kampung Air Banun, kerja-kerja menebas, meracun dan membaja secara organik diperhebatkan memandangkan kadar pertumbuhan pokok kurang memberangsangkan. . Menurut petugas ladang HALUAN, Ustaz Ahmad Abrar Haron, salah satu faktor penyebab kemerosotan hasil pokok ialah sistem pengairan yang kurañg berkesan kerana masalah menarik naik air sungai ke kawasan ladang berkenaan. 

Pihak HALUAN bercadang untuk membina tangki dan pam air kuasa solar untuk sistem pengairan di situ. Ini perlu untuk tanaman limau nipis dan serai orang asli. Kami memerlukan dana yang mencukupi untuk itu daripada sumbangan orang ramai yang simpati dengan orang asli di sini,” ujar beliau.

Menurut wakil pengusaha kebun limau berkenaan, Encik Sani Dalong, beberapa hari sebelum ketibaan pasukan HALUAN di lokasi, sekumpulan gajah liar telah mencerobohi kawasan kampung dan memusnahkan tanaman ubi kayu penduduk kampung yang sudah cukup matang untuk dituai. Mereka hanya mampu berputih mata kerana takut dengan kumpulan gajah itu.

Sebagai ikhtiar untuk menghalangnya, sukarelawan HALUAN telah memasang tambahan cerucuk botol mengandungi cecair Kerimo di sepanjang kawasan tapak tanaman.

Sementara itu, di kawasan tanaman pokok roselle di Kampung Sungai Raba, sukarelawan HALUAN yang diketuai Ustaz Adni telah memulakan aktiviti penanaman serai komersial serta menambah pokok roselle baharu.

Serai spesis peha ayam ini sangat tinggi permintaan di pasaran dan ia kami jadikan sebagai tanaman kontan kepada pengusaha ladang roselle. Serai ini kami tanam di celahan barisan batas pokok roselle. Sementara menantu hasil bunga roselle mekar, serai ini sudah boleh dituai dan dijual selepas usianya tiga ke empat bulan,” jelas beliau. 

Sebanyak 150 perdu serai telah ditanam oleh gabungan kerja sukarelawan HALUAN Selangor dan keluarga pemilik tapak pertanian tersebut iaitu Naim Bersaudara. 

Menurut Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri, tanaman serai spesis yang sama sebagai pertanian kontan akan diperluaskan juga ke kawasan Kampung Air Banun dengan kerjasama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang telah berjanji untuk menyediakan benih yang mencukupi.

Anda juga berpeluang membantu memperbaiki sosio-ekonomi orang asli dengan menderma ke tabung khas pembangunan mereka. Di kesempatan ini, HALUAN mengajak anda para penderma untuk menyalurkan derma ikhlas anda ke akaun: 

Maybank No. 5572 5006 2982 atas nama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia, dengan notasi “Orang Asli Banun

—-

Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN