fbpx

Laporan Misi Bantuan Banjir HALUAN Negeri Perlis

Laporan Misi Bantuan Banjir HALUAN Negeri Perlis

Laporan Misi Bantuan Banjir HALUAN Negeri Perlis

PERLIS, 8 November – HALUAN Malaysia menerusi Biro Kemanusiaan HALUAN telah memberikan khidmat misi bantuan banjir untuk mangsa-mangsa banjir di negeri Perlis bermula pada 1 November sehingga 8 November 2010.


Hujan yang berterusan selama 2 hari telah menyebabkan kebanyakan kawasan ditenggelami air, bermula dengan kawasan Padang Besar sehinggalah meliputi hampir sebahagian besar kawasan di negeri Perlis.

Banjir juga telah menyebabkan bandar Arau dan Kangar lumpuh sepenuhnya, manakala pejabat-pejabat kerajaan, pihak swasta dan bank-bank  telah ditutup memandangkan kedalaman air di kawasan tersebut  mencecah hampir 1 meter dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat atau bot pihak keselamatan sahaja. Jaringan pengangkutan dan jalanraya telah terputus sepenuhnya di beberapa tempat akibat limpahan air banjir, menyebabkan kesukaran pengagihan bantuan. Keadaan diburukkan lagi oleh perlepasan air daripada Empangan Tasoh bagi mengelakkannya daripada pecah, sekaligus meningkatkan lagi paras air dan jumlah kawasan yang ditenggelami air.

HALUAN telah mengaktifkan Bilik Gerakan Negeri seawal hari pertama lagi, dimana tumpuan utama relawan pada fasa awal misi bantuan ini adalah untuk menyelamat dan mengangkat barang serta peralatan rumah dan premis perniagaan ke tempat yang lebih tinggi memandangkan paras air meningkat dengan pantas. Dua pasukan peninjau (Pasukan TindakBalas Kecemasan Relawan HALUAN) telah digerakkan mengikut kawasan bencana  iaitu Arau dan Kangar. Semua maklumat mangsa dikumpulkan di Bilik Gerakan manakala penghuni kawasan yang diramal akan ditenggelami air telah diberikan amaran banjir, memandangkan terdapat kawasan yang tidak dapat dilalui oleh pasukan relawan HALUAN. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan situasi  menjadi semakin sukar apabila 3 buah motosikal pasukan Tindak Balas Kecemasan Relawan HALUAN sendiri telah terkandas di 2 kawasan banjir disebabkan paras air yang meningkat dengan cepat, sekaligus menghalang bantuan dan maklumat disalurkan. Relawan HALUAN juga bertindak mengawal lalulintas dan membantu kenderaan yang terkandas di dalam banjir di beberapa kawasan berarus deras yang berisiko menghanyutkan kenderaan di Arau. Misi bantuan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Relawan HALUAN akhirnya ditumpukan di kawasan Kangar memandangkan Arau telah terputus hubungan dengan kawasan lain dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan para relawan lain.

Pada hari kedua, hujan telah berhenti, namun situasi semakin buruk apabila pintu air Empangan Tasoh dibuka, menyebabkan hampir sebahagian besar kawasan Kangar ditenggelami air. Peningkatan paras air yang berlaku dengan cepat di Kangar yang meliputi kawasan yang luas menyebabkan kesukaran untuk Pasukan Relawan HALUAN untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan misi menyelamatkan barangan dan peralatan. Situasi yang semakin kritikal menjelang petang menyebabkan misi menyelamatkan barangan dan peralatan digantikan dengan misi memindahkan mangsa keluar dari rumah kediaman masing-masing. Paras air yang meningkat menyebabkan sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan sebuah lori relawan HALUAN terkandas di dalam banjir. Di beberapa tempat seperti Behor Pulai, misi pemindahan akhirnya berjaya dilakukan dengan bantuan traktor dan kenderaan berat seperti lori tanah, sebelum misi memindahkan mangsa banjir diambil alih oleh pasukan keselamatan. Mangsa-mangsa yang berjaya dipindahkan keluar ditempatkan di beberapa penempatan dan rumah ahli HALUAN yang tidak dinaiki air. Keadaan diburukkan lagi dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih. Menjelang malam sehingga awal pagi, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Relawan HALUAN digerakkan dengan motosikal dan berjalan kaki meredah air banjir di dalam gelap separas paha ke rumah mangsa-mangsa banjir membawa bekalan lilin dan tong air bersih ke kediaman mangsa-mangsa banjir.

Keadaan jalan raya di Perlis yang dibina lebih tinggi dari paras tanah dan sawah menyebabkan paras banjir surut dengan agak perlahan pada hari ketiga dan keempat. Hampir sebahagian besar jalanraya Perlis tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan dan pacuan 4 roda, sekaligus menyukarkan pergerakan relawan HALUAN dan pengagihan bantuan. Bilangan ahli HALUAN yang melapor diri sebagai relawan misi banjir semakin meningkat, dimana hampir 1/3 daripada senarai relawan terdiri daripada mangsa banjir dimana kediaman mereka sendiri turut dinaik air. Aktiviti ziarah mangsa dan pemberian hamper barangan keperluan dilakukan ke rumah-rumah mangsa. Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa misi memindahkan mangsa-mangsa  banjir keluar dari kediaman masing-masing menggunakan pacuan 4 roda ke tempat yang lebih selamat dan selesa.

Air mulai surut di Arau dan mulai cetek di beberapa tempat di Kangar pada hari kelima memudahkan bantuan relawan  HALUAN digerakkan. Bilangan relawan HALUAN mula bertambah dengan bantuan daripada relawan Pulau Pinang, Selangor dan Pahang. Melalui maklumbalas daripada bilik gerakan bencana negeri Perlis, misi bantuan fasa akhir relawan HALUAN dibahagi kepada 3 bahagian, iaitu aktiviti pembersihan, rawatan kesihatan di pusat pemindahan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan perlaksanaan program dan aktiviti di pusat-pusat pemindahan banjir melalui  usahasama  Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kelab Rakan Muda Pulau Pinang, Kelab Kaunselor Perlis dan Angkatan Belia Islam Malaysia. Bagi aktiviti pembersihan, kerja-kerja pembersihan dibahagikan kepada dua kawasan iaitu kawasan Kangar dan Arau. Dalam setiap kawasan, relawan HALUAN dipecahkan mengikut beberapa kumpulan, dimana setiap kumpulan bertanggungjawab untuk membersihkan setiap rumah-rumah mangsa yang telah disenaraikan.  Keadaan rumah mangsa yang berlumpur, perabot yang berselerak dan dipenuhi sampah dan ranting kayu menyukarkan kerja-kerja pembersihan. Selain itu, relawan HALUAN juga bertanggungjawab untuk menangkap haiwan berbisa seperti ular yang masuk kedalam rumah mangsa-mangsa banjir. Antara kawasan awam yang menjadi tumpuan relawan HALUAN ialah untuk aktiviti pembersihan ialah masjid dan klinik.

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah mengadakan klinik sementara di beberapa pusat pemindahan yang mempunyai bilangan penghuni melebihi 700 orang, iaitu pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ali dan Sekolah Kebangsaan Sena. Selain itu, rawatan kesihatan melalui klinik bergerak juga dilakukan daripada satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan yang lain. Seramai 6 orang doktor dan seorang ahli farmasi daripada Kelab Kesihatan HALUAN telah terlibat dalam aktiviti rawatan kesihatan kali ini. Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, relawan HALUAN dipertanggungjawabkan untuk mengadakan program-program pengisian kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah tayangan multimedia, sukaneka, gotong royong dan ceramah motivasi dan kesedaran kepada semua lapisan mangsa penempatan banjir.

Air banjir akhirnya surut pada hari kelapan kecuali di beberapa tempat. Setelah menilai situasi semasa, misi bantuan banjir HALUAN Perlis ditamatkan pada petang 8 November 2010 memandang semakin banyak pusat pemindahan yang ditutup dan bagi memberi bantuan kepada misi bantuan banjir HALUAN Kedah.  Misi bantuan banjir HALUAN Perlis melibatkan 54 orang relawan HALUAN daripada Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.