fbpx

Kursus Sains Sukan MSNM-HALUAN

Kursus Sains Sukan MSNM-HALUAN

Kursus Sains Sukan MSNM-HALUAN

SHAH ALAM – Kursus Sains Sukan MSNM telah diadakan pada 25 hingga 28 November 2010 di Kem Bumi Jati, Shah Alam.


Seramai kira-kira 39 orang peserta dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak telah menyertai kursus yang julung-julung kali dianjurkan oleh HALUAN Malaysia menerusi Biro Sukan & Rekreasi dengan kerjasama Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM).

Objektif kursus adalah untuk menyediakan barisan pelapis kepimpinan HALUAN dalam bidang sukan dan rekreasi, melahirkan jurulatih dan tenaga pengajar bertauliah dalam kalangan anggota dan membina hubungan antara HALUAN dan Majlis Sukan Negara (MSNM).

Upacara perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua HALUAN Selangor, Ir. Abd Aziz Mat Ali. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pegawai MSNM, En Mazwan Mohamed selaku Penyelaras Kursus dan Ketua Biro Sukan & Rekreasi HALUAN, Sdr. Abd Hafidz Hamzah.

Dalam ucapannya, Ir. Abd Aziz menyebut bahawa kejayaan HALUAN sebagai sebuah NGO amat berkait rapat dengan pembangunan insan yang kuat dari segi ruh, akal, jasad dan akhlak. Hanya anggota yang kuat dan berkualiti sahaja akan dapat memenuhi Visi dan Misi Haluan.

Selama empat hari berkursus, para peserta telah didedahkan dengan ilmu dan maklumat yang penting tentang sains sukan, antaranya tentang kompetensi kejurulatihan, biomekanik, anatomi dan fisiologi, pemakanan dan perubatan sukan, psikologi sukan, persediaan dan latihan sukan dan lain-lain lagi.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh penasihat kepada Biro Sukan & Rekreasi HALUAN, Tuan Hj Mohd. Abdoh Zainal Abidin. Dalam ucapannya beliau menyentuh tentang kepentingan menjaga pemakanan dan konsisten melakukan aktiviti riadah. Beliau turut mengingatkan para peserta agar sentiasa mempersiapkan diri untuk melaksanakan kerja-kerja mendidik dan berbakti.

Adalah diharapkan segala ilmu yang diperolehi dalam kursus ini dapat membuka minda para peserta dan akan menjadi pengerak yang aktif dalam merancakkan aktiviti riadah di negeri masing-masing demi membangunkan Ummah.