fbpx

Misi Kemanusiaan Merapi – Mangsa masih sangat memerlukan bantuan

Misi Kemanusiaan Merapi – Mangsa masih sangat memerlukan bantuan

Misi Kemanusiaan Merapi – Mangsa masih sangat memerlukan bantuan

LCCT Sepang, 5 Oktober 2010 – Seramai enam orang relawan HALUAN selamat tiba di Sepang setelah berbakti selama seminggu kepada mangsa-mangsa letusan Gunung Merapi di Jawa Tengah, Indonesia.


Walaupun status bencana kita tidak lagi berada di tahap kecemasan, penduduk-penduduk di sekitar Gunung Merapi masih sangat memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan seharian mereka yang musnah akibat bencana tersebut.

Sejak akhir bulan November lagi, kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Merapi yang diketuai oleh Tn Hj Zailani Mohd Ali ini memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan secara bergerak (mobile clinic) di samping mengagih bantuan keperluan asas SEMBAKO (Sembilan Bahan Pokok) dan menyantuni mangsa-mangsa di pedalaman.

Bermula dengan memberikan bantuan di Desa Jrakah dan perkampungan-perkampungan sekitar di Kecamatan Selo di Kabupaten Boyolali, mereka telah memberikan rawatan kepada lebih 40 orang pesakit. Majoriti daripada mangsa-mangsa tersebut menghidapi infeksi saluran pernafasan akut (ISPA.) Menurut relawan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) Dr Fakhrurrozi Hashim yang memberikan rawatan kepada mereka, ramai daripada mangsa-mangsa ini jatuh sakit kerana menyedut terlalu banyak debu vulkanik Gunung Merapi, di samping tekanan emosi akibat ladang pertanian, ternakan dan rumah mereka yang rosak akibat bencana ini.

Seorang warga Desa Jrakah, Bapak Tiyo, sangat berbesar hati dengan kehadiran relawan-relawan HALUAN memberi bantuan kepada mereka. “Klinik ini sangat membantu masyarakat Desa Jrakah sebab mereka harus berjalan lebih dari 15km untuk pergi ke tempat pelayanan kesihatan milik Pemerintah (Pusat Kesihatan Masyarakat – PUSKESMAS) sehingga dengan adanya klinik yang dipersiapkan HALUAN Malaysia di Desa Jrakah ini mereka tidak perlu berjalan jauh lagi untuk berubat bila sakit,” kata Bapak Tiyo.

Selain daripada itu, pasukan Misi Kemanusiaan Merapi HALUAN yang diiringi relawan-relawan daripada NGO tempatan Indonesia ini turut mengadakan khidmat rawatan kesihatan di Desa Kedung di Kecamatan Selo. Perjalanan ke desa yang sangat terpencil ini terpaksa melalui cerunan jalan yang sempit dan berbahaya, di mana mangsa-mangsa di sini rata-rata tidak mendapat sebarang rawatan sebelum ini. Seramai 56 orang pesakit telah mendapat rawatan di sini.

Relawan-relawan HALUAN turut mengalami suasana cemas dalam usaha mencurah bakti di bumi Jawa Tengah ini. Dalam perjalanan pulang dari Desa Kedung, laluan mereka terhalang kerana jalan yang rosak akibat pergerakan lahar dingin Merapi. Relawan-relawan dan masyarakat desa berhempas-pulas membina jalan kecemasan bagi membolehkan kenderaan yang dinaiki melepasi kawasan jalan rosak tersebut. “Kalau tidak ada bantuan penduduk membina jalan kecemasan itu, sudah tentu kami terpaksa bermalam di desa itu kerana tidak ada jalan lain lagi untuk dilalui,” jelas Muhammad Syafiq Che Ani yang turut bersama-sama Misi Kemanusiaan Merapi mewakili Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa.)

Menurut Tn Hj Zailani Mohd Ali, mangsa-mangsa masih sangat memerlukan bantuan keperluan asas dan rawatan kesihatan. Beliau menjangkakan bahawa keperluan bantuan ini akan berterusan sehinggalah mangsa-mangsa dapat memulihkan usaha pertanian mereka, iaitu dalam tempoh empat bulan lagi.

Masyarakat yang prihatin lagi dermawan disarankan bersama-sama membantu usaha Misi Kemanusiaan Merapi ini. Bantulah mereka di saat-saat mereka sangat memerlukan, dan janganlah kita bertangguh sehingga bantuan kita tidak lagi bermanfaat untuk mereka. Anda boleh salurkan bantuan melalui akaun

HALUAN
14-023-01-002571-8
(Bank Islam Malaysia Berhad.)