fbpx

Korban India : 10,000 Peluk Islam Melalui Vellore Islamic Centre

Korban India : 10,000 Peluk Islam Melalui Vellore Islamic Centre

Korban India : 10,000 Peluk Islam Melalui Vellore Islamic Centre

VELLORE, INDIA, 29 Okt 2012 — Bangunannya nampak usang dan lusuh. Aktivisnya pula ramai yang sudah berumur, tetapi mereka bersemangat tinggi. Itulah gambaran Vellore Islamic Centre (VIC) yang terletak di tengah Bandar Vellore, 200km dari Chennai.

Ditubuhkan sekitar 30 tahun lalu, VIC kini mempunyai sebuah kompleks bangunan sendiri yang digunakan sebagai pusat operasi dan juga sekolah serta penempatan untuk pelajar muallaf, muslimin dan muslimat.

“Anda selamat di sini,” begitulah ungkapan Syed Ahmad Husaini, Naib Presiden VIC yang mengiringi kami untuk lawatan di situ. Katanya lagi, “di antara mereka yang masuk Islam di sini adalah melalui usaha dakwah, dan ada juga kerana masalah percintaan berbeza agama. Tetapi kami perlu pastikan mereka mendapatkan surat akuan sumpah memeluk Islam secara sukarela, baru kami menerima mereka di sini.”

Menurut beliau lagi, usaha dakwah menjadi lebih mudah akibat ketidak-adilan sistem kasta Hindu sendiri. “Sebaik sahaja anda memeluk Islam, anda sudah bebas dari sistem kasta dan hanya taqwa yang membezakan kedudukan kita di sisi Allah,” terang beliau lagi.

vellore-map Antara kursus yang di tawarkan oleh VIC termasuklah Kursus Asas Islam selama 40 hari, Kursus Intensif Islam untuk Pembentukan Daie selama enam bulan dan Kursus Muallim selama tiga tahun. Muallim dan daie ini kemudian akan ditempatkan semula di tempat asal mereka atau di perkampungan untuk bergiat menjalankan dakwah dengan dibayar sara hidup oleh VIC.

“Sudah lebih 10,000 orang berjaya mendapat hidayah Islam melalui usaha VIC,” kata Syed Ahmad Husaini ketika mengimbau sejarah VIC. Antara aktiviti yang di lakukan di VIC ialah menyediakan iftar untuk berbuka puasa, memberi minum percuma kepada masyarakat Vellore ketika musim panas dengan membuka beberapa pos minuman di tengah bandar, mencetak dan mengedar Al Qur’an terjemahan dalam bahasa Tamil, bahan-bahan dakwah dan penerangan seperti “Who is Muhammad”, dan seumpamanya. Mereka berdakwah di merata tempat, bahkan hingga ke stesen keretapi.

Syed Ahmad Husaini berkata dakwah mereka mendapat sambutan yang tidak diduga-duga. Katanya, “antara contoh dakwah kami ialah menyebar risalah Islam di stesen keretapi. Bila keretapi berhenti di Vellore, kami semua bergerak ke setiap gerabak keretapi mengedarkan risalah Islam. Kami terharu kerana ada di kalangan penumpang keretapi yang bukan Islam sanggup berdiri untuk menyambut risalah yang kami edarkan sebagai tanda penghormatan kepada Islam.”

Saya bersama ketua pasukan, En Mohd Azhar Md Idris, turut merasa amat kagum dengan kesungguhan mereka berdakwah melalui “perang poster” di Bandar Vellore. Antaranya, ada papantanda besar yang memaparkan gambar kereta yang mempunyai dua pemandu; dengan persoalan, jika anda tidak mampu membawa kereta ke mana-mana bila ada dua pemandu, bagaimana pula anda boleh menerima adanya banyak Tuhan?

Kami juga tertarik dengan sebuah lagi papantanda besar yang menunjukkan gambar seekor lalat dengan dalil al-Qur’an tentang kekuasaan Allah dan pertanyaan Allah samada manusia mampu mencipta sayap lalat atau mengambil semula apa yang telah diambil oleh lalat daripada kita. Terdetik di hati mengenai ayat al-Quran yang bermaksud: “Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenarbenarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Mahakuat lagi Mahaperkasa.” (Surah Al-Hajj, 22: 73-74)

Tidak kurang menarik juga sebuah papantanda yang membawa ungkapan positif daripada tokoh bukan Islam tentang Islam, antaranya Mahatma Ghandi dan Jawaharlal Nehru.

Sebelum meninggalkan VIC, kami sempat menghulurkan sedikit sumbangan kewangan untuk membantu kerja dakwah mereka. Lawatan singkat ini jelas memberi kesedaran di hati kami, bahawa banyak perkara yang telah dapat kami pelajari dari mereka. Terdetik dalam hati saya, jika diberi peluang oleh Allah kami ingin untuk kembali dan membuat aktiviti kebajikan bersama mereka.


Laporan Ibrahim Abu Bakar, Ketua Biro Penerangan dan Hubungan Luar HALUAN, yang menyertai pasukan amanah korban HALUAN ke India.