fbpx

Koloborasi UPM-HALUAN Perkasa Sosio-Ekonomi dan Pendidikan Orang Asal Air Banun

Koloborasi UPM-HALUAN Perkasa Sosio-Ekonomi dan Pendidikan Orang Asal Air Banun

Koloborasi UPM-HALUAN Perkasa Sosio-Ekonomi dan Pendidikan Orang Asal Air Banun

BANDAR BARU BANGI, 10 Nov 2023 – Sebagai sebuah NGO kebajikan dan kemanusiaan, HALUAN Malaysia sentiasa membuka peluang kerjasama kepada semua pihak, sama ada institusi pendidikan tinggi, organisasi kerajaan mahupun swasta, dan organisasi lain dalam kerja kebajikan dan kemanusiaan di seluruh dunia, tanpa mengira negara, agama atau bangsa.

Pada 4 November lepas, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengambil bahagian dalam Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pembangunan Kesukarelawanan (QKU2203) Kumpulan 1, Semester 1 Sesi 2023/2024 telah menjemput Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri untuk berkongsi tentang pengalaman HALUAN dalam kerja sukarela. Antara tarikannya adalah tentang latar belakang projek Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Pendidikan di Kampung Orang Asli Air Banun, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Gerik, Perak. Program bertemakan “Sekolah, Medan Interaksi Sosial” ini bertujuan meningkatkan lagi kemahiran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak orang asli.

Pensyarah pengendali kursus tersebut, Cik Nor Shaerah Abd Rasid memaklumkan seramai 31 orang mahasiswa UPM serta pensyarah pengiring dijangkakan akan terlibat dalam projek EDUCONNECT@GERIK yang dicadangkan dari 16 hingga 20 Februari 2024 nanti. Pengisian program akan menggabungkan sesi pendidikan akademik dan pertanian komersial bersama komuniti kampung orang asli Air Banun. Melalui perkongsian daripada Encik Abdul Halim, mahasiswa dapat lebih melaksanakan perbincangan dua hala bagi mengatasi cabaran yang ada pada peringkat awal perancangan aktiviti ini.

Dengan bertekadkan moto UPM iaitu Berilmu Berbakti, mahasiswa KKB Pembangunan Kesukarelawanan Kumpulan 1 dijangka akan menjalankan projek EDUCONNECT@GRIK dengan membawa objektif untuk menarik minat lebih ramai komuniti Kampung Air Banun dalam bidang akademik dan pertanian komersial. Diharapkan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar pada 2024 nanti.

Laporan Biro Kebajikan

HALUAN Malaysia