fbpx

Barangan Sumbangan Masyarakat Malaysia Tiba di Gaza

Barangan Sumbangan Masyarakat Malaysia Tiba di Gaza

Barangan Sumbangan Masyarakat Malaysia Tiba di Gaza

GAZA, PALESTIN, 12 Nov 2023 – Barangan bantuan sumbangan rakyat Malaysia untuk penduduk Gaza telah selamat tiba di sebuah gudang Kementerian Kesihatan Palestin dalam wilayah yang sedang diserang tentera zionis itu.

Laporan Sekretariat Ops Ihsan hari ini mengesahkan barangan penghantaran pertama seberat hampir 20 tan itu berjaya dibawa masuk melalui pintu sempadan Rafah dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Mesir. Ops Ihsan merupakan kerjasama lebih 50 NGO Malaysia dengan dokongan Kementerian Luar Negeri.

Pada 3 November lalu, pesawat kargo yang disewa khas oleh Kerajaan Malaysia telah menerbangkan barangan keperluan asas termasuk ubat-ubatan, makanan, keperluan bayi serta selimut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish di Mesir.

Sebagai sebuah NGO dalam gabungan Ops Ihsan ini, HALUAN Malaysia turut berperanan sebagai sebuah pusat pengumpulan barangan bantuan. Sebanyak lima tan barangan bantuan telah berjaya dikumpul di Gerbang Informasi Ibu Pejabat HALUAN, yang kemudiannya dipindahkan ke Gudang MAPIM di Sepang untuk pemeriksaan dan pembungkusan terakhir.

HALUAN Malaysia menyeru masyarakat supaya terus berdoa memohon kesejahteraan untuk penduduk Gaza yang masih diserang tanpa henti oleh tentera penjajah zionis sejak 8 Oktober lalu. Hampir 12,000 rakyat Palestin telah terkorban ketika pengeboman rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang memasuki hari ke-38 pada Isnin.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan lebih 28,200 rakyat Palestin dilaporkan cedera manakala sekurang-kurangnya 3,250 lagi masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan, termasuk 1,700 kanak-kanak. Seramai 202 kakitangan kesihatan dan 36 anggota Pertahanan Awam turut terbunuh manakala lebih 130 lagi cedera, dan dikatakan 60 ambulans rosak, termasuk 53 yang tidak lagi berfungsi sepenuhnya.

Sumbangan orang ramai akan disalurkan secara terus melalui saluran Kerajaan Malaysia dan juga rakan NGO di Gaza yang telah menjalin kerjasama sejak 15 tahun lalu.

Sumbangan anda boleh disalurkan secara atas talian melalui capaian https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/

atau melalui akaun berikut:

Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN

No. akaun: 5644 9020 8528 (Maybank Islamic Berhad), atau

140 230 100 342 92 (Bank Islam Malaysia Berhad)

Barangan bantuan Ops Ihsan di gudang Kementerian Kesihatan Palestin
Pelepasan pesawat penerbangan pertama dari Kuala Lumpurpada 3 November lalu.

Laporan Muhammad Zakwan Mohd Sabbri

Bahagian Media HALUAN Malaysia