fbpx

Bantuan Ops Ihsan 2 Tiba di Mesir, Penghantaran Berikut Menaiki Kapal

Bantuan Ops Ihsan 2 Tiba di Mesir, Penghantaran Berikut Menaiki Kapal

Bantuan Ops Ihsan 2 Tiba di Mesir, Penghantaran Berikut Menaiki Kapal

BANDAR BARU BANGI, 15 Nov 2023 – Barangan bantuan fasa kedua sumbangan rakyat Malaysia untuk penduduk Gaza telah selamat tiba di Mesir melalui penghantaran penerbangan kedua yang berlepas 10 November lalu.

Lebih 50 tan barangan bantuan termasuk ubat-ubatan, keperluan bayi dan makanan asas telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui kempen Ops Ihsan, yang digerakkan oleh lebih 50 NGO dan didokong oleh Kementerian Luar Negeri.

Sebanyak 16 tan barangan telah tiba di Gudang Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melalui penghantaran pertama pada 3 November lalu.

Penerbangan kedua selamat mendarat di Lapangan Terbang Al-Arish, Mesir, pada jam 8:20 pagi, dengan disambut oleh Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir, TYT Ambassador Zamani Ismail.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah merasmikan Majlis Flag-Off di Terminal Kargo KLIA. Menurut Ketua Operasi Bantuan HALUAN Malaysia, Encik Mohd Jamil Muda yang turut hadir di majlis tersebut, HALUAN bersama Sekretariat Ops Ihsan sedang menyusun gerak kerja untuk penghantaran bantuan kemanusiaan Ops Ihsan 3.

“Bantuan ini akan dihantar menggunakan kapal kontena, dan senarai keperluan barangan seterusnya sedang dikenal pasti supaya tidak berlaku lambakan atau pembaziran,” jelas beliau.

HALUAN Malaysia turut membantu penduduk Gaza dengan membekalkan ubat-ubatan ke hospital di Gaza melalui rakan kerjasama NGO tempatan di sana. Keperluan ubatan semakin kritikal, dan bekalan ubat yang dihantar mestilah berdasarkan keperluan terkini di samping memastikan stok mencukupi.

Sementara itu pada pagi ini 15 November, tentera Israel meneruskan aktiviti kejam genosid mereka apabila menyerbu Hospital Al-Shifa di Kota Gaza pada awal pagi. Menurut ketua unit kebakaran Kompleks Perubatan Al-Shifa, Dr Ahmad Mikhallalati, kereta kebal dan jentolak tentera zionis kini berada di kompleks itu, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Al Jazeera.

Terdahulu, tentera zionis berkata pihaknya melancarkan satu operasi ketenteraan di “bahagian tertentu” di Kompleks Perubatan Al-Shifa. Menteri Kesihatan Palestin Mai Al-Kaila dalam kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita WAFA berkata tentera Israel bertanggungjawab ke atas nyawa kakitangan perubatan, pesakit dan orang awam yang mencari perlindungan di kompleks Al-Shifa.

HALUAN menyeru dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya terus membantu rakyat Gaza. Sumbangan boleh disalurkan secara atas talian melalui capaian https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/

atau melalui akaun berikut:
Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN
No. akaun: 5644 9020 8528 (Maybank Islamic Berhad), atau
140 230 100 342 92 (Bank Islam Malaysia Berhad)


Laporan Muhammad Zakwan Mohd Sabbri
Bahagian Media HALUAN Malaysia