fbpx

Sumbangan RM200,000 Telah Sampai Kepada Mangsa Perang Gaza

Sumbangan RM200,000 Telah Sampai Kepada Mangsa Perang Gaza

Sumbangan RM200,000 Telah Sampai Kepada Mangsa Perang Gaza

BANDAR BARU BANGI, 20 Nov 2023 – HALUAN sehingga kini telah berjaya mengagihkan bantuan bernilai RM200,000 untuk penduduk Gaza yang menjadi mangsa serangan brutal tentera zionis Israel sejak awal Oktober lalu. Sumbangan ini hasil derma prihatin dan dukungan berterusan masyarakat Malaysia. 

Diharapkan  sedikit bantuan ini dapat meringankan beban mereka, dan merawat kepedihan berhadapan dengan kekejaman tentera zionis melalui doa dan sumbangan dari jauh.

Melalui kempen OpsIhsan yang melibatkan kerjasama lebih 50 NGO dan didukung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri, barangan bantuan seberat lebih lima tan telah disumbangkan di Pusat Pengumpulan di Ibu Pejabat HALUAN pada 22 Oktober lalu.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin, Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman, sumbangan tersebut berupa bekalan makanan yang dianggarkan bernilai RM20,000 dan barangan perubatan bernilai RM10,000. “Semuanya telah dihantar dalam OpsIhsan 1, bersama barangan sumbangan melalui rakan NGO lain yang telah diterbangkan ke El-Arish di Mesir melalui pesawat kargo yang disewa oleh Kerajaan Malaysia pada 3 November lalu,” jelas beliau. “Barangan tersebut telahpun dibawa masuk ke Gaza melalui kerjasama Bulan Sabit Merah Mesir.”

Agihan bantuan turut dijalankan melalui kerjasama Yayasan Al-Quds Malaysia. Dalam Fasa Kedua kempen 4UGaza, barangan bantuan dalam bentuk makanan dalam tin, kit kebersihan diri dan ubat-ubatan bernilai RM50,000 telah diagihkan pada 20 Oktober lalu.

Barangan bantuan telah diagihkan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan menumpang sementara di bangunan-bangunan sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Khan Younis, selatan Gaza. 

Beratus-ratus keluarga terpaksa bersesak dalam keadaan sangat tidak berperikemanusiaan, di mana setiap bilik darjah dikongsi oleh beberapa keluarga sekitar 70 orang, dalam keadaan tiada bekalan elektrik, air dan kemudahan asas lain. Pada waktu malam, warga lelaki terpaksa tidur di luar bilik di perkarangan sekolah.

Dalam satu lagi kempen melalui kerjasama Al-Sarra Foundation yang beroperasi di Gaza, HALUAN telah menyalurkan bantuan sebanyak US$10,000 untuk tujuan agihan wang tunai kepada penduduk di Beit Hanoun dan Khan Younis. Agihan wang turut disampaikan kepada pesakit mangsa serangan yang dirawat di Hospital Nasser di Khan Younis.

Di samping itu, HALUAN turut bekerjasama dengan Medics Worldwide yang berpengkalan di Istanbul untuk menghantar bantuan perubatan kecemasan kepada Kementerian Kesihatan Palestin. Sebanyak US$15,000 disumbangkan untuk membekalkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan bagi kegunaan jabatan-jabatan kecemasan, unit rawatan rapi dan juga bilik pembedahan. Medics Worldwide berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza bagi memenuhi keperluan dan prioriti semasa.

Jelas sekali, kita semua perlu terus berdoa dan menghulur bantuan untuk mereka di Gaza. Dalam keadaan rumah yang hancur musnah, kecederaan dan sekatan keperluan asas, mereka juga berhadapan dengan ketibaan musim sejuk. Hanya kepada Allah mereka berharap agar dapat bertahan dalam keadaan yang amat perit ini.

Anda boleh terus membantu bersama HALUAN melalui capaian https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/

atau melalui akaun berikut:

Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN

No. akaun: 5644 9020 8528 (Maybank Islamic Berhad), atau

140 230 100 342 92 (Bank Islam Malaysia Berhad)

Laporan Muhammad Zakwan Mohd Sabbri

Bahagian Media HALUAN Malaysia