fbpx

KOBAR Mengangkat Belia Sebagai Penggerak Transformasi Ummah

KOBAR Mengangkat Belia Sebagai Penggerak Transformasi Ummah

KOBAR Mengangkat Belia Sebagai Penggerak Transformasi Ummah

SHAH ALAM, 19 Sept 2015 — Kira-kira 2,000 belia dari seluruh negara telah membanjiri Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam bagi menyertai Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR 2015). Konvensyen kali ini merupakan siri yang ke tiga yang dianjurkan oleh HALUAN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan bertemakan “Belia Berakhlak, Pemangkin Transformasi Ummah”.

Penganjuran KOBAR bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran Islam kepada para belia tentang keperluan semasa dalam menghadapi cabaran dan realiti kehidupan masa kini. Selain itu, KOBAR juga menyediakan ruang kepada belia untuk bertukar pandangan supaya mereka mampu membina ukhuwah serta rangkaian yang sihat selari dengan perkembangan dunia Islam kontemporari dalam mendepani segala permasalahan gejala sosial yang semakin berleluasa.

KOBAR dimulakan dengan ucaptama dan perasmian oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin yang mewakili Presiden HALUAN. Beliau menerangkan definisi sukarelawan serta menghuraikan aspek-aspek yang perlu dititikberatkan sebagai sukarelawan semasa menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Dalam ucapan perasmian itu juga, beliau menjelaskan juga halatuju HALUAN dan hubungkaitnya aktiviti kesukarelawanan yang sedang diusahakan oleh pihak HALUAN di peringkat nasional serta antarabangsa.

Peserta KOBAR juga dihidangkan dengan pelbagai pengisian yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Slot ini dimulakan dengan ceramah yang bertajuk “Cinta Yang Teragung” disyarah oleh Encik Noorazman Mohd Samsuddin, Timbalan Ketua Biro HALUAN Palestin. Menurut beliau “Terdapat tiga komponen yang perlu ada untuk seseorang cinta pada Allah SWT, pertama adalah kita mesti kenal Allah SWT terlebih dahulu. Kedua, memahami kata-kata para ulama dalam aspek menguatkan cinta kepada Allah SWT. Dan yang terakhir adalah menghayati kisah sirah hidup sahabat Rasulullah SAW sebagai sumber pedoman hidup.”

Pengisian slot kedua pula telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff, Pengetua Sekolah Agama At-Toyyibah, Changlun Kedah. Beliau telah mengupas tajuk “Ikon Sepanjang Zaman” dan mengajak para belia supaya menghayati pengorbanan para sahabat-sahabat Nabi dalam menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.

Di sebelah petangnya pula, konvensyen diserikan dengan dua slot perbincangan yang terdiri daripada forum dan dialog yang telah membina semangat para belia supaya bergiat aktif menjalankan aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. Sesi Forum bertajuk “Segalanya Ku Terima” dikendalikan oleh En. Razali Maarof, seorang motivator yang berkongsi pentas dengan dua barisan ahli panel iaitu Dr. Jamaluddin James Laeng Abdullah, Pengerusi Kelab HALUAN Fitrah dan Puan Ezura Nasuha yang merupakan seorang peguam.

Seterusnya, slot pengisian diteruskan dengan tajuk “Mencari Hakikat Diri” yang disampaikan oleh penceramah yang dijemput khas dan tidak asing lagi di Malaysia iaitu Imam Muda Asyraf. Imam Muda menyarankan khusus kepada para belia agar mengenali hakikat diri sendiri dalam menentukan arah tuju hidup. Tiga soalan yang perlu diketahui oleh para belia supaya kehidupan mereka tidak tersasar, iaitu yang pertama adalah “Dari mana kita datang?”, “Kenapa kita didatangkan?” dan yang terakhir adalah “Ke mana kita akan pergi selepas ini?”.

Sesi Dialog Kesukarelawanan pula dibarisi oleh ahli panel antaranya terdiri darpada barisan exco HALUAN sendiri. Antara ahli panelnya adalah Prof. Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN, Dr. Zurina Muda, Pengerusi Kelab Ikhtisas HALUAN merangkap Ketua Unit Pemudi HALUAN, Muhammad Shakir Sabarudin, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan HALUAN dan Abdul Muta’al Nawawi, Timbalan Presiden Siswa HALUAN. Forum ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Nizam Ismail merupakan AJK HALUAN Negeri cawangan Johor. Dialog diakhiri dengan sesi soal-jawab yang mendapat sambutan hangat dan tepukan gemuruh daripada semua peserta yang hadir.

Pada sebelah malamnya, KOBAR diserikan dengan penampilan istimewa dari artis nasyid tanah air seperti Nazrey Johani, The Muhibbain dan Far East pada persembahan Malam Kesenian Islam yang telah menghiburkan semua peserta. Menurut Pengarah KOBAR, En. Suhail Zulkefli, beliau sangat bersyukur kerana segala urusan KOBAR dipermudahkan Allah SWT bermula dari perancangan awal hingga saat pelaksanaannya. “Banyak respon yang positif diterima daripada para peserta tentang mesej yang disampaikan dalam setiap slot yang diadakan. Semoga ilmu dan kefahaman yang diperolehi dalam KOBAR tidak dipersia-siakan, tetapi terus diamalkan dan disebarkan,” ujar beliau di Dewan Raja Muda Musa baru-baru ini.

Seorang peserta turut melahirkan kesyukuran dan kegembiraannya, kerana apa yang dicari selama ini ditemui semasa menghadiri KOBAR kali ini. Nurhafizah Ibrahim, dari UIAM Gombak berkata, “KOBAR ini telah menjawab satu persoalan besar terhadap kekeliruan yang saya hadapi dalam hidup saya. Saya temui jawapannya dalam sesi pengisian KOBAR yang sangat bermanfaat buat dai muda dalam membentuk peribadi yang tinggi sebagai hamba Ilahi dan khalifah di muka bumi. Dengan izin dan kekuatan daripada Allah SWT, mulai hari ini, marilah kita bersatu menjadi penolong agamaNya kerana kita meyakini prinsip dakwah dengan ilmu dan ruh amal, bukan kerana ikut-ikutan.”

KOBAR telah melabuhkan tirainya dengan ucapan resolusi oleh Ustaz Muhammad Muzakkir Che Ani, Ketua Biro Pemuda HALUAN. Semoga konvensyen kali ini memberi banyak manfaat kepada para belia supaya mampu bersedia menghadapi gejala sosial yang semakin meruncing seterusnya bersedia melakukan transformasi persekitaran mereka ke arah yang lebih baik seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.


Laporan disediakan oleh Muhammad Ar-Rasyid Jaafar