fbpx

Bengkel Asas Grafik Cungkil Kreativiti Seni Visual Peserta

Bengkel Asas Grafik Cungkil Kreativiti Seni Visual Peserta

BANDAR BARU BANGI, 21 Sept 2015 — Industri kreatif semakin pesat berkembang pada hari ini. Asas kreativiti seperti ilmu grafik wajar diperkenalkan pada peringkat yang lebih awal dan bukan hanya bermula pada peringkat pengajian tinggi.

Atas kesedaran ini , Kelab Ikhtisas HALUAN dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim Cawangan Kuala Lumpur (KTDKL) telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Asas Grafik pada waktu cuti sekolah September yang lalu. Bengkel yang dikhususkan untuk pelajar sekolah menengah ini, telah dijalankan selama dua hari bermula 20 hingga 21 September bertempat dimakmal komputer KTDKL, di Bangunan Paragon Point, Bandar Baru Bangi.

Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan asas grafik kepada para remaja dengan memberikan kefahaman kepada setiap peserta tentang asas grafik dan cara penggunaannya yang komprehensif dan sistematik.

Seterusnya berusaha untuk mengembangkan bakat dan kepakaran peserta dalam mereka bentuk grafik dengan mengaplikasi pengetahuan dan teknik yang betul. Bengkel ini telah disertai oleh kira-kira 20 orang peserta dari sekitar Lembah Klang dan dibimbing oleh Encik Amirul Firdaus Abu Yaziz yang merupakan seorang graduan cemerlang Sarjana Muda Pengajian Multimedia daripada Fakulti Teknologi & Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tenaga pengajarnya.

Dengan tema Memanfaatkan Teknologi Demi Kemajuan Ummah, sesi pertama bengkel dimulakan dengan pengenalan penggunaan perisian Adobe Photoshop, diikuti dengan tutorial mengedit gambar. Pada sebelah petang pula, peserta diajar teknik reka bentuk dan pembangunan poster. Para peserta sangat tekun mengikuti sesi tutorial ini dan bengkel tampak hidup dengan coletah tenaga pengajar yang bersahaja.

Bagi memberi kelainan dan pendedahan praktikal kepada peserta, mereka diberi satu projek untuk mereka bentuk poster dengan memanfaatkan kata-kata hikmah kemudian setiap hasil sentuhan kreativiti mereka dinilai untuk diberikan hadiah yang berupa hamper dan sijil.

Sesi penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif KTDKL iaitu Encik Nordin Endut.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mendapat maklum balas yang positif daripada peserta dan ibubapa mereka. Salah seorang peserta Amin Asnawi pelajar Tingkatan 4 menyatakan kegembiraan dan hasratnya untuk terus menyertai bengkel sebegini pada masa akan datang. Beliau dan rakannya Azhar Rahmatullah telah berjaya memenangi pertandingan poster terbaik dengan tajuk “Unexpected friendship is the best one”.

Melihat kepada respon ini, pihak penganjur bercadang untuk mengadakan beberapa siri lagi bengkel asas grafik ini pada cuti sekolah November akan datang. Diharap peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para ibubapa dan anak-anak mereka serta pihak sekolah di sekitar Bandar Baru Bangi bagi memaksimakan pengisian aktiviti cuti sekolah sebaiknya.

Kelab Ikhtisas HALUAN dan KTDKL juga bercadang untuk menganjurkan bengkel yang lebih tinggi dari segi kemahiran dan kepakaran grafik untuk mensasar kepada golongan yang berbeza pula disamping beberapa bengkel dan kursus lain yang menarik dan menjadi keperluan semasa. Nantikan pengumumannya dari semasa ke semasa yang akan dihebahkan nanti.


Laporan disediakan oleh Dr. Zurina Muda, Pengerusi Kelab Ikhtisas HALUAN