fbpx

KHF Selangor Santuni Ibu Tunggal di Taska

KHF Selangor Santuni Ibu Tunggal di Taska

KHF Selangor Santuni Ibu Tunggal di Taska

SUBANG JAYA, 10 Mac 2013 – Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Kelab HALUAN Fitrah (KHF) cawangan Selangor telah bergandingan dengan PERKIM cawangan USJ-Subang Jaya untuk membantu seorang ibu tunggal beranak tiga membaiki serta mengecat rumah teres yang dijadikan taman asuhan kanak-kanak.

Pengelola taska Bintang Hati di USJ4 tersebut, Puan Rasyidah Abd Razak, terpaksa mengharungi hidup dengan tiga anak bersekolah rendah tanpa suami di kawasan perbandaran yang tinggi kos saraan hidupnya. Dengan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor yang membekalkan peralatan taska, alatan elektronik dan cat, beliau telah menjalankan perniagaan taskanya sejak hampir dua tahun lalu dan mengecat beberapa bahagian taska tersebut bersama anak-beranak serta adik tirinya.

“Ada bahagian-bahagian dinding di kawasan tangga yang tidak mampu dia buat kerana terlalu tinggi dan sukar untuk dicat. Maka kami daripada HALUAN Selangor unit Kelang mengambil keputusan untuk membantu beliau dengan kerjasama Kelab HALUAN Fitrah Selangor. Mana mungkin seorang wanita sebegini dibiarkan membuat kerja-kerja kasar seperti mengecat bangunan yang biasanya dibuat oleh lelaki,” berkata Encik Hamdan Mokhtar selaku Pengerusi HALUAN Unit Kelang.

Menyantuni golongan yang kurang upaya menjadi sebahagian daripada teras aktiviti HALUAN yang bermotokan berakhlak, mendidik dan berbakti. “Kami terharu dengan sikap beliau yang sangat ingin berdikari, tidak suka menyusahkan orang lain, dengan mengecat sendiri sebahagian besar taska ini sedangkan kami sudah berpesan agar memberitahu kami jika bekalan cat sampai; kami yang akan kerah anggota kami gotong-royong mengecat taska beliau ini. Alhamdulillah, pasukan kami yang tiba mengambil separuh hari untuk menghabiskan kerja-kerja mengecat kawasan dinding tinggi yang berbaki serta membaiki beberapa pemasangan di taska ini,” berkata Ketua Kelab HALUAN Fitrah Selangor, Encik Wan Mohd Rafi Wan Hussin, yang mengetuai pasukan relawan pemuda seramai 10 orang.

Beliau juga berterima kasih kepada salah seorang anggota relawan HALUAN Kelang, yang juga seorang kontraktor, yang telah bermurah hati menderma dan memasang serta membaiki kerosakan pada lampu-lampu, kipas angin serta peralatan pam tandas yang telah rosak sekian lamanya.

Taska berkenaan perlu dipercantik dan diperbaiki memandangkan ianya semakin kehilangan potensi pelanggan kerana luntur daripada aspek estetika dan keceriaan. Inisiatif pasukan HALUAN Kelang ini diharapkan dapat membantu keluarga miskin ini untuk segera menambah pelanggannya dan menawarkan perkhidmatan yang lebih tersusun.

“Kami juga berterima kasih kepada Badan Kebajikan Masjid Al-Mukminun USJ2 yang telah memberikan beberapa sumbangan berbentuk kewangan dan bahan makanan kepada keluarga miskin ini sejak hampir dua tahun lalu. Sekolah Kafa anak-anak beliau juga ditaja oleh masjid berkenaan. Masjid ini sangat prihatin dengan keadaan ahli kariah yang sedemikian, dan mereka juga merupakan satu-satunya masjid di kawasan ini yang sudi menempatkan kelas-kelas pengajian Islam untuk para mualaf dan bakal Muslim yang lain sejak tahun 2006 lagi,” berkata Pengerusi PERKIM cawangan USJ-Subang Jaya, Encik Nik Rahmat Nik Abdul Rashid. Pasukan PERKIM berkenaan turut menyertai usaha membantu ibu tunggal tersebut.


Laporan oleh mediaHALUAN